suria

Slip exam gred T jadi tanda tanya, abang dedah adik tak sempat duduki SPM 2019 - “Saya ralat sangat, tak dapat teman dia tidur...”

Ammar (baju hitam) meninggal dunia akibat kanser kolorektal pada 23 Disember tahun lalu.

SEJAK Khamis lalu, ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 berkongsi keputusan peperiksaan mereka di media sosial.

Ada yang dapat straight A dalam semua mata pelajaran, ada juga yang catat 5A. Pendek kata bermacam-macam keputusan dapat kita tengok!

Tapi berbeza dengan tindakan seorang pemuda berkongsi paparan slip peperiksaan dengan deretan gred T (tidak hadir) sehingga menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Video tribute untuk arwah! Sembuh bahu kiri, pelajar VI maut kemalangan... bahu kanan pula patah - “Baiknya arwah masa hidup...”

ARTIKEL BERKAITAN: Video tribute buat Caluq bukti sayang, rakan menangis teresak-esak - “Dia baru lepas gunting rambut sebelum jadi mangsa langgar lari”

"Kenapa tak hadir?" soal Aizzat.

"Baru nak komen kenapa tak hadir... sekali terbaca replies. Sentap dan bertafakur seketika. Semoga rohnya tenang di sana," kata Vegialien.

Namun pemuda tersebut, Amirul Syazwan Nor Azliy, 21, tampil menjelaskan bahawa slip keputusan SPM itu kepunyaan adiknya Ammar Safwan yang meninggal dunia akibat kanser kolorektal pada Disember tahun lalu.

Slip keputusan SPM2019 Ammar yang dikongsi abangnya di Twitter.

"Tu slip keputusan peperiksaan arwah adik saya. Dia sebenarnya tak sempat nak jawab SPM 2019.

"Dia meninggal dunia akibat kanser kolorektal pada 23 Disember tahun lalu.

"Saya minta maaf di atas kekeliruan yang timbul. Saya memang selalu buat posting mengenai arwah sejak dia sakit lagi," katanya kepada mStar.

Jelas Amirul, slip peperiksaan arwah adiknya itu dikongsi ibunya dalam grup WhatsApp keluarga mereka.

"Slip tu ibu saya ambil. Dia screen shot dalam grup WhatsApp family. Lepas tu saya WhatsApp ibu tanya khabar dia.

"Ibu ceritalah dah beberapa hari dia menangis tak berhenti. Dia juga tidur malam tak nyenyak sebab teringatkan Ammar," katanya.

Ammar (kanan) dan Amirul (kiri) bersama keluarganya.

Menurut Amirul, adiknya itu mengalami sakit perut berpanjangan sebelum disahkan menghidap kanser kolorektal tahap tiga pada Ogos 2018.

"Sebelum didiagnos tu dia ada komplen sakit perut tapi bila pergi klinik doktor cakap sembelit. Jadi dia diberi ubat lawas.

"Memandangkan dia belajar dekat MRSM Pasir Tumboh Kelantan jadi atuk saya yang jaga dan dah banyak kali hantar klinik tapi sakit dia tak hilang juga.

Kebiasaannya saya selalu teman dia tidur malam di HUKM. Tapi saya tak boleh lupa sampai sekarang dia pergi pada hari saya tak tidur dengan dia.

AMIRUL SYAZWAN NOR AZLIY.

"Family kami tinggal di Perak, jadi parents saya pun bawalah Ammar pergi check di Hospital Taiping dan di situ barulah dapat detect ada sel kanser," katanya.

Sejak itu, Amirul berkata adiknya berpindah ke sebuah sekolah di Kuala Kangsar, Perak bagi memudahkan dia menerima rawatan di hospital berdekatan.

"Masa tu dia masih pergi sekolah lagi tapi ada hari-hari dia tak pergi sebab ada appointment doktor. Ada masa juga dia kena balik awal sebab tak larat.

Gambar kenangan Ammar (kiri) dan Amirul pada 2010.

"Tapi bermula Ogos tahun lalu dia jumpa pakar di HUKM. Sejak itu dia mula kurang ke sekolah. Parents pun terpaksa pindah ke KL sebab susah nak ulang-alik," katanya.

Dalam pada itu, Amirul turut meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat menemani adiknya buat kali terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 23 Disember lalu.

"Kebiasaannya saya selalu teman dia tidur malam di HUKM. Tapi saya tak boleh lupa sampai sekarang dia pergi pada hari saya tak tidur dengan dia.

"Saya tak expect dia akan pergi begitu cepat. Saya tak dapat teman dia sebab waktu tu saya ada kerja dan ayah saya yang jaga. Masa tu memang saya rasa ralat sangat," katanya.

Ditanya mengenai kenangannya bersama arwah, Amirul berkata adiknya itu selalu berpesan untuk belikan air kegemarannya setiap malam.

"Dia suka air manis. Setiap malam dia akan suruh saya beli air Vitagen perisa anggur.

Ammar memeluk ibunya.

"Dekat rumah pun ibu dah beli dua botol minuman kordial untuk dia minum. Ada hari tu ibu cakap 'dah nak habis dah air minuman kegemaran angah'. Sedihlah juga bila dengar ibu cakap macam tu," katanya.

Sementara itu, Amirul turut menyifatkan adiknya itu sebagai seorang yang penyayang dan manja.

"Dalam kami tiga beradik Ammarlah paling manja dan penyayang. Dia jenis tak malu nak tunjuk kasih sayang dia.

"Kalau Hari Raya dia jelah yang berani peluk mak ayah saya. Saya dan adik segan. Bila dia tak ada memang terasa kehilangan tu," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
SPM 2019, Ammar, Amirul, kanser kolorektal

Artikel Lain