“PATUTNYA budak ini yang jadi kakitangan KWSP,” demikian pujian seorang pelanggan terhadap seorang juruwang di sebuah restoran makanan segera yang menawarkan bantuan ketika dia tidak mempunyai wang tunai untuk membeli makanan. Menerusi posting di satu laman Facebook, pelanggan lelaki berkenaan berkata, ketika itu dia sedang berbaris bagi membuat pesanan makanan untuk keluarganya, sebelum menyedari dia langsung tidak mempunyai wang tunai. ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit kanser diusung ke pejabat keluarkan wang caruman, KWSP mohon maaf ARTIKEL BERKAITAN: Alahai... gadis kesepian berangan McD macam kedai mamak, nak temberang pun ada “Habis makan, mamat tu tepis tangan aku sebab nak belanja” “Semalam saya singgah di A&W Hentian Rehat Ayer Keroh. Saya beratur untuk memesan makanan. Barisan agak panjang. Ketika itu isteri saya bersama dengan ibu saya di surau. Di poket saya tiada cash walau sesen pun ketika itu. “Bila hampir tiba giliran saya, saya cuba hubungi isteri saya tapi panggilan saya tidak berjawab. Saya cuba hubungi anak-anak perempuan saya yang ketika itu bersama ibu dan nenek mereka, pun tidak berjawab. “Saya fikir mereka mungkin sedang solat atau menguruskan ibu saya di toilet. Bila tiba giliran saya, saya bertanya kepada cashier sama ada menerima pembayaran melalui kad debit, malangnya tidak,” tulis pelanggan lelaki berkenaan. Posting seorang pelanggan yang berkongsi cerita mengenai seorang juruwang muda di sebuah restoran makanan segera. Menurut pelanggan tersebut, juruwang itu kemudian bertanya kepadanya mengenai jumlah pesanan. Malah lebih tidak disangka katanya, juruwang itu juga menawarkan untuk untuk membuat bayaran untuk pesanan makanannya. “Anak muda cashier ini (bernama) Firdaus Fitri bertanya kepada saya pakcik nak order banyak ke? Kalau untuk seorang, tak apa saya belanja. Saya beritahu dia saya nak order untuk sembilan orang,” ujarnya. Bercerita lebih lanjut, pelanggan itu berkata, juruwang muda itu bagaimanapun memintanya untuk terus membuat pesanan makanan dan mencadangkannya untuk membayar pesanan makanannya selepas mengeluarkan wang dari mesin ATM yang terletak di stesen minyak berhampiran. “Saya tanya di mana letaknya mesin ATM terhampir. Dia beritahu ada di stesen Petronas, jaraknya agak jauh untuk berjalan kaki,” tulisnya sambil menambah, juruwang itu menawarkan bantuan untuk meminjamkan motosikal kepadanya. Komen netizen yang memuji juruwang bernama Firdaus Fitri. Bagaimanapun tulisnya, ketika sedang menuju ke belakang restoran makanan segera itu bagi meminjam motosikal juruwang berkenaan, pelanggan itu bertemu dengan isteri dan keluarganya, lalu membatalkan hasrat untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM. “Anak muda Kelantan ini berjiwa besar, berhati mulia, baik hati dan yang penting ada skill pengurusan yang baik untuk menyelesaikan masalah. Kalau dilatih, anak muda ini mampu menjadi seorang pengurus yang baik. “Patutnya budak ini yang jadi kakitangan KWSP, nak jadi pengurus KWSP pun layak. Mohon semua staf KWSP muka tak tahu malu letak jawatan ramai-ramai,” tulisnya dalam nada perlian, merujuk kepada perkhidmatan ‘buruk’ badan berkanun tabung amanah tersebut yang tular baru-baru ini. Beberapa hari lalu, seorang pencarum KWSP yang terlantar sakit akibat kanser terpaksa dibawa menaiki ambulan ke pejabat berkenaan bagi pengesahan cap jari untuk memohon pengeluaran wang simpanan KWSP bagi tujuan rawatan. Patutnya budak ini yang jadi kakitangan KWSP, nak jadi pengurus KWSP pun layak. Mohon semua staf KWSP muka tak tahu malu letak jawatan ramai-ramai. PELANGGAN Pengalaman ‘buruk’ pencarum berkenaan dikongsikan oleh adiknya di Facebook. Selepas kisah itu tular, KWSP pada Ahad memohon maaf kepada keluarga pencarum tersebut berhubung pengalaman perkhidmatan kurang menyenangkan yang dialami mereka. Sementara itu, posting pelanggan lelaki berkenaan mengenai kemuliaan hati juruwang muda itu sehingga kini meraih melebihi 500 perkongsian, selain dibanjiri komen positif netizen. “Tauladan yang baik, berfikiran positif dan membantu memudahkan urusan seseorang. Semoga adik ini menjadi insan yang berjaya di masa hadapan,” tulis seorang pelayar. “Tahniah kepada ibu bapa yang mendidik adik ini,” komen pelayar lain. “Sikap yang harus dicontohi, tak kira muda atau tua,” komen seorang lagi pelayar.