'SIKIT-sikit lama-lama jadi bukit' adalah peribahasa yang cukup sinonim dengan amalan menabung. Ia mengingatkan kita bahawa walaupun melibatkan jumlah yang kecil, amalan menyimpan wang lama kelamaan tetap akan menampakkan hasil. ARTIKEL BERKAITAN: Kumpul duit busking 3 bulan nak beli kereta pertama, jejaka Labuan ini sedih Proton Saga baru pakai sebulan dicuri - “Kalau makan penat lelah orang, tak kekal” Begitulah kisah yang dikongsi seorang pelayar Twitter, Mohd Khairul Muhaimin Kamaruzaman apabila foto dirinya bersama wang simpanan yang dimuatnaik tular. Perkongsian tersebut menerima lebih 12,000 ulang kicau dan 16,000 tanda suka. Rata-rata netizen memuji sikap jejaka ini yang dianggap pandai berjimat malah turut memintanya mendedahkan tip menabung menerusi ruangan komen. Perkongsian di laman Twitter. "Keep hustle my boy. "Every week saving RM20 atau everyday saving RM20?" komen beberapa netizen. Hanya dengan menyimpan wang kertas RM20, jumlah wang simpanannya berjaya mencecah RM1,000 dalam masa enam bulan. Berkongsi cerita dengan mStar, mahasiswa kelahiran Kedah ini memberitahu bahawa dia sudah menerapkan budaya menabung sejak di bangku sekolah, namun ia tidak melibatkan nilai yang tinggi. Mohd Khairul Muhaimin berkata dia mengikut jejak salah seorang rakan yang menasihati dirinya untuk menabung apabila melangkah masuk ke universiti. "Sebenarnya masa saya sekolah lagi saya dah start menabung. Cuma pada masa tu tak adalah kumpul duit RM20. Setakat RM1 macam tu je. Tapi tu pun tak konsisten. Khairul kongsi beberapa tips menabung kepada pengikutnya di laman sosial. "Ini kali kedua saya menabung wang kertas RM20 dalam masa setahun. Setahun kan ada 12 bulan, jadi saya buat enam bulan sekali. Yang saya kumpul sekarang ni hasil dari bulan Jun sampai Disember. "Masuk saja universiti, tak pernah saya terfikir pun nak menabung, tapi ada seorang kawan saya bagi nasihat. Tak rugi saya ikut jejak dia," katanya. Pemuda berusia 20 tahun ini mendedahkan salah satu tip untuk berjimat cermat ialah dengan mengawal bajet pemakanan harian. Mohd Khairul Muhaimin berkata dia menetapkan sejumlah nilai yang boleh dibelanjakan untuk makan dalam masa sebulan. "Saya ni taklah begitu senang. Jadi nak beli apa-apa tu pakai duit sendirilah. Bila nak beli barang, mesti kena ada duit kan? Itulah yang menguatkan lagi alasan saya untuk menabung. Mohd Khairul Muhaimin menetapkan sejumlah wang perbelanjaan makan dalam sebulan. "Memang sejujurnya kena cut cost. Tapi saya bersyukur, sebagai pelajar makanan di kantin tak begitu mahal. Saya akan belanja sekurang-kurangnya RM5 sehari untuk makanan... maksimum RM10. "Saya cuma makan nasi berlaukkan telur. Memang saya dah tetapkan jumlah untuk saya berbelanja makan dalam masa sebulan. Contohnya RM300 untuk duit saya makan sebulan. Tapi tak adalah makan nasi dengan telur hari-hari, ada juga wang yang saya guna untuk berjoli atau makan sedap-sedap," ujarnya. Mohd Khairul Muhaimin mengambil keputusan untuk memilih wang kertas RM20 untuk disimpan kerana wang tersebut agak sukar didapati malah jarang digunakan dalam rutin seharian. Tambahnya, dia juga sanggup menukar dua wang kertas RM10 untuk mendapatkan sekeping wang RM20 bagi menambah jumlah tabungannya. Sementara itu, Mohd Khairul Muhaimin mengakui sering terdetik untuk menggunakan wang simpanannya, namun dia nekad menyembunyikan tabung dan menganggap wang kertas RM20 itu sebagai haram digunakan. Memang sejujurnya kena cut costlah. Tapi saya bersyukur, sebagai pelajar makanan dekat kantin taklah begitu mahal. Saya akan belanja sekurang-kurangnya RM5 sehari untuk makanan saya... maksimum RM10. MOHD KHAIRUL MUHAIMIN PELAJAR UiTM, KAMPUS KUALA PILAH "Tipulah kalau saya kata tak bernafsu nak guna duit simpanan saya. Tapi saya gagahkan juga diri untuk sembunyikan duit kertas tu kat celah katil, celah bantal atau mana-mana saja tempat terpencil supaya tak nampak. Dan saya anggap wang kertas RM20 ni 'haram', jadi saya tak akan sentuh duit tu," tambahnya. Di samping itu, Mohd Khairul Muhaimin lebih bersemangat untuk menabung apabila dia merancang menggunakan wang simpanannya untuk bercuti. Menurut anak sulung daripada tujuh orang adik beradik ini, dia perlu menetapkan satu matlamat bagi mengukuhkan alasannya untuk menabung seterusnya kekal konsisten. "Apa yang lebih membakar semangat saya bila saya fikir duit tu boleh guna masa nak bercuti dengan kawan-kawan. Jadi saya lebih bermotivasi nak menabung," katanya. Mohd Khairul Muhaimin mendapat pinjaman PTPTN untuk menampung kos pembelajaran. Mohd Khairul Muhaimin merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dia memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk kos pembelajarannya di universiti. Dia sekeluarga berasal dari Kedah tetapi kini menetap di Johor Bahru, Johor. Ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa dan bapanya bekerja sebagai tukang cuci.