GARA-GARA sudah terbiasa kerap turun padang menghulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tidak 'bercuti' lama meskipun umat Islam baharu sahaja menyambut 1 Syawal, Ahad lalu. Menerusi perkongsian di Facebook pada petang Khamis, Ebit memaklumkan dia kini berada di Johor, bagi membantu keluarga daif yang hanya berteduh di dalam pondok sempit. Kebiasaannya, pendakwah ini berjaya membantu memindahkan sebuah keluarga ke kediaman yang selesa dalam masa sehari setiap kali kunjungannya ke satu-satu lokasi. ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit menangis lagi! Kali ini kerana bantu keluarga daif ‘jauh dalam kebun getah’ - “Sehari mereka di sini dosa buat saya yang tidur lena” ARTIKEL BERKAITAN: 20 tahun tinggal di longgokan sampah, keluarga daif dapat kehidupan baharu selepas 2 jam Ebit Lew tiba - “Kita satu bakul sampah cepat buang ke luar” Namun kali ini, pendakwah tersebut berjaya membantu memindahkan empat keluarga sekaligus dalam masa hanya sehari! "5 Syawal. Pindahkan empat keluarga serentak di Johor dari pondok kecil selama tujuh tahun tinggal di situ ke empat rumah baru. Bahagia rasa. Kurang 24 jam selesai pindah empat rumah. Posting Ustaz Ebit di Facebook mengenai empat keluarga daif yang berjaya dibantunya pada Khamis. "Dua rumah teres dan dua rumah flat cantik selesa. Belikan peti ais, mesin basuh dan rice cooker. Belikan katil, tilam cadar bantal. Merata cari rumah di bandar ini. Syukur dapat sewa akhirnya. "Kepuasan besar rasa dapat pindah empat keluarga serentak walau penat dan terkejar-kejar," tulisnya pada perkongsian tersebut. Menurut Ebit, empat keluarga yang dibantunya itu hilang punca pendapatan lantaran si suami yang bekerja sebagai penurap jalan tiada pekerjaan semenjak kerajaan menguatkusakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu. Keluarga-keluarga berkenaan hanya menumpang teduh di bawah pondok sempit sejak tujuh tahun lalu. Tambah Ebit, dia terlalu sebak apabila melihat sendiri keadaan teratak yang didiami oleh keluarga tersebut bersama anak-anak yang masih kecil. "Macam bilik kecil. Ada alas kain sikit tutup buat dapur dan tandas. Just macam tu saja. Tak ada tandas. Mandi dekat dapur tu saja. Sebab tinggi sikit. Air jatuh ke bawah je. Ya Allah. "Bila tengok banyak anak kecil hati jadi sebak. Besar ujian anak-anak ini," tulisnya. Keluarga-keluarga tersebut tidak menyangka teratak mereka dikunjungi Ustaz Ebit. Meskipun penat sehingga terlupa untuk menjamah hidangan, namun Ebit berkata dia dan pasukannya gembira dan puas hati apabila melihat senyuman yang terukir pada bibir anak-anak kecil keluarga berkenaan. "Semua team saya terlupa makan. Cuma sarapan 7 pagi di Kuala Lumpur lepas tu 11 malam baru makan. Allahuakbar... Semua terlupa nak makan. "Keluarga ini kata tak pernah mimpi macam ni. Terkejut menangis Allah beri rezeki begini. Saya nasihatkan solat dan rajin bekerja dan didik anak isteri dengan aklak dan Islam. Baik keluarga-keluarga ini. Syukur sangat rasa katanya dapat memiliki sebuah rumah. Ustaz Ebit dan pasukannya membantu keluarga-keluarga tersebut berpindah selain turut membelikan mereka barang kelengkapan rumah. "Senyuman anak kecil hadiah Allah buat kami. Rezeki kami dapat bantu mereka," tulisnya sambil turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada masyakarat setempat dan pihak-pihak yang turut membantu. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 775 shares dan dibanjiri ratusan komen yang memuji tindakan mulia pendakwah tersebut. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!