suria

Cover malu atau melatah? Ramai nak tahu apa motif bro ni bersilat selepas melambung langgar lampu merah

Tangkapan skrin rakaman video daripada kamera dashboard yang menunjukkan seorang penunggang motosikal membuka langkah silat selepas terbabit dalam kemalangan.

MALANG tidak berbau, lebih-lebih lagi kalau tidak berhati-hati di jalan raya sehingga boleh menyebabkan kecelakaan.

Begitulah kisah seorang penunggang motosikal yang memecut laju melanggar lampu isyarat merah, sehingga merempuh sebuah kereta di satu persimpangan lampu isyarat.

Menerusi klip video kejadian yang tular, pemuda berkenaan tercampak sejauh beberapa meter selepas merempuh sebuah kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Main masuk je! Penunggang motosikal hijau terus ‘blah’ selepas mangsa jatuh... tapi pemandu Swift merah wajar dapat pujian!

ARTIKEL BERKAITAN: Berapa kali dia nak kena marah?” - Vellfire remuk dihentam, pemiliknya ada alasan sendiri ajak pemandu lori lepak mamak

Klip video berdurasi seminit itu merupakan rakaman daripada kamera dashboard atau papan pemuka sebuah kenderaan lain di persimpangan berkenaan.

Penunggang motosikal terbabit (kanan, baju putih) terus membuka silat buat kali kedua.

Namun, timbul tanda tanya apabila penunggang motosikal yang tercampak itu serta-merta bangkit dan berjalan beberapa langkah ke hadapan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Lebih menghairankan, pemuda berkenaan yang tidak menunjukkan dia mengalami sebarang kecederaan luaran itu secara tiba-tiba membuka langkah silat.

“Ilmu penuh di dada,” menurut perkongsian video tersebut di akaun Twitter @oryzamokhtar sehingga diulang kicau 12,000 kali.

Bercakap kepada mStar, pengguna Twitter itu bagaimanapun memberitahu rakaman tersebut bukan miliknya, sebaliknya diterima daripada aplikasi grup WhatsApp.

Berdasarkan butiran pada rakaman itu, kejadian dipercayai berlaku pada Isnin lalu pada pukul 4.05 petang.

Pemuda berkenaan hanya dua penunggang motosikal lain membantu mengangkat motosikalnya.

Menerusi rakaman itu, kelihatan beberapa penunggang motosikal lain berhenti membantu mengangkat motosikal milik pemuda tersebut yang mengalami kerosakan.

Lelaki berkenaan secara tiba-tiba kembali menyambung ‘langkah’ silatnya sebelum berhenti dan hanya melihat motosikalnya diangkat dari jarat dekat.

Dia bagaimanapun tidak mendapatkan motosikalnya, tetapi berpatah balik ke tepi jalan dalam keadaan yang terhenjut-henjut.

Sementara itu, pemandu Perodua Alza terbabit kemudian meninggalkan lokasi kejadian dan tidak dapat dipastikan sama ada dia berhenti di kawasan lebih selamat selepas persimpangan lampu isyarat itu atau meneruskan perjalanan.

Penunggang motosikal itu kemudian meninggalkan lokasi kejadian.

Keadaan lelaki berbaju putih itu ternyata mengejutkan netizen yang tertanya-tanya tentang keadaan dirinya yang kelihatan tidak cedera dan masih bertenaga beraksi dengan pencak silatnya.

“Aku rasa dia panik ni, masa tengah melambung tu dia rasa macam tengah lawan silat kot. Jadi dia fikir ada orang serang dia dari belakang. Jadi dia memulakan langkahnya,” tulis seorang netizen.

Aku rasa adrenalin dia tengah tinggi sebab baru lepas kena langgar, jadi mungkin masa tu dia pun tengah separa sedar apa dia buat

NETIZEN

“Ke dia melatah ni? Terkejut lama sangat sampai bersilat macam tu,” ujar yang lain.

“Pergi langgar lampu isyarat merah dah kenapa? Memang cari maut, tapi berdekah tengok dia buka bunga silat tu,” komen seorang pemuda.

Antara andaian netizen mengenai aksi silat penunggang motosikal itu.

“Hahahahaha kena langgar terus tak betul,” sindir netizen lain.

“Aku rasa adrenalin dia tengah tinggi sebab baru lepas kena langgar, jadi mungkin masa tu dia pun tengah separa sedar apa dia buat,” ujar seorang lagi membuat andaian.

“Silatkan ilmu seni mempertahankan diri. Jadi, dia tengah mempertahankan diri daripada merasai sakit,” kata seorang netizen yang merujuk kepada aksi silat pemuda berkenaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
motosikal, silat, melatah, Perodua, Alza

Artikel Lain