MUNGKIN ada yang terkejut dengan kekurangan pada wajahnya, tetapi gadis ini mendapat pujian ramai kerana yakin untuk berkongsi foto selfienya. Rata-rata netizen gembira dengan aura positif yang ditonjolkan gadis itu, malah turut memuji kecantikan wajahnya. “MasyaAllah... lihatlah dari mata hati. She is so pretty,” komen seorang netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ‘hilang’ nikmat makan guna tangan sebab ekzema – “Saya sampai total lost, rasa nak potong tangan tapi...” ARTIKEL BERKAITAN: 4 tahun selepas ‘buang’ tangan palsu, si kudung CK garang di trek maraton, spartan Gadis berkenaan, Siti Nurhikmah Razlan berkata, dia benar-benar tidak menyangka foto selfienya akan mendapat sambutan netizen kerana ini baru pertama kali ia dikongsi di Twitter. Perkongsian foto selfie Hikmah di laman sosial menerima pujian ramai. Lebih mesra dengan panggilan Hikmah, gadis berusia 22 tahun itu bertindak begitu disebabkan mahu mencabar dirinya untuk tampil ke hadapan kerana mempunyai minat dalam kepimpinan. “Jujurnya, saya akui dahulu saya tak begitu yakin dengan diri saya di atas kekurangan yang ada. Tapi lama-kelamaan saya fikir tak boleh berterusan macam ni. “Saya begitu minat dalam kepimpinan dan bercita-cita untuk menjadi guru. Kalau saya nak mengajar orang untuk menjadi yang lebih baik, saya sendiri seharusnya kena berubah untuk menjadi contoh yang baik, ” katanya kepada mStar. Hikmah semasa kecil. Berkongsi kisah peribadi, Hikmah memberitahu, sejak dilahirkan dia tidak mempunyai bebola mata pada mata kirinya dan beberapa kali dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan. Anak sulung daripada dua beradik ini menjelaskan bahawa dia bersyukur kerana masih mampu untuk melihat menggunakan mata kanan. Kalau seseorang buat kita sedih... kita jangan benci dia, sebaliknya berterima kasih kepada dia sebab membuatkan kita menjadi lebih kuat HIKMAH “Banyak mata palsu yang dicuba tapi tiada yang sesuai. Kalau buat pembedahan bimbang ada jangkitan. Saya bersyukur masih dapat melihat dengan sebelah mata. “Saya amat bersyukur kerana keluarga begitu menyokong saya, termasuk rakan-rakan rapat. Ibu bapa saya mengajar saya untuk menjadi kuat walau apa jua keadaan. Hikmah mengimbas kembali kenangan semasa di sekolah menengah. Sekental mana pun jiwanya, gadis yang dibesarkan di Kuantan, Pahang itu tidak mampu melupakan pengalaman pahit diejek rakan-rakan semasa di sekolah menengah. “Saya pernah dibuli semasa tingkatan tiga dengan rakan-rakan yang rampas dan conteng buku rujukan saya. Mereka lukis gambar dajal kerana saya ada mata sebelah mata saja. “Memang sedih sampai menangis, tergamak diejek dajal. Tapi, saya bersyukur kerana lebih ramai yang menyokong saya daripada menghina,” ujarnya yang kini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) kampus Puncak Alam, Selangor. Peristiwa sedih memberi kekuatan kepada Hikmah. Malah kata Hikmah yang suka melancong dan memasak, dia semakin yakin dengan dirinya selepas mengalami peristiwa sedih melibatkan persahabatan pada tahun lalu. “Tapi bagi saya, kalau seseorang buat kita sedih... kita jangan benci dia, sebaliknya berterima kasih kepada dia sebab membuatkan kita menjadi lebih kuat. “Kerana keyakinan dan kekuatan ini jugalah menjadikan saya lebih percaya pada diri sendiri. Tak perlu nak malu lagi berjumpa dengan orang, bahkan saya dah mula suka mengambil gambar selfie sejak akhir tahun lalu, ” katanya dengan nada teruja.