SEPERTI mengetahui ajalnya semakin dekat, seorang imam memberikan banyak pesanan dan nasihat terakhir berkaitan dengan kematian. “Hidup ini kita di atas tanah, mungkin esok kita mati dan dikuburkan di bawah tanah,” tulisnya di halaman Facebook (FB), Mohd Allamah Mohd Ali bulan lalu. “Buatlah status yang baik saja, siapa tahu itu status terakhirmu. Kerana sepeninggalanmu, biasanya status terakhirmu jadi perbincangan,” menurut perkongsian terakhir di aplikasi Instagram (IG) Story imam berusia 32 tahun itu pada 27 Disember 2019. ARTIKEL BERKAITAN: Khatib dijemput Ilahi selepas rebah di mimbar ketika khutbah Jumaat ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki misteri muncul selepas 2 jam termenung, terkejut kereta remuk macam dilenyek ‘tanker’ – “Menggeletar, aku fikir hidup ke mati... mungkin ini peluang kedua” Mohd Allamah yang merupakan imam Surau Al-Hijrah di Kota Kemuning di Shah Alam, Selangor meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, awal pagi Khamis. Antara pesanan Allahyarham mengingatkan tentang kematian. Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Allamah juga merupakan sahabat pendakwa bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin semasa belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir. Menurut perkongsian PU Amin di laman Instagramnya, Ustaz Mohd Allamah mempunyai ilmu al-Quran yang tinggi dan hubungan mereka akrab seperti adik-beradik. “Selamat berehat duhai sahabat. Allah janjikan rehat dalam kubur dan akhirat bagi penghafal quran. Perkongsian Mohd 'llamah di Instagram Story. “IG Story dia ada nasihat untuk selalu post benda baik dekat media sosial kerana bila meninggal nanti status-status akhir itu akan dibincangkan. “Betul kata kau Allamah kini semua status-status dia di FB dan IG diangkat dan dilihat semula. Semua status kau ajak orang ingat mati. “Muhasabah buat kita semua, pelihara media sosial kita. Bila kita meninggal nanti media sosial ini juga sebagai saksi atas hidup kita di dunia. Jumpa nanti Allamah, Al-Fatihah,” ujar PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim. Antara lain perkongsian Allayarham mengenai kematian. Sementara itu, Naib Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menyifatkan Allahyarham Mohd Allamah sebagai seorang anak muda yang hebat dan sentiasa memperingatkan diri dan mereka yang lain mengenai persiapan sebelum dijemput Ilahi. “Bagai terhidu dan diilhamkan kembaliannya untuk bertemu Ilahi, almarhum gigih memperingatkan diri dan teman agar membuat persiapan untuk ke destinasi yang hakiki. Betul kata kau Allamah kini semua status-status dia di FB dan IG diangkat dan dilihat semula. Semua status kau ajak orang ingat mati. PU AMIN “Mohd Allamah adalah seorang anak muda yang hebat yang dilahirkan daripada keluarga yang hebat serta di sekelilingi persekitaran yang hebat,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya. Menerusi semakan di akaun Facebook dan Instagramnya, allahyarham banyak berkongsi kata-kata hikmah dan nasihat termasuk rakaman video tazkirah dan khutbah Jumaat yang disampaikannya di Surau Al-Hijrah. Allahyarham Ustaz Mohd Allamah banyak berkongsi kata-kata hikmah dan nasihat di laman sosialnya. Dilaporkan, Mohd Allamah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira pukul 4.30 pagi Khamis. Ketika kejadian, Mohd Allamah menunggang motosikal dan difahamkan beliau terlanggar tiang lampu dalam perjalanan dari Johor untuk pulang ke rumahnya di Shah Alam, Selangor. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.