suria

Pemergian suami semasa hamil 4 bulan dorong isteri tunaikan hasrat rakam foto ‘sekeluarga’ – “Tak sangka ketam masak lemak air tangan terakhir”

Seorang isteri (kiri) memutuskan untuk menunaikan hasrat arwah suaminya untuk melakukan sesi fotografi newborn bersama anak yang baru lahir. Gambar kanan menunjukkan imej arwah suaminya disunting untuk menjadikan foto keluarga yang lengkap. Foto Fb: Mea Edie Pictures/instagram: Mea_Edie_Pictures/Mea_Edie_Pictures_Newborn

PILU, sekeping gambar sekeluarga bersama bayi yang baru lahir meruntun jiwa netizen.

Perasaan sayu apabila melihat imej seorang suami dan bapa yang mengukir senyuman, tetapi berwarna putih hasil suntingan pada gambar berkenaan.

“Selama tujuh tahun buat fotografi bayi baru lahir, ini kali pertama jumpa kisah macam ni. Ayah bayi ni meninggal dunia ketika usianya empat bulan dalam kandungan,” menurut perkongsian di laman sosial Instagram mea_edie_pictures.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak jamah tapi temankan saya sahur pada hari terakhir dia...”

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

Jurugambar berusia 41 tahun itu berkata, dia terkejut apabila dihubungi seorang pelanggan yang mahu mengambil gambar newborn tanpa suami di sisi.

Seorang bapa yang meninggal dunia semasa isterinya hamil empat bulan. Foto Foto Fb: Mea Edie Pictures/instagram: Mea_Edie_Pictures/Mea_Edie_Pictures_Newborn

Mahu dikenali sebagai Edie, dia bersama isterinya yang juga rakan niaga membuat sesi fotografi berkenaan di rumah keluarga pelanggan itu di Kepong, Kuala Lumpur.

“Sampai di rumah pelanggan, kami terbayangkan anak-anak yatim terutama bayi yang baru lahir tanpa seorang bapa. Kamu usap-usap kepala mereka dengan lembut.

“Saya akui berasa sebak menjalankan sesi fotografi tapi kami cuba bersikap profesional kerana tidak mahu menjejaskan emosi pelanggan,” katanya kepada mStar.

Sesi fotografi anak kedua Shalizawati yang baru lahir. Foto Fb: Mea Edie Pictures/instagram: Mea_Edie_Pictures/Mea_Edie_Pictures_Newborn

Edie yang mengusahakan khidmat fotografi sejak sedekad lalu tidak menyangka pelanggannya begitu tenang sewaktu penggambaran selama hampir tiga jam itu.

“Paling terkesan semasa saya nak edit gambar, sebab membayangkan wanita itu sebagai ibu tunggal dan anak-anak itu bergelar yatim sejak kecil,” katanya.

Bagaimanapun ibu tunggal berkenaan, Shalizawati Saidon berkata, suaminya meninggal dunia Ogos lalu akibat pendarahan dalam otak pada usia 37 tahun.

Anak bongsu daripada dua beradik ini baru dilahirkan bulan lalu. Foto Fb: Mea Edie Pictures/instagram: Mea_Edie_Pictures/Mea_Edie_Pictures_Newborn

Wanita yang juga berusia 37 tahun itu memberitahu, dia dan suami menyuarakan hasrat untuk mengambil gambar sekeluarga sebaik melahirkan anak kedua.

“Sebelum ini kami pernah melakukan sesi fotografi bersama anak pertama dan sebab itu kami mahu meneruskannya untuk anak kedua.

“Tapi hasrat suami tak kesampaian apabila dia meninggal dunia semasa saya hamil empat bulan, jadi saya mahu menunaikan hasratnya,” katanya.

Shalizawati dikurniakan dua cahaya mata. Foto Fb: Mea Edie Pictures/instagram: Mea_Edie_Pictures/Mea_Edie_Pictures_Newborn

Shalizawati berkata, dia menerima cadangan daripada jurugambar untuk menyunting foto arwah suaminya bersama gambar newborn.

“Saya turut berhasrat untuk buat yang sama pada awalnya, tapi ingat nak edit sendiri untuk gambar raya. Tak sangka mereka cadangkan dulu untuk gambar newborn ni.

“Siapa yang tak sedih, paling sedih semasa saya tengok gambar yang telah siap menunjukkan kami empat beranak termasuk imej arwah suami.

Siapa yang tak sedih, paling sedih semasa saya tengok gambar yang telah siap menunjukkan kami empat beranak termasuk imej arwah suami

SHALIZAWATI

“Bagi saya, gambar potret itu lengkap dan boleh saya tunjukkan sebagai kenangan kepada anak-anak mengenai ayah mereka,” kata juruaudit dalaman itu sambil menambah suaminya mempunyai rekod penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Mengimbas kembali, Shalizawati berkata, suaminya dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan selepas ditemui rebah di rumah mereka.

Shalizawati bersama anak bongsunya. Foto Fb: Mea Edie Pictures/instagram: Mea_Edie_Pictures/Mea_Edie_Pictures_Newborn

Selepas dua hari pembedahan dijalankan, dia sekeluarga akur dengan keputusan menghentikan alat bantuan sokongan hayat suaminya selepas dimaklumkan tiada harapan untuk diselamatkan.

Menyifatkan suami begitu penyayang, Shalizawati berkata, arwah mengambil berat semasa di awal kehamilannya yang sering mengalami alahan (morning sickness).

“Arwah seorang yang penyayang. Kadang-kadang suami akan masakkan untuk saya dan anak-anak. Saya ingat lagi malam sebelum dia rebah di rumah, suami masakkan ketam masak lemak dan keesokkan paginya dia sediakan sarapan untuk saya, dan kami duduk makan bersama.

“Menu ketam masak lemak itulah masakan suami yang paling digemari. Tak sangka ia adalah masakan dan sarapan terakhir air tangan dia untuk saya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
newborn, suami, foto, ketam masak lemak, hamil

Artikel Lain