suria

Betul-betul panik! Suami kena beli barang dapur seorang diri, ada yang kongsi tip elak kena marah - “Simpan jawapan keramat ni, rahsia kita-kita aja”

Seorang lelaki membeli barang keperluan di pasar raya, sambil memakai topeng muka bagi mencegah jangkitan Covid-19. Gambar sekadar hiasan Foto AZHAR MAHFOF/The Star

“HANYA seorang atau ketua keluarga yang dibenarkan keluar rumah.”

Demikian tegas Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media, Sabtu berhubung perkembangan terbaharu mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa dari 18 Mac hingga 31 Mac, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Malah, kerajaan menetapkan peraturan itu hanya untuk urusan penting seperti membeli barang keperluan dan ubat-ubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Hanya seorang dibenarkan keluar rumah - Fadillah

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya minta tolong untuk tempoh 2 minggu ini saja” – Tolonglah! PM rayu ‘stay at home’... jangan balik kampung

Ketua keluarga yang dimaksudkan itu sudah tentu antaranya adalah kaum suami bagi mereka yang sudah berumahtangga.

Orang ramai dinasihat agar tidak membuat pembelian panik barangan keperluan asas susulan pelbagai dakwaan palsu mengenai jangkitan Covid-19. Foto Bernama

Namun kebiasaannya, kaum isteri terutama suri rumah yang keluar membeli barangan keperluan terutama bahan mentah untuk dimasak buat seisi keluarga.

Adakah ‘tugasan’ membeli bahan mentah yang dipesan isteri bakal menjadi cabaran baharu buat golongan suami yang perlu membezakan jenis-jenis ikan, sayur dan rempah serta ramuan lain.

“Ingat semua suami sekalian. Hanya ketua keluarga sahaja yang boleh keluar rumah beli barang keperluan asas. Jadi, wajib kenal antara lengkuas dan halia, sayur bayam dan sawi. 

“Jenis-jenis ikan pun perlu kenal juga. Nanti salah beli. Tak boleh lipat kain nanti,” tulis seorang guru, Mohd Fadli Salleh menerusi posting di halaman Facebooknya, Sabtu.

Antara jenis ikan yang mungkin mengelirukan kaum suami. Foto Facebook Mohd Fadli Salleh

Namun, Mohd Fadli berkongsi tips bersama kaum suami bagi mengelakkan daripada dimarahi isteri sekiranya tersilap membeli barang yang dipesan.

“Kita ada satu jawapan paling agung untuk elak kena marah jika tersilap beli. ‘Abang, kenapa beli lengkuas. Ayang suruh beli halia kan? Ni kenapa sawi? Bayamlah? Ikan kembung, bukan ikan mabong!” katanya yang merujuk kepada pertanyaan isteri.

Ingat semua suami sekalian. Hanya ketua keluarga sahaja yang boleh keluar rumah beli barang keperluan asas. Jadi, wajib kenal antara lengkuas dan halia, sayur bayam dan sawi. 

MOHD FADLI

Dia kemudian memberikan jawapannya sebagai respons: “Lengkuas habis. Jadi, abang ambil halia. Sama juga bayam, habis juga. 

“Abang ambil sawi. Ikan mabong je tinggal kat pasar tadi. Ikan lain semua dah berenang ke kuali rumah orang lain’... Haaa, simpan jawapan keramat ni tau. Ini rahsia kita-kita aja,” ujarnya secara berseloroh.

Pembelian sayur juga memberi cabaran kepada kaum suami. Foto SAIFUL BAHRI/The Star

Malah, ada yang melabelkannya sebagai pembelian panik (panic buying) sebenar apabila ketua keluarga perlu memberi barang dapur seorang diri.

“Tambah panik bila anda tak pernah kenal mana satu halia, lengkuas, kunyit, daun sup, daun bawang, ikan temenung. Kemuncak panik bila anda terlupa bawa phone.

“Panik paling maksimum bila anda nak tanya orang di pasar raya, tapi yang datang semua pun lelaki macam anda dan mereka juga sedang panik.

“Segala panik berakhir apabila semua ketua keluarga beratur di kaunter bawa ikan sardin sebanyak 10 tin seorang. Simple,” menurut perkongsian seorang pengguna Facebook, Muhsin Zaidi yang tular di media sosial.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain