suria

Glambot raya 5 beranak ada stail! Yuna puji sampai tag pengarah dari LA... tapi tak siapa tahu kejadian ‘behind the scene’ sampul dan duit raya tiba-tiba hilang

Video Glambot raya yang dihasilkan Maq mendapat perhatian penyanyi Yuna (gambar kecil).

SETIAP kali majlis anugerah hiburan antarabangsa seperti Anugerah Akademi atau Anugerah Oscar, Anugerah Grammy dan Anugerah Golden Globe, antara acara yang paling ditunggu-tunggu adalah Glambot.

Glambot merupakan kamera berkelajuan tinggi yang boleh merakamkan sehingga 10,000 frames per saat untuk menghasilkan video gerak perlahan, bagi menunjukkan 'shot' dan penampilan khas selebriti popular di Hollywood.

Aidilfiri kali ini juga kecoh apabila sebuah video Glambot raya tular di media sosial. Bagaikan acara karpet merah, tiga beradik berbaju Melayu warna biru sedondon, bersama ibu bapa mereka dalam persalinan merah beraksi secara gerak perlahan di hadapan kamera.

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna terliur selepas fesyennya jadi 'modal' sembang kek lapis, peniaga tak tolak rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah Avengers muncul buat kejutan depan pelajar Malaysia

Kerlipan cahaya lensa kamera menambah glamor lima beranak itu. Berlatarkan lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, video tersebut diakhiri ucapan hari raya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik daripada perutusan khas beliau.



Maq (kanan) bersama keluarga di sebalik pembikinan video Glambot raya.

Namun, siapa sangka video Glambot raya yang turut menarik perhatian penyanyi Yuna itu dihasilkan oleh seorang anak muda yang baru berusia 20 tahun!

Pemuda berkenaan, Muhammed Al-Qayyum Yasseir Araffat berkata, idea untuk menghasilkan video tersebut bermula dengan pembelian layar hijau atau skrin hijau bagi memberi kesan khas pada rakaman dan penyuntingan video seolah-olah dirakam di satu lokasi lain.

Lebih mesra dengan panggilan Maq, katanya, pembelian skrin hijau itu dibuat secara dalam talian kira-kira tiga minggu sebelum Aidilfitri.

"Pada asalnya, saya nak buat video Glambot biasa saja. Tapi berlaku kelewatan pada penghantaran skrin hijau ke rumah. Saya hanya terima barang kira-kira seminggu sebelum raya.

"Jadi, keluarga saya beri idea untuk jadikan percubaan pertama dengan menghasilkan video Glambot raya yang memberi kelainan pada ucapan raya kepada kenalan dan saudara-mara," katanya kepada mStar.



Ucapan raya keluarga Maq pada Aidilfitri tahun lalu.

Maq yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, ini merupakan tahun ketiga keluarganya berganding bahu untuk menghasilkan ucapan kreatif Aidilfitri, tetapi tahun ini adalah pertama kali dibuat secara rakaman video.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kelengkapan yang digunakan untuk membuat video Glambot raya adalah kamera Canon EOS M50, dua lampu softbox, satu skrin hijau dan perisian Davinci Resolve.

"Proses rakaman dengan menggunakan kamera biasa dengan hanya 1,000 frames per saat dibuat selepas solat tarawih bersama keluarga di rumah.

"Kira-kira dua setengah jam dari pukul 10.30 malam hingga 1 pagi memandangkan terdapat rakaman yang perlu dibuat semula untuk menghasilkan kesan khas yang lebih real selain setiap pergerakan kami amat penting untuk menjadikan video Glambot lebih menarik," ujarmya.



Antara kreativiti keluarga Maq untuk ucapan Aidilfitri sebelum ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komputer Sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu turut mendedahkan rakaman salah satu babak terpaksa dibuat semula gara-gara sekeping sampul raya.

"Ikut perancangan awal, video Glambot raya tu bermula dengan kemunculan adik bongsu saya menunjukkan sampul raya sebelum mengeluarkan dan menunjukkan duit raya kepada kamera.

Pada asalnya, saya nak buat video Glambot biasa saja. Tapi berlaku kelewatan pada penghantaran skrin hijau ke rumah. Saya hanya terima barang kira-kira seminggu sebelum raya.

MAQ

"Tapi bila tengok di komputer, sampul raya dengan duit raya yang dipegang adik tiba-tiba hilang dalam visual yang hendak disunting. Rupa-rupanya kami sekeluarga terutama saya sendiri dan sampul raya tu berwarna hijau dan kebetulan duit raya pula not RM5 juga hijau.

"Apabila menggunakan teknik skrin hijau untuk memasukkan imej lain, maka imej lain berwarna hijau akan 'hilang'. Idea pegang sampul raya terpaksa ditukar dengan gaya tangan adik saya memandangkan tiada sampul raya warna lain ketika itu," katanya yang juga membuat kerja-kerja sambilan penyuntingan dan rekaan video sejak tiga tahun lalu.



Video Glambot raya yang dihasilkan oleh Maq mendapat pujian Yuna.

Dalam pada itu, Maq juga tidak menyangka video Glambot rayanya mendapat perhatian dan pujian daripada penyanyi, Yuna dan menghargai respons positif itu.

"I love this!!! Aaa @colewalliser," tulis Yuna di laman Twitter beliau dengan berkongsi video Glambot raya Maq serta membuat pautan pada akaun Twitter Cole Walliser, pengarah video muzik terkenal kelahiran Kanada yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Video aksi Yuna bergaya untuk Glambot di karpet merah Anugerah People's Choice pada akhir tahun lalu yang dibuat oleh Cole Walliser menjadi perhatian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain