suria

Baru berhenti kerja, pergi Guangzhou nak start bisnes kena scam sampai 2 kali - “Matilah aku dekat sini”

Naim berkongsi pengalaman menjadi mangsa scam di Guangzhou sewaktu mula bertapak dalam bidang perniagaan dalam talian, bebarapa tahun lalu.

BUKAN sekali tetapi dua kali!

Itulah pengalaman yang dilalui seorang pemuda apabila mendakwa menjadi mangsa scam ketika berkunjung ke Guangzhou, China beberapa tahun lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Naim Mustafa, pemuda ini berkata, kejadian pertama berlaku sekitar 2015 di mana ketika itu dia berseorangan mengunjungi Guangzhou untuk bertemu dengan pembekal barangan bagi perniagaan dalam talian (online) yang diusahakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kena scam dengan budak lelaki di KLCC, duit RM67 ‘hangus’ – “Dia cakap anak tunggal, mak ayah dah bercerai”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya pernah lihat dia pandu kereta” - Siang makcik jual tisu di Tesco, berlakon jadi orang susah... malam pergi karaoke!

“Ketika itu saya baru sebulan berhenti kerja dan sedang berjinak-jinak mengusahakan perniagaan secara online. Sebelum itu, sudah beberapa kali saya membeli barangan dari sana.

“Jadi ketika itu, ada berhubung dengan seorang pembekal dan dia ajak datang ke Guangzhou. Kebetulan sudah berhenti kerja, jadi apa salahnya saya pergi ke sana untuk bertemu pembekal. Tapi memang bajet agak limited sebab sudah berhenti kerja.

Naim berkongsi pengalamannya menjadi mangsa scam menerusi satu bebenang di Twitter.

“Dipendekkan cerita, saya menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Senai, Johor pada pukul 10 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun, Guangzhaou pada jam 2 pagi. Selesai urusan imigresen hampir jam tiga pagi.

“Ketika itu memang penat dan segera mahu sampai hotel. Jadi ketika keluar mencari teksi, memang ramai yang memanggil-manggil tawarkan teksi. Saya teringat pesanan rakan, jangan ikut sebab kebanyakannya ulat teksi. Tapi masa tu dah penat. Kebetulan ada seorang pemuda yang boleh bertutur bahasa Inggeris dan nampak meyakinkan, jadi saya pun ikut dia selepas menunjukkan alamat hotel kepadanya,” ujarnya kepada mStar.

Menurut pemuda berusia 27 tahun itu, dia mula berasa pelik apabila memasuki kereta pemuda tempatan berkenaan kerana kelihatan ada seorang lagi lelaki yang duduk di kerusi pemandu.

Naim menjadi mangsa ulat teksi ketika pertama kali berkunjung ke Guangzhou untuk bertemu pembekal barang jualannya. 

“Bila masuk, pemuda itu duduk di sebelah sementara kawannya memandu. Sebaik memulakan perjalanan, saya perasan tiada meter dalam kereta itu lalu terus bertanya kepada pemuda tadi mengenai harga ke hotel saya. Dia menunjukkan senarai nama jalan dan tambang ke hotel saya 900 yuan bersamaan RM450.

“Memang tak logiklah, jarak hotel dengan lapangan terbang hanya 15 minit sahaja. Lagipun tadi dia beritahu keretanya teksi meter. Kini bila persoalkan, dia beritahu ini adalah China Grab. Berlakulah pertikaman lidah antara kami. Akhirnya kereta berhenti di kawasan yang gelap. Memang menggigillah sebab saya seorang diri, talian telefon tak ada.

“Ketika itu terfikir, ‘matilah aku dekat sini’. Saya cuba bertenang dan cuba cakap elok-elok yang saya tak mampu harga mereka. Mereka kurangkan dan minta 500 yuan (RM350), tapi saya beritahu hanya mampu bayar 100 yuan (RM60) saja. Ketika itu, nampak satu teksi berhenti belakang kereta kami. Saya memang nak buka kunci pintu dan lari, tapi pemandu itu lebih pantas. Dia kunci pintu dan pecut keretanya,” cerita Naim.

Naim kini turut menyediakan perkhidmatan membawa peniaga online yang ingin memborong barang jualan di Guangzhou.  

Kata pemuda ini, tawar menawar terus berlaku sepanjang perjalanan sehingga akhirnya pemuda itu bersetuju dengan harga yang ditetapkan Naim iaitu 150 yuan (RM90).

“Mereka hantar saya ke hotel. Saya berikan 200 yuan, dan mereka kembalikan baki 50 yuan. Malang sekali duit itu duit palsu. Saya tahu apabila mahu bayar deposit hotel. Masa itu memang down juga sebab bajet ke sana sangat terhad, kemudian kena tipu pula,” ujarnya.

Menurut Naim, pengalaman kedua menjadi mangsa scam di bandar yang sama pula berlaku selang setahun selepas kejadian pertama.

Dua kali menjadi mangsa scam di Guangzhou, Naim tidak pernah putus asa sehinggalah dia kini mempunyai sebuah syarikat sendiri.

“Ketika itu tahun 2016, saya pergi bersama abang ipar pula. Juga untuk urusan perniagaan online. Ketika itu kami sedang berjalan ke sebuah plaza, di mana kiri dan kanan akan ada ejen barangan yang memanggil-manggil. Ada seorang ejen ni beritahu dia jual barangan kulit yang cantik dan ajak kami ikut. Katanya, lihat-lihat saja, tak beli pun tak apa.

“Dia bawa kami pergi ke satu unit flat yang dijadikan bilik pameran barang. Saya perasan ada beberapa lapisan pintu untuk ke bilik pameran itu. Bila sampai, kami tanya-tanya harga barangan dan dapati agak mahal, jadi kami mahu minta diri. Ketika itu, seorang daripada penjual tak puas hati, dia paksa saya beli dompet dengan harga 800 yuan (RM500).

“Bila saya menolak, beberapa pekerja mengunci pintu. Memang takut sangat sebab kami dikunci. Apa-apa boleh terjadi. Mereka pasti takkan lepaskan sehingga saya beli dompet itu. Tawar punya tawar, akhirnya saya bayar 300 yuan (RM180), barulah boleh keluar,” katanya lagi.

Dia menunjukkan senarai nama jalan dan tambang ke hotel saya 900 yuan bersamaan RM450. Memang tak logiklah, jarak hotel dengan lapangan terbang hanya 15 minit sahaja.  Berlakulah pertikaman lidah antara kami. Akhirnya kereta berhenti di kawasan yang gelap. Memang menggigillah sebab saya seorang diri, talian telefon tak ada. Ketika itu terfikir, ‘matilah aku dekat sini’.

NAIM MUSTAFA

AHLI PERNIAGAAN 

Menurut Naim yang kini merupakan Pengarah Urusan Merchante Kiva Sdn Bhd & Nusantara (Guangzhou) Trading Co., Ltd, pengalaman yang dilaluinya ketika mahu membina tapak dalam dunia perniagaan online banyak mengajar dirinya erti tidak putus asa.

“Dalam pada itu, saya juga belajar banyak perkara selepas beberapa kali jadi mangsa scam. Pertama sekali, kena ambil tahu mengenai pengangkutan. Muat turun dahulu aplikasi penting seperti Didi (seperti Grab) dan juga WeChat serta Google Translate untuk mudahkan komunikasi. Waspada juga dengan duit palsu. Yang penting, usah terpedaya dengan ulat teksi,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Guangzhou, online, duit palsu, ulat tiket

Artikel Lain