KITA selalu saja melihat individu yang mencari rezeki dengan menjaja, tidak kiralah di kaki lima kedai, medan selera, sekitar pusat beli belah malah ada juga yang mencari sesuap nasi dengan duduk berniaga di atas jalan tar di pasar malam. Namun, jarang-jarang sekali kita dapat melihat 'adegan' penjaja yang bertindak memaksa pembeli untuk membeli barangan yang dijual oleh mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Kurang Senang Perbuatan Pengemis Warga Asing Tetapi, itulah yang dihadapi seorang pelayar Twitter, Evy Adzzaryn Syuhada ketika dia dan rakan baiknya, Nurul Atifah didatangi seorang wanita tua yang didakwa memaksa mereka untuk membeli sebungkus tisu dalam kejadian di medan selera Nu Sentral, Kuala Lumpur. Berkongsi pengalaman dengan mStar, Evy Adzzaryn Syuhada atau lebih mesra disapa Evy mendakwa disapa oleh peniaga tersebut dengan cara yang tidak wajar apabila wanita itu membaling tisu ke arah mereka sebelum memaksa untuk tisu tersebut dibeli. Evy (kanan) dan Nurul Atifah dipaksa penjaja untuk membeli tisu di Nu Sentral, Kuala Lumpur. Remaja berusia 16 tahun ini memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli tisu berharga RM5 itu itu kerana dia perlu membayar tambang pengangkutan awam. "Kejadian berlaku pada Ahad lepas, sekitar pukul 12 tengah hari... masa lunch hourlah. Masa tu saya tengah makan dengan kawan baik saya dekat food court Nu Sentral. "Tiba-tiba saya nampak ada seorang aunty pandang kami sebelum dia datang. Mula-mula dia baling tisu je kat meja kami, lepas tu dia datang lagi dan paksa kami beli tisu tu. "Kami ni masih bersekolah. Nak keluar jalan-jalan pun duit tak banyak. Lagipun kami pergi dan balik dari mall tu naik public transport je. Jadi, saya pun cakaplah baik-baik dekat aunty tu yang saya tak nak beli sebab tak ada duit pecah," katanya. Perkongsian Evy diganggu oleh penjaja tular di laman sosial Twitter. Tambah Evy, peniaga itu tidak berputus asa dan memberitahu dia mempunyai banyak wang kecil dalam usaha agar tisunya dibeli. Dalam masa yang sama Evy berasa pelik apabila wanita itu masih mendesak agar tisunya dibeli, sedangkan dia sudah pun mempunyai sejumlah wang yang banyak apabila menawarkan wang baki. Bagaimanapun, selepas penjaja itu bertindak mengangkat makanan Evy dan mengatakan ia lazat, pelajar kelahiran Sabah ini berasa simpati dan mengambil keputusan untuk membeli tisu tersebut. Namun, individu itu tidak memulangkan baki kepada Evy dan rakannya dengan jumlah yang betul, malah menjerit apabila ditanya mengenai perkara tersebut. Evy mendedahkan wajah peniaga yang memaksanya membeli tisu di media sosial. "Sampai satu tahap tu, dia siap angkat makanan saya atas meja dan cakap sedap kan dik, sedap kan, jadi saya pun macam simpatilah dekat dia dan mungkin dia betul-betul lapar. "Saya bagi duit RM20, kawan saya bagi RM10, tapi aunty tu hanya pulangkan baki RM14 dan RM3 kat kawan saya. Kawan saya pun tanya, mana baki dia? Tapi aunty tu jerit sudah, sudahlah dan beredar dari meja kami," ujarnya. Sementara itu, Evy meluahkan rasa terkilan apabila tiada sesiapa pun yang cuba membantu dia dan rakannya sedangkan kejadian itu berlaku di khalayak ramai. Evy lebih berasa kesal apabila seorang lelaki di meja sebelahnya hanya mempamerkan senyuman ketika dia cuba memberikan isyarat mata, tanda meminta pertolongan. Evy (kiri) kesal tidak dibantu oleh sesiapa sewaktu dia dan Nurul Atifah berdepan dengan insiden itu. "Yang saya frust, punyalah ramai orang kat food court tu tapi tak seorang pun yang tolong. Ada seorang lelaki di meja sebelah saya, saya siap bagi isyarat mata tapi dia senyum dan saksikan je kejadian tu sampai habis. "Especially bila aunty tu pegang dagu saya, puji-puji cakap saya cantik dan paksa beli tisu. Sebab saya fikir, dia ni nak bunuh aku ke? Nak toreh muka aku ke? Siap gerak-gerakkan lagi dagu saya. "Saya rasa nak nangis je. Bila aunty tu dah beredar, barulah seorang wanita di meja sebelah jerit dekat aunty tu supaya tak kacau kami. The point is, mana semua orang masa kejadian tu berlaku? Saya rasa semua nampak kot. Saya speechless dan sedih," katanya. Yang saya frust, punyalah ramai orang kat food court tu, tapi tak seorang pun yang tolong. Ada seorang lelaki sebelah saya, saya siap bagi isyarat mata tapi dia senyum dan saksikan je kejadian tu sampai habis. EVY ADZZARYN SYUHADA PELAJAR Perkongsian Evy di laman Twitter menerima lebih dari 5,000 ulang kicau dan 3,000 tanda suka, malah rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan peniaga terbabit selain sesetengah daripada mereka mendakwa pernah mengalami nasib yang sama. "Pernah kena, saya jadi rude je dekat dia. Saya pakai earphone, keep my bag close to me and buat tak tahu. She kept forcing la but then I screamed kata dia pencuri. Had to. Baru dia lari. "Saya pun pernah kena dengan makcik ni tapi saya tak beli pun tisu dia, lepas tu bila pergi Guardian terjumpa dia beli tisu banyak-banyak. "Naik bengang baca tweet ni, bengang kat makcik tu la adoi ! Dia over la kalau sampai paksa," komen beberapa netizen.