suria

“Sampai basah resit dia” - Ustaz tahan nangis, ibu 6 anak berjurai air mata gara-gara tak mampu bayar yuran

Gambar dimuatnaik Ustaz Abu di Twitter miliknya yang menceritakan kisah seorang ibu yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran anaknya.

“BASAH resit gara-gara wanita tersebut tidak dapat menahan kesedihannya yang hanya mampu membayar yuran pendaftaran anaknya sebanyak RM30,” demikian cerita seorang guru di sebuah sekolah agama mengenai kisah yang menyentuh hatinya, baru-baru ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Abu, guru tersebut berkata peristiwa itu berlaku pada Isnin lalu sewaktu dia menguruskan pendaftaran bagi kemasukan pelajar di sekolah berkenaan.

Menurut Ustaz Abu, ketika sedang sibuk menguruskan dokumen pendaftaran, seorang wanita berusia dalam lingkungan usia 40-an datang menghampirinya untuk membuat bayaran pendaftaran dua orang anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu menangis lihat murid darjah 1 ceria bawa ibu ayah buta lawat sekolah, tunjuk kelasnya- “Mana pondok mak nak tunggu kamu?”

ARTIKEL BERKAITAN: “Bila dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya” – Mufti sebak bertentang mata dengan murid pimpin ibu bapa buta

“Sepatutnya waktu pendaftaran adalah pada 23 hingga 27 Disember lalu, namun sekolah melanjutkan tempoh sehingga Isnin baru-baru ini. Wanita itu datang bersama seorang anaknya yang berusia tujuh tahun bagi membayar yuran untuk dua lagi anaknya yang sedang berada di Tahun 4 dan Tahun 5.

“Ketika giliran dia, wanita itu datang menghampiri saya dan bercakap dalam nada yang perlahan. Dia tanya, bolehkah dia bayar sedikit dahulu sebab untuk tahun ini, dia ada enam anak yang bersekolah termasuk yang tinggal di asrama.

“Dalam nada yang sugul dan agak sebak, dia menerangkan situasinya yang kesempitan wang memandangkan pada waktu yang sama terpaksa memperbaharui cukai jalan (roadtax) kereta. Jadi duit tak cukup sebab hanya suaminya yang bekerja. Dia kata hanya mampu bayar RM30 untuk setiap seorang anaknya,” cerita Ustaz Abu.

Posting seorang ustaz yang tersentuh hati dengan kisah seorang wanita yang datang mendaftarkan dua anaknya di sekolah agama baru-baru ini.

Menurut guru agama tersebut lagi, dia sendiri turut sebak apabila mendengar kesusahan yang dialami wanita tersebut namun dalam masa yang sama tetap mahu memberi pendidikan agama buat anak-anak.

“Malah kata wanita itu, anaknya yang berusia tujuh tahun yang ikut bersamanya itu pula, terpaksa ‘hold’ dahulu untuk dimasukkan ke sekolah agama kerana masalah kewangan..

“Ketika saya menulis resit, dia tak henti-henti mengalirkan air mata. Sewaktu resit itu diberikan kepadanya, dia masih menangis sehinggakan resit itu basah. Melihat situasi itu, saya turut sama sebak namun terpaksa ditahan. Saya kemudian tulis resit baharu untuknya dan menerangkan baki yang wajar dijelaskan kemudian,” katanya yang mengajar di sekolah berkenaan hampir enam bulan.

Ketika saya menulis resit, dia tak henti-henti mengalirkan air mata. Sewaktu resit itu diberikan kepadanya, dia masih menangis sehinggakan resit itu basah.

USTAZ ABU

GURU SEKOLAH AGAMA

Cerita guru agama itu lagi, kisah sedih yang menyentuh hatinya tidak terhenti setakat itu sahaja.

“Selain wanita tersebut, pada hari yang sama juga saya didatangi seorang lelaki warga emas yang datang untuk membayar pendaftaran seorang cucu perempuannya yang berada di Tahun 3.

“Pakcik ini mula-mula minta maaf sebab datang daftar lambat, namun dia tak beritahu kenapa. Kemudian, dia tanya saya, bolehkah dia bayar sedikit dahulu sebab tak mampu nak bayar penuh.

“Dia menghulurkan wang RM50 sekeping kepada saya. Sambil itu dia menjelaskan, cucu perempuan tersebut berada di bawah tanggungannya selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia. Dia juga menjaga seorang lagi cucu yang merupakan abang budak perempuan itu yang kini sedang belajar di Giat Mara.

Ustaz Abu berkongsi dua kisah yang begitu menyentuh hatinya menerusi satu bebenang di Twitter.

“Sekali lagi hati saya sayu mendengar kisah pakcik ini. Daripada pengamatan saya, pakcik ini mungkin bekerja sebagai peniaga makanan. Saya faham, pendapatannya pasti tidak besar. Saya terima wang tersebut dan berikan nombor telefon saya untuk dia hubungi jika perlukan pertolongan,” ceritanya lagi.

Dalam pada itu Ustaz Abu berkata, selama menjadi guru, peristiwa yang berlaku baru-baru ini itu benar-benar membuatkannya terkesan sehingga hampir menitiskan air mata.

“Bila mengalami sendiri dan berlaku depan mata, barulah terasa betapa sukarnya hidup mereka. Boleh dikatakan di sekolah ini, 30 hingga 40 peratus adalah pelajar dari golongan berpendapatan rendah. Namun saya amat bangga dengan penjaga-penjaga ini yang sedaya upaya mahu juga membayar yuran untuk anak mereka di sekolah agama.

“Ada segelintir daripada mereka yang mampu pula, kadang-kadang culas nak bayar sehingga terpaksa hantar surat peringatan. Mungkin ada yang fikir guru yang mengajar sekolah agama ini bekerja seiklhlas hati dan tak perlu bayaran. Bagi saya, sepatutnya tanggapan ini perlu dibuang kerana guru agama juga sama seperti orang lain yang mempunyai peruntukan untuk perbelanjaan keluarganya,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ustaz, sekolah agama, resit, daftar

Artikel Lain