suria

“Saya mahu hidupkan suasana menyeronokkan” - Pulas minyak motor terhad di tingkat bawah saja, terbaharu cikgu usung speaker sampai tingkat 3 kejut pelajar

Mohd Shahid (gambar kecil) mengangkut speaker dari bilik ke bilik asrama untuk mengejutkan pelajar bangun pagi. Foto ihsan Mohd Shahid Ahmad

CIKGU buat hal lagi! Dulu bingit bunyi deruman enjin motosikal untuk mengejutkan pelajar-pelajarnya supaya bangun pagi, namun kali ini lain pula caranya.

Bukan biasa-biasa, guru tersebut sanggup mengangkat pembesar suara (speaker) mudah alih yang memainkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari bilik ke bilik di sebuah blok asrama pelajar lelaki.

Malah, kegigihan guru yang berkopiah putih itu dapat dilihat apabila dia mengusung speaker tersebut menaiki tangga ke setiap tingkat blok.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna teknik ‘pulas’ kejut pelajar liat bangun pagi, cikgu penyayang dedah hari ‘malang’... koridor asrama tiba-tiba sunyi

ARTIKEL BERKAITAN: Bingit! Bapa ‘ganti’ suaranya dengan loceng asrama kejut anak bangun Subuh - “Telefon atas katil pun tercampak ke bawah”

Guru berkenaan, Mohd Shahid Ahmad, 42, memberitahu bahawa speaker ‘bergerak’ itu merupakan salah satu cara bagi mengejutkan pelajar untuk bangun pagi selain menggunakan teknik memulas minyak motosikalnya di koridor asrama.

Guru sanggup naik tangga sambil mengangkat pembesar suara.

Mohd Shahid yang merupakan guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Arau, Perlis berkata, amalan mengejutkan pelajar untuk bangun pagi perlu dipelbagaikan bagi mewujudkan suasana yang lebih menyeronokkan tetapi berdisiplin.

“Kalau asyik pulas minyak motor je nanti cepat bosan. Jadi, saya mahu menghidupkan suasana yang menyeronokkan di asrama.

“Bila bawa speaker tu, kadang-kadang saya mainkan bacaan ayat al-Quran dan pada hari lain pula diselang-selikan dengan lagu-lagu nasyid, sesuatu yang mendekatkan kita kepada Tuhan,” katanya kepada mStar. 

Memastikan para pelajar mengemas katil dan dorm masing-masing.

Bergelar sebagai pendidik sejak 12 tahun lalu, Mohd Shahid berkata, kaedah speaker ‘bergerak’ itu juga memberi isyarat lebih jelas dalam memastikan pelajar berdisiplin.

“Sebenarnya, ramai guru yang bersungguh-sungguh nak mendidik pelajar. Bukan sahaja dari segi pendidikan, malah kehidupan harian mereka.

Bila guna speaker bergerak ni, saya boleh bawa sampai masuk ke bilik, siapa yang tak bangun lagi tu siaplah

MOHD SHAHID

“Saya bukan sekadar nak kejutkan pelajar, tetapi memastikan mereka menguruskan masa dengan baik... kemas katil dan dorm masing-masing, sebelum ke surau untuk solat subuh berjemaah.

“Ini kerana selepas solat subuh, mereka semua akan terus bersarapan dan menyertai perhimpunan pagi sebelum mula sesi persekolahan pukul 7.30 pagi,” ujarnya.

Mohd Shahid pernah menjadi perhatian selepas video menunjukkan dia mengejutkan pelajar menggunakan motosikal menjadi tular.

Guru yang berasal dari Sik, Kedah itu sebelum ini pernah berkhidmat di MRSM Langkawi dan MRSM Merbok di Kedah.

Beliau juga menerima pelbagai pengiktirafan seperti Guru Paling Popular 2019 dan 2017, Guru Paling Cool 2018 dan Anugerah Pendidik Terbilang Mara Negeri Kedah 2020 dan Anugerah Guru Cemerlang Mara 2018.

Mohd Shahid bersama para pelajarnya.

Walaupun pembesar suara itu seberat kira-kira 5 kilogram, Mohd Shahid berkata, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendidik para pelajarnya.

“Tak adalah lenguh pun, tapi lebih kepada seronok. Ia sebenarnya lebih kepada kreativiti guru. Cara macam ni pun lebih berkesan.

“Kalau pulas minyak motor, saya hanya boleh buat di tingkat bawah saja. Takkan nak bawa motor sampai ke tingkat tiga asrama, itu pun hanya di koridor di luar dorm saja.

“Tapi bila guna speaker bergerak ni, saya boleh bawa sampai masuk ke bilik, siapa yang tak bangun lagi tu siaplah,” ujarnya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
speaker, Subuh, MRSM, asrama, Mohd Shahid Ahmad

Artikel Lain