suria

“Kita yang sempurna pun kadang-kadang tak reti jaga customer” - Pemuda tersentuh lihat usaha pemandu Grab OKU, terfikir nasib anak-anaknya...

Perkongsian Zarul mengenai pemandu OKU itu ternyata menarik perhatian ramai netizen.

BAGI mereka yang malas memandu atau tidak memiliki kenderaan sendiri, perkhidmatan teksi e-hailing sememangnya menjadi antara pilihan utama masa kini.

Selain individu biasa, Orang Kelainan Upaya (OKU) turut bekerja dalam sektor itu, sekaligus memberi ruang kepada mereka untuk mencari rezeki.

Terbaharu, seorang lelaki turut berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan Grab yang mana kereta dinaikinya dipandu oleh seorang wanita cacat pendengaran.

ARTIKEL BERKENAAN:Kudung terkena bom, jiwa kental Syahrain jadi perhatian setiap kali hantar makanan

ARTIKEL BERKENAAN: Rider Foodpanda dapat tempahan diselubungi persoalan! Apartment kosong, jalan sunyi, “Siapa yang order kalau begini?”

Kisah itu ternyata menarik perhatian ramai sehingga menerima respon luar biasa di Twitter.

Bercerita kepada mStar, Muhamad Zarul Ibrahim mengakui sekadar berkongsi kisah itu sebagai tanda penghargaan kepada pemandu pekak tersebut.

"Itu kali pertama saya dapat pemandu OKU. Saya pun tak perasan pada mulanya. Bila saya cakap dia tak balas.

Perkongsian Zarul di laman Twitter.

"Saya pun tak pandang pada kerusi, dah ada tulis bahawa dia pemandu pekak. Tak lama kemudian baru saya perasan.

"Walaupun OKU, dia tetap mencari rezeki. Saya suka-suka sahaja post, appreciation untuk kakak tu," ujarnya sewaktu dihubungi.

Berkongsi pengalamannya menaiki Grab itu dari pejabat ke kediamannya, pemuda yang mesra disapa Zarul berpuas hati dengan khidmat wanita berkenaan.

Sekarang ekonomi tak bagus sangat, banyak benda berlaku. Tolak ke tepi benda lain, kita cari rezeki untuk diri sendiri.

MUHAMAD ZARUL IBRAHIM

PENGGUNA GRAB

Ujarnya, kereta yang dikendalikan wanita itu juga kelihatan bersih dan berada dalam keadaan terjaga.

"Kereta dia tak adalah baru sangat. Mungkin empat tahun macam tu. Tapi dia jaga customer. Kita yang sempurna pun kadang-kadang tak reti jaga customer.

"Dia jaga kereta tu dengan bersih dan wangi. Dia pun sanggup tunggu seminit masa sampai. Dengan banyaknya kereta lain lagi kat situ," ujar Zarul lagi.

Zarul bersama isterinya.

Tambahnya, dia menganggarkan wanita itu berusia dalam lingkungan 50-an.

Memuji ketabahan wanita itu mencari rezeki demi sesuap nasi, Zarul bagaimanapun enggan memandai-mandai dalam membuat telahan mengenai kehidupan pemandu tersebut.

"Dengan keadaan dia macam tu. Saya pun bukan orang senang sangat. Terfikir pasal anak-anak dia.

Kisah mengenai pemandu Grab yang dikongsi Zarul meraih perhatian netizen. (Gambar Hiasan)

"Tapi jangan memandai-mandai. Kita pun tak tahu apa yang dia lalui. Mungkin ada lagi orang yang lebih susah.

"Sekarang ekonomi tak bagus sangat, banyak benda berlaku. Tolak ke tepi benda lain, kita cari rezeki untuk diri sendiri," ujarnya.

Sehingga kini, posting di Twitter Zarul menerima hampir 20,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, perkongsian itu turut dilampirkan dengan dua foto yang dirakam sewaktu dia menaiki kenderaan kendalian pemandu OKU tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Muhamad Zarul Ibrahim, Grab, OKU, pekak

Artikel Lain