suria

Pasangan Malaysia-Korea tahan mengidam nasi kerabu, dapat banyak baju raya sponsor tapi tak sampai pula - “Ramai excited tunggu majlis kahwin kami”

Ryzal dan Maryam bersalaman di pagi Syawal.

BAGI umat Islam di Malaysia, kedatangan Aidilfitri tetap disambut gembira bersama keluarga meskipun dengan cara berbeza kali ini dek pandemik Covid-19.

Namun bagi mereka yang jauh di perantauan, rindu terhadap keluarga di tanah air sukar dibendung.

Begitulah perasaan pasangan suami isteri Malaysia dan Korea Selatan, Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim dan Maryam You Narae apabila terpaksa beraya di negara K-Pop itu, jauh daripada keluarga tercinta di Kota Bharu, Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Korea fasih cakap Melayu rindu makanan Malaysia, iftar 1 Ramadan suami beli 10 bungkus nasi kerabu! - “Terkejut bunyinya kasar, maksud asal lapar macam nak mati”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Korea Maryam You Narae buka cerita mengapa jatuh cinta dengan lelaki Melayu - “Senyuman dia comel, he is mine!”

Menurut Nik Muhammad Ryzal atau mesra disapa Ryzal, mereka sepatutnya pulang ke tanah air seminggu sebelum Aidilfitri tetapi terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

"Ini first time tak dapat balik beraya. Memang setiap tahun saya tak pernah terlepas balik kampung.



Ryzal dan Maryam menghias rumah mereka sempena Aidilfitri.

"Jadi kali ni memang sedih dan terkilan sebab kami dah plan nak buat jamuan raya dan majlis persandingan kami sekali.

"Orang pun ramai excited tunggu majlis kami tapi apakan daya, kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan," katanya kepada mStar.

Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Ryzal berkata dia dan Maryam merancang untuk mengadakan jamuan secara kecil-kecilan pada hari kedua Syawal.

Nasi kerabu pula kalau nak order kena pergi Itaewon (pusat jangkitan kluster terbaharu). Jadi memang tak beranilah nak ke sana. Nak buat sendiri pula makan masa, jadi kami terpaksa tahan jelah.

NIK MUHAMMAD RYZAL NIK IBRAHIM

Suami

"Kami akan buat makan kecil-kecilan pada raya kedua kerana masing-masing tidak dapat bercuti pada raya pertama.

"Saya akan jemput adik lelaki saya yang ada sekali dekat sini, rakan sepejabat dan beberapa kenalan rapat tidak lebih 10 orang.

"Kami terpaksa hadkan tetamu kerana beberapa hari lalu ada kluster baharu Covid-19 yang berpusat di Itaewon. Jadi kami perlu lebih berhati-hati," katanya.

Jelasnya lagi, dia bersama isteri dan adik lelakinya berpakat memasak juadah tradisional untuk dijamu kepada tetamu yang datang.



Pasangan ini terpaksa beraya di perantauan kerana pandemik Covid-19.

"Maryam masak nasi lemak. Saya pula masak nasi minyak dan nasi impit. Kami akan masak sama-sama.

"Lagipun Maryam tahu masak masakan Malaysia macam rendang daging. Semua bahan kami beli dari pasar halal berdekatan rumah," katanya.

Walaupun dapat menyediakan juadah tersebut di perantauan, Ryzal berkata dia dan isterinya tetap merindui beberapa makanan Malaysia.

"Memang kami merindui makanan Malaysia. Macam Maryam dia suka makan sate, nasi impit bersama kuah kacang dan nasi kerabu.

"Nasi kerabu pula kalau nak order kena pergi Itaewon (pusat jangkitan kluster terbaharu). Jadi memang tak beranilah nak ke sana.

"Nak buat sendiri pula makan masa, jadi kami terpaksa tahan jelah. Tapi kami ada order lapan biskut raya daripada orang Malaysia yang tinggal dekat Gwangju," katanya.

Pemuda berusia 28 tahun itu berkata mereka tiada baju raya baru untuk digayakan pada Aidilfitri kali ini.



Pasangan ini sepatutnya mengadakan majlis persandingan di Kota Bharu, Kelantan pada raya keenam tetapi terpaksa dibatalkan.

"Sebenarnya Maryam dapat banyak baju raya sponsor tapi penghantaran ke sini pula bermasalah kerana Covid-19. Kami diberitahu baju tu hanya akan sampai lepas raya.

"Tapi tahun lepas saya ada belikan Maryam dua pasang baju raya, warna pink dan biru muda. Jadi tahun ni kami akan pakai baju raya tahun lepas juga warna biru muda," katanya.

Dalam pada itu, Maryam berkata sambutan Aidilfitri kali ini amat bermakna buat dirinya.

"Ini raya pertama saya sebagai isteri. Saya rasa gembira dan lebih bahagia kerana dikelilingi ramai orang yang sayang saya.

"Terima kasih kepada kawan-kawan, famili dan mereka yang mendoakan yang baik-baik untuk saya," katanya.

Sebelum ini, tular kisah melibatkan pasangan sama cantik sama padan itu apabila Maryam secara spontan mengucapkan ayat ‘lapar nak mampus’ menerusi satu video.

Mereka selamat diijabkabulkan pada Ogos tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain