GAYA bersahaja Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memasak nasi goreng sosej dalam satu video menarik perhatian netizen di Twitter. Rata-rata memberi respons berbeza mengenai cara baginda menggoreng sosej menggunakan minyak zaitun. Malah ada netizen berkata minyak zaitun tidak boleh digunakan untuk menggoreng kerana ia boleh menyebabkan kanser. ARTIKEL BERKAITAN: Alami masalah kulit dan rambut, apa kata cuba tip berasaskan minyak sapi ini ARTIKEL BERKAITAN: Mahu cantik secara semulajadi? Amalkan 8 makanan ini untuk kulit kekal sihat dan menawan Ini kerana minyak zaitun tidak sesuai digunakan untuk memasak pada haba yang tinggi. Malah pendapat itu turut disokong Chef Jen yang turut popular di Twitter. Antara respons netizen berkaitan minyak zaitun yang digunakan untuk menggoreng. Menurut Chef Jen atau nama sebenarnya Muhammad Syafiq Hafis, penggunaan minyak zaitun dalam masakan boleh menyebabkan kanser. "Semua jenis minyak boleh menyebabkan kanser jika ia terdedah dengan suhu melampau atau terlalu lama dipanaskan. "Sebagai seorang cef kami biasanya menumis menggunakan minyak zaitun dan butter hanya untuk membangkitkan rasa dan keharuman dalam masakan. "Kami menggunakannya dalam jumlah yang sedikit kerana minyak zaitun mudah meruap dan menimbulkan rasa aneh bila terdedah dengan suhu terlampau panas," katanya kepada mStar. Justeru cef berusia 27 tahun itu menasihati orang ramai supaya memahami fungsi minyak dalam masakan untuk meminimakan jumlah toksik Aldehydes yang menjadi punca banyak penyakit kronik. Chef Jen bersama anaknya. "Semua jenis minyak ada smoke point yang bermakna minyak itu akan berasap mengikut masa atau jumlah kepanasan haba tertentu. "Dan semua jenis minyak mengeluarkan kimia Aldehydes yang menjadi punca untuk banyak penyakit termasuk kanser dan penyakit jantung," katanya. Kongsinya lagi, menurut kajian, minyak yang mengeluarkan paling banyak Aldehydes adalah minyak bunga matahari diikuti minyak jagung dan minyak zaitun. "Minyak yang mengeluarkan jumlah toksik Aldehydes relatif dengan masa adalah minyak kelapa," katanya. Namun Chef Jen berkata minyak terbaik untuk menggoreng adalah minyak kelapa atau minyak kelapa sawit. "Minyak ini mempunyai smoke point yang tinggi dan tidak mengeluarkan Aldehydes yang banyak. Ia juga sesuai digunakan sebanyak tiga kali goreng. Minyak zaitun perlu digunakan ikut kesesuaian. "Jadi saya nasihatkan orang ramai supaya guna minyak yang sesuai pada masa sesuai seperti minyak kelapa sawit untuk menggoreng, minyak bijan menaikkan aroma dan rasa manakala minyak zaitun untuk salad dan sebagainya," katanya. Mengenai minyak zaitun pula, Chef Jen berkata terdapat pelbagai pilihan jenis minyak tersebut yang terdapat di pasaran ketika ini. "Minyak zaitun asli adalah minyak yang sudah diubah menggunakan haba dan kimia untuk menjadikan ia sesuai sebagai minyak serbaguna (dressing dan memasak). "Light olive oil pula adalah minyak zaitun yang diubah untuk menjadikan smoke point tinggi dan sesuai dijadikan untuk memanggang, memasak, menumis serta membakar. "Extra virgin pula adalah perahan pertama yang belum diubah dan mempunyai warna lebih gelap dan bau zaitunnya lebih kuat. Ia sesuai untuk dressing dan campuran sejuk kerana haba boleh mengubah dan merosakkan rasa dan kualiti minyak tersebut," katanya.