suria

Tuan lari tinggalkan rumah sewa, anjing buta tumpang kasih jiran Melayu sambil harapkan kepulangan - “Sayangnya tak boleh nak bela”

Kisah Hazim membantu anjing buta milik bekas jirannya menjadi tular setelah dikongsi abangnya di Twitter.

SIKAP mulia seorang jejaka Melayu di Pekan Pusing, Perak yang sanggup menjaga anjing buta milik jirannya ternyata menyentuh hati ramai.

Kisah mengenai Mohammad Nur Hazim, 23, menjadi tular setelah ia dikongsi oleh abangnya, Mohammad Syahmi Iswat, 26, menerusi Twitter.

Mesra disapa Syahmi, dia mengakui cukup terharu dan bangga atas sikap prihatin adiknya itu sehingga terpanggil untuk berkongsi di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayah jalan ke surau, Johnny teman” - 2 tahun depan pagar, anjing ratapi pemergian penjaganya... terima kasih tuan

ARTIKEL BERKAITAN: Pujuk dulu, kemudian bantu! Cara abang polis selamatkan anjing jatuh longkang buat ramai tersentuh

"Sebenarnya sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Mula-mula keluarga saya fikir jiran kami tu dah berpindah.

"Tapi tengok ada barang terbiar, lampu pun terbuka. Anjing tu ada kat bahagian belakang rumah. Tak tahu apa jadi, mereka hilang macam tu je.

"Jadi setiap hari adik saya akan bagi makanan, tolong bersihkan. Memang rasa bangga. Kalau saya sendiri ada di tempat dia pun belum tentu berani nak pegang. Tapi dia buat semua tu, dia tak kisah," ujarnya kepada mStar.



Syahmi (kanan) bersama Hazim (tengah) dan ahli keluarga mereka.

Lebih pilu kata Syahmi, anjing itu buta dan ia pastinya mengalami kesukaran jika tiada siapa membantunya.

"Kesian tengok anjing tu. Disebabkan buta, susah kalau nak cari makan sendiri. Kalau jalan pun akan langgar pagar, masuk longkang... sebab tak nampak.

"Bila tengok adik saya bantu, rasa terharu. Tapi dia pun tahu batas-batas sebagai orang Islam. Adik pula jenis cepat kesian tengok haiwan," ujarnya yang menetap di ibu negara.

Setiap hari duduk kat depan rumah tuan dia mengharap tuan dia balik. Itulah tempat dia tiap-tiap hari duduk baring macam tu dari siang sampailah malam.

MUHAMMAD SYAHMI ISWAT

ABANG

Menurut Syahmi, hasil perkongsian di Twitter, ada individu yang menghubunginya dan menyuarakan hasrat untuk membantu.

Malah, seorang wanita Melayu dari Kuala Lumpur juga sudah membeli makanan anjing untuk dihantar ke alamat kediaman keluarganya di Perak.

"Bila saya post, tak jangka pun akan viral. Lepas tu ada orang mesej saya cakap nak bantu. Dia dah pos makanan.



Posting Syahmi mengenai adiknya di Twitter.

"Terima kasih sangat. Harapnya tuan dia akan balik semula nanti. Kalau tidak pun, harap ada orang akan bela," ujarnya lagi.

Dedah Syahmi, adiknya, Hazim merupakan penuntut Universiti Teknologi Nasional (Uniten), Kajang, Selangor dan kini balik ke kampung halaman setelah semua institusi pendidikan ditutup akibat PKP.

Sehingga kini, posting Syahmi mengenai kisah adiknya menerima hampir 12,000 ulang kicau (Retweet).



Sikap prihatin Hazim mendapat perhatian ramai di Twitter.

Menerusi video yang dikongsi, Syahmi berkata anjing itu setiap hari duduk di depan rumah, seolah-olah mengharapkan kepulangan pemiliknya.

"Setiap hari duduk kat depan rumah tuan dia mengharap tuan dia balik. Itulah tempat dia tiap-tiap hari duduk baring macam tu dari siang sampailah malam.

"Dan sekarang adik pula dah jadi tempat dia nak bermanja. Sayangnya tak boleh nak bela... hopefully adalah yang sudi jaga," tulis Syahmi lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain