suria

Nak sangat merasa masuk zon merah Covid-19, persoalan Dr Say akhirnya terjawab - “Ibarat zon perang dengan kawat berduri... cukup menyeramkan”

Dr Say Shazril berkongsi pengalaman di kawasan PKPD di sekitar Pasar Borong KL di Selayang. Foto instagram say_shazril/Bernama

PENANTIAN sekian lama akhirnya berbaloi!

Begitulah yang dialami seorang doktor popular yang tampil secara sukarela sebagai petugas barisan hadapan atau frontliner dalam menangani kes Covid-19.

Pada awalnya, Dr Muhammad Shazril Shahruddin menunggu hampir sebulan untuk menjadi sukarelawan, namun Unit Mobilisasi Bantuan Covid-19 memaklumkan tarikh beliau sepatutnya mula berkhidmat pada 20 April perlu ditangguhkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor popular dihalang masuk pasar raya, pulang ‘kosong’ kerana tak ada topeng - “Kenapa masih wajibkan? Bukan senang nak cari face mask sekarang”

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Sado pernah takut rawat pesakit Covid-19, kini sedia kendali ‘kluster kayangan’ - “Saya sebenarnya lebih sasa sebelum PKP”

Namun, kekecewaannya untuk menjadi sukarelawan terubat dengan bantuan seorang rakan dan kerjasama daripada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).



Pada awalnya, permohonan Dr Say Shazril untuk menjadi sukarelawan Covid-19 ditangguhkan. Foto instagram say_shazril

Lebih dikenali sebagai Dr Say Shazril, beliau memulakan tugas di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang mana kawasan sekitarnya merupakan zon merah Covid-19 dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Saya sering tertanya-tanya macam mana the real situation kat luar sana? Betul ke keadaannya macam zon perang? Betul ke pakai PPE (peralatan perlindungan diri) tu panas gila? Apa rasanya jadi frontliner ni? Well, hari ni saya dapat pengalaman kesemuanya!

“Kalau kalian tengok berita hari ni, pasar borong ni ibarat zon perang dengan kawat berduri di sekeliling kawasannya. Pintu masuk dikawal ketat oleh tentera dan polis, cukup menyeramkan,” tulis doktor berusia 32 tahun itu menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya pada Selasa malam.



Dr Say Shazril memakai PPE semasa bertugas di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Berkongsi pengalaman, Dr Say Shazril yang muncul sebagai pengacara bagi program Tanya Doktor dan My Doctors berkata, beliau bersama yang lain ditugaskan untuk mengambil 800 sampel lalu dan diminta untuk memakai PPE.

“Lapisan demi lapisan disarungkan sehinggalah item terakhir iaitu face shield. Kehangatannya ibarat anda duduk di dalam kereta yang dibiarkan di bawah panas terik sepanjang hari dan anda hanya buka tingkap satu perlima tanpa aircond.

“Cukup panas dan sesak! Atas sebab inilah masa yang dihadkan kepada mereka yang memakai PPE hanya tiga jam kerana jika dibiarkan lebih lama mungkin akan memudaratkan,” katanya.



Petugas kesihatan dilihat membawa para penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur bagi melakukan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

Pada awalnya, Dr Say Shazril mengakui perasaannya menjadi frontliner cukup menggusarkan kerana tidak tahu apa yang hendak dijangkakan.

“Bayangkan selama ni kita tengok dan dengar kes-kes Covid-19 di berita sahaja tup tap hari ni kena swab tekak beratus orang yang mungkin salah sorang ni ada wabak maut ni, apa perasaan korang? Pula tu lepas ni nak balik jumpa anak dan bini, tak ke menakutkan sekiranya kita terbawa balik Covid-19? Nauzubillahiminzalik.

Kehangatannya ibarat anda duduk di dalam kereta yang dibiarkan di bawah panas terik sepanjang hari dan anda hanya buka tingkap satu perlima tanpa aircond.

DR SAY SHAZRIL

“Tetapi saya sangat bertuah dikelilingi pasukan yang cukup supportive dan helpful. Pertama kali saya nampak betapa cekapnya pegawai kesihatan, polis, tentera, JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), Rela berinteraksi bersama.

“Cuak saya terus bertukar kepada semangat... semangat untuk meneruskan hari-hari sukarelawan mendatang,” katanya.



Dr Say Shazril bersama pasukan petugas barisan hadapan untuk mengendalikan ujian saringan Covid-19. Foto instagram say_shazril

Merasai pengalaman sendiri, Dr Say Shazril menasihatkan agar semua pihak mengambil iktibar terhadap penularan Covid-19 dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan virus itu.

“Jangan sesekali pandang remeh Covid-19 ni. Bilangan kes mungkin dua digit sekarang tapi dari pengalaman saya tadi, dua digit ini tidak akan berkekalan. Stay safe semua!” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain