suria

Lelaki kongsi tip ‘lepas’ roadblock gelabah... borak grup WhatsApp bawa padah! – “Tak sangka ada sebar gambar saya dan famili”

Kisah seorang lelaki yang tular membawa isteri dan tiga anaknya bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas salah seorang anaknya. Foto Facebook

KECOH apabila tular kisah seorang individu dan keluarganya ke Kuala Lumpur dan akhirnya memberi tip cara untuk melepasi sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mendakwa berjaya lolos roadblock kerana memberi alasan hendak membawa anaknya ke hospital dan terpaksa membawa semua ahli keluarganya, ternyata tindakannya itu mencuri tumpuan pelbagai pihak.

Tidak terkecuali pak menteri kanan juga menegur sikapnya yang cuba menjadi 'hero' dengan mengajar orang ramai cara menipu polis dan akhirnya lelaki tersebut tampil mempertahankan dirinya.

“Alhamdulillah, dah selamat sampai ke KL satu famili. Tip dia nak bawa anak pergi hospital. Anak-anak yang belakang tak ada orang jaga,” tulisnya menerusi grup WhatsApp sehingga menjadi tular, sekali gus membangkitkan kemarahan orang ramai kerana dianggap sanggup menipu demi kepentingan diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu lolos roadblock dikenal pasti - “Siap bagi tip cara tipu polis... jangan anggap diri hero!”

Susulan perkara tersebut, lelaki berkenaan menjelaskan perkara sebenar dan mengakui gurauannya membawa padah.

Tangkapan skrin mesej di grup Whatsapp yang tular di media sosial.

Menerusi satu perkongsian di halaman Facebook lelaki berkenaan pada Jumaat, dia menjelaskan bahawa dia membawa anak dan isteri untuk ke klinik bagi pemeriksaan bulanan dan imunisasi bayinya yang berumur tiga bulan. 

“Sementara itu, tiada sesiapa yang boleh jaga dua lagi anak kami yang masih kecil dan dalam fasa melasak. 

“Radius kawasan kami tinggal dan klinik yang kami kunjungi adalah antara 10 kilometer sahaja. Saya dan anak yang lain hanya menunggu di dalam kereta sementara isteri saya membawa anak kami untuk pemeriksaan,” katanya tanpa memaklumkan lokasi tempat tinggalnya.

Tangkapan skrin penjelasan berhubung isu yang tular membabitkan dirinya.

Bapa tiga anak itu menegaskan bahawa dia tiada niat untuk memperlekehkan mahupun memandang rendah tanggungjawab dan tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas barisan hadapan (frontliner) dan semua yang bertungkus-lumus menyelamatkan serta melindungi rakyat Malaysia.

“Niat saya post dalam grup Whatsapp hanyalah sekadar borak antara rakan-rakan dalam grup Whatsapp, dan tidak sangka ada individu yang menyebarkan gambar saya dan famili,” katanya sambil menambah profil Facebook miliknya telah disebarkan tanpa izin.

Menurutnya, berat ujian dirinya sekeluarga apabila kisah itu menjadi tular tanpa fakta dan disalah erti.

“Saya selaku empunya gambar yang sedang viral ingin memohon maaf di atas isu tersebut yang saya pasti telah banyak timbulkan salah faham dan amarah netizen,” katanya.

Di saat negara kita dilanda ujian Covid-19 ni dan ramai antara kita yang turut terkesan, usahlah kita menambah minyak pada api yang tengah membakar

PENGGUNA FACEBOOK

Dia turut memberitahu telah membuat laporan polis serta bukti paparan Whatsapp yang menimbulkan salah faham dan kekeliruan.

“Di saat negara kita dilanda ujian Covid-19 ni dan ramai antara kita yang turut terkesan, usahlah kita menambah minyak pada api yang tengah membakar. 

“Semua orang berada dalam keadaan yang sensitif sekarang, Kita boleh mengubahnya kepada lebih baik. Kita jaga kita, sama-sama kita mendoakan agar keadaan yang lebih baik hentikanlah sebar cerita yang tak sahih,” katanya.

Pasukan PDRM dengan kerjasama ATM menjalankan sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19 .Foto Bernama

Terdahulu, dilaporkan bahawa polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik satu posting yang tular di media sosial sejak Khamis mendakwa mereka sekeluarga berjaya melepasi sekatan jalan raya semasa PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada siapa boleh terlepas hukuman sekiranya mengingkari arahan PKP yang dilaksanakan sehingga 28 April ini.

“Saya ingin beri ingatan kepada semua. Jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang ramai untuk mengikut tindak tanduk mereka melakukan kesalahan.

“Pihak polis telah mengenal pasti mereka ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tiada siapa pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan polis jika melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, petang Jumaat.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sekatan, tip, PKP, roadblock, grup whatsapp

Artikel Lain