suria

Tak pernah sebak bantu orang susah, air mata guru gugur depan keluarga ini - “Bilik di rumah saya lagi besar daripada teratak mereka”

Kisah yang dikongsi oleh Cikgu Zura mengenai kehidupan seorang ibu tunggal bersama empat anak kecilnya menyentuh hati netizen.

“SEBAK rasa hingga mengalir air mata apabila melihat keadaan rumahnya yang sangat sempit.... di situlah tempat tidur, tempat makan, ruang tamu dan dapur.”

Demikian cerita seorang wanita yang berkongsi kisah sedih kehidupan seorang ibu tunggal yang hanya berteduh di sebuah teratak sempit bersama empat anak yang masih kecil.

Berkongsi cerita dengan mStar, Azurai Abdul Fattah berkata, perasaannya begitu hiba dan tersentuh saat pertama kali berkunjung ke teratak keluarga berkenaan ketika mahu menyampaikan sumbangan pada minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu terkejut! Pelajar bijak dan cantik pandai ‘cover’ kemiskinan, baju kedut bongkar kisah menyayat hati - “Mereka tinggal di stor cleaner”

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah 2 bungkus nasi dan sekeping tilam buat pemuda ini sebak, tak sempurna tapi jujur – “Dia tiada siapa-siapa, hanya anak angkat lelaki sahaja”

“Ketika saya tiba dengan suami untuk memberikan sumbangan makanan berupa keperluan asas, hanya anak-anak ini sahaja yang ada di rumah. Ibunya pula keluar bekerja di tempat pemprosesan getah. Seawal jam 7.30 pagi keluar bekerja dan hanya pulang pada pukul 4 petang.

“Ketika pertama kali tiba, sebak dan hiba sangat tengok keadaan rumahnya. Boleh dikatakan bilik di rumah saya lagi besar daripada teratak mereka. Rumah itu hanya terdiri dari satu ruang. Di situlah mereka duduk makan dan tidur.



Posting yang dikongsi oleh Cikgu Zura mengenai kisah ibu tunggal ini menyentuh hati netizen.

“Tikar getah dan tilam sudah lusuh. Perabot langsung tak ada. Pakaian dan makanan hanya diatur di tepi dinding sahaja. Lebih sedih apabila mengenangkan si ibu yang terpaksa meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil demi mencari sesuap nasi,” katanya.

Wanita ini yang senang disapa dengan panggilan Cikgu Zura berkata, anak-anak kecil tersebut berusia antara 3 tahun hingga 11 tahun, manakala ibu mereka berusia dalam lingkungan awal 30-an.

“Tapi anak-anak kecil ini sangat cerdik. Ketika saya dan suami datang dan bertanyakan serba sedikit keadaan mereka, si kakak yang darjah 5 dan adiknya yang darjah 3 petah bercakap.



Rumah ibu tunggal ini tidak mempunyai perabot untuk menyimpan pakaian.

“Mereka yang jagakan dua adik kecil lagi ketika si ibu keluar bekerja. Malah mereka akan memasak nasi dan ibu mereka akan memasak juadah berbuka apabila pulang bekerja. Puasa pun tak tinggal. Senang cerita, mereka sungguh berdikari,” ujarnya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Jerantut, Pahang.

Tambah wanita berusia 43 tahun ini, dalam banyak-banyak keluarga yang pernah dibantunya sebelum ini, kisah kehidupan ibu tunggal ini adalah antara yang paling menyentuh hati sehingga dia tergerak untuk membuat perkongsian di laman sosial.

Tikar getah dan tilam sudah lusuh. Perabot langsung tak ada. Pakaian dan makanan hanya diatur di tepi dinding sahaja. Lebih sedih apabila mengenangkan si ibu yang terpaksa meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil demi mencari sesuap nasi.

AZURAI ABDUL FATAH

GURU

“Bayangkan ibu tunggal yang terpaksa menyara keluarga seorang diri tanpa suami. Si ibu ini hanya ada basikal untuknya berulang alik ke tempat kerja. Baru-baru ini, tayar basikalnya bocor. Dalam keadaan sekarang, kedai banyak tak buka, macam mana dia nak baiki... suami pula tak ada.

“Jadi saya dan suami sepakat untuk membantunya membetulkan basikalnya itu ketika kami datang selepas ini. Saya juga akan berikan peti ais lama untuk kegunaan mereka menyimpan makanan.

“Kalau nak berkongsi kisah keluarga susah yang lain, sebelum ini kebanyakan yang saya dan suami bantu adalah golongan yang memang betul-betul susah. Ada rumah yang tak ada bekalan elektrik, air... Semuanya di kampung di sekitar daerah ini,” ujarnya.



Cikgu Zura menyumbangkan peti ais dan perabot kepada ibu tunggal berkenaan.

Bercerita serba sedikit mengenai aktiviti kebajikan yang dilakukannya, Cikgu Zura mendedahkan semuanya bermula apabila dia sering membantu anak-anak murid di sekolahnya yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan.

“Bermula daripada bantu anak-anak murid, akhirnya secara tak langsung apabila turun padang, dapat jumpa ramai keluarga yang susah. Saya hanya bergerak dengan suami sahaja tanpa bantuan mana-mana NGO, atas dasar untuk berkongsi rezeki setakat yang kami mampu.



Antara komen netizen yang memuji keprihatinan Cikgu Zura.

“Tak pernah pun saya buat perkongsian di laman sosial tentang perkara ini sebab bimbang disalah tafsir. Tapi kisah ibu tunggal ini buatkan saya tergerak nak berkongsi kerana bagi saya, mungkin ini salah satu cara untuk pihak lain turut sama membantu.

“Secara tak langsung, kita dapat ringankan beban keluarga ini. Tak sangka ramai yang beri maklum balas dari perkongsian tersebut dan mahu bersama-sama menghulur sumbangan. Alhamdulillah, bagi saya, kita takkan miskin pun dengan beri bantuan.

“Itu adalah salah satu ladang pahala kita. Saya sendiri turut menerapkan kepada anak-anak agar meneruskan apa yang saya dan suami lakukan, ” ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ibu tunggal, guru, peti ais, basikal

Artikel Lain