suria

‘Shafina Akmal’ kutip derma untuk Ainul Mardhiah, tapi nama bapa berbeza? – “Bimbang orang fikir Ainul perlu sumbangan lagi”

Akaun Facebook palsu yang dikesan mengambil kesempatan mengutip sumbangan untuk Ainul Mardhiah. Foto: FB Ahmad Safiuddin

SIAPA yang tidak kenal dengan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin?

Bayi perempuan ini pernah menjadi perhatian negara tahun lalu kerana menghidap Germ Cell Tumor di bahagian mulutnya.

Ketika itu, Ainul baru sahaja berusia lapan bulan dan keadaannya membuatkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya pasti tersentuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 8 bulan, pakar bedah UK sanggup pandu dari KL ke Melaka jumpa Ainul... siap buat check up - “Apa yang dia bimbang sebelum ini tidak berlaku”

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah, "Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

Keprihatinan rakyat Malaysia yang menggunakan kuasa viral sehingga munculnya ‘Gelombang Ainul Mardhiah’ berjaya mengumpul dana bagi membolehkan pembedahan dilakukan terhadap bayi tersebut.

Ainul akhirnya selamat menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di sebuah hospital kanak-kanak di London pada Jun tahun lalu.

Kini keadaan kesihatan Ainul semakin baik, malah Dr Juling Ong, salah seorang doktor pakar yang menjayakan pembedahannya turut gembira melihat perkembangan bayi tersebut ketika berkunjung ke kediaman keluarganya di Melaka baru-baru ini.

Tangkap layar akaun Facebook palsu menggunakan nama Shafina Akmal yang mengutip sumbangan untuk Ainul. 

Bagaimanapun, muncul pula pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menggunakan nama Ainul untuk melancarkan kutipan sumbangan buat bayi tersebut.

Kesal dengan perkara tersebut, bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak tampil membuat hebahan di Facebook bagi menafikan pihaknya ada melakukan kutipan dana buat kali kedua.

Bimbang pula orang fikir ‘Ainul ni perlukan sumbangan lagi ke’. Disebabkan itulah, saya terpaksa buat hebahan di media sosial untuk elakkan kekeliruan orang ramai.

AHMAD SAFIUDDIN AHMAD RAZAK

BAPA AINUL MARDHIAH

“Saya dapat tahu mengenai wujudnya akaun palsu di Facebook bernama Shafina Akmal yang meminta sumbangan menggunakan nama serta gambar saya bersama Ainul kira-kira tiga hari lalu daripada ahli keluarga. Tapi dia tukar nama saya jadi Taufik.

“Masa dapat tahu tu terkejut juga. Kalau ikutkan, ini kali kedua ada orang yang tidak bertanggungjawab cuba ambil kesempatan atas nama Ainul untuk kutip sumbangan.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini memang tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak boleh mencalarkan imej kami sekeluarga.

“Iyalah, bimbang pula orang fikir ‘Ainul ni perlukan sumbangan lagi ke’. Disebabkan itulah, saya terpaksa buat hebahan di media sosial untuk elakkan kekeliruan orang ramai,” katanya kepada mStar.


Ahmad Safiuddin dan isteri, Nurul Erwani bersama Ainul yang ketika itu baru beberapa minggu selepas menjalani pembedahan.

Dalam pada itu bapa muda berusia 25 tahun ini menjelaskan pihak keluarganya tidak lagi melancarkan kutipan dana memandangkan Ainul sudah selamat menjalani pembedahan dan kini menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

“Sekarang ini memang (kutipan) dah stop. Tapi ramai yang beritahu, individu ini adalah individu sama yang menggunakan kisah orang lain yang pernah viral untuk ambil kesempatan, sebab nombor akaunnya sama.

“Dia siap guna huruf besar untuk nama Ainul sebab nama Ainul semua orang kenal. Kalau ada yang tak fikir panjang, bimbang pula akan buat sumbangan ke akaun tu.

“Buat masa ini, saya hanya buat posting di Facebook dan minta orang report akaun FB palsu individu itu. Tapi jika perkara sama masih berulang, guna nama dan gambar saya bersama Ainul, saya akan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis,” ujarnya lagi.

Antara komen netizen yang turut meluahkan rasa geram dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang 'menyamar' sebagai bapa Ainul.

Tambah Ahmad Safiuddin, dia menyarankan orang ramai mengunjungi laman sosial Facebook dan Instagram milikya dan isteri, Nurul Erwani Zaidi sekiranya ingin mengetahui perkembangan Ainul.

“Kalau nak tahu perkembangan Ainul, atau sekiranya kami perlukan apa-apa, kami sendiri yang akan update di laman sosial,” ujarnya.

Sehingga kini perkongsian Ahmad Safiuddin meraih sehingga 525 shares.

Malah netizen turut mengecam individu yang menggunakan akaun palsu itu sambil menyifatkan tindakannya sebagai ‘tidak cerdik’.

“Berani dia, apa dia tak tahu ke Adik Ainul ni viral satu Malaysia. Lama mana dia boleh scam,” komen seorang netizen.

“Ainul Mardhiah ni dah ibarat Malaysia sweetheart kot. Semua kenal. Tak berapa cerdik scammer ni,” kata netizen yang lain.

“Kurang bijak ni. Kita ni hari-hari follow adik Ainul… dah kenal dah siapa mak bapa adik Ainul ni,” tulis netizen lain pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain