TERSENYUM petugas barisan hadapan atau frontliner apabila diri mereka dihargai dalam pelbagai cara kerana banyak berkorban memerangi wabak Covid-19. Rakyat Malaysia yang pemurah turut tersenyum kerana dapat menghargai frontliner, antaranya belanja makan dengan membayar bil mereka di restoran. Seorang lelaki yang sebelum ini menjadi perhatian apabila mencadangkan rakyat Malaysia belanja makan frontliner sempena berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berkongsi pengalamannya sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Penangan kisah misteri makan free, bapa 3 anak ajar rakyat Malaysia cara mudah nak buat frontliners tersenyum "Baru-baru ini, saya sedang makan seorang di sebuah restoran pada waktu rehat pejabat. Semasa makan, saya lihat ada dua pegawai beruniform yang baru sampai dan mereka duduk tak jauh dari meja saya. "Tengok muka mereka, jelas yang mereka sangat keletihan. Mungkin baru selesai bertugas. Saya lihat setiap seorang sangat menikmati teh o ais yang dipesan. "Ye la, bila kita buat kerja bawah terik matahari, lepas tu kalau dapat ais sirap, memang nikmatnya tak terkata," ujar lelaki itu menerusi perkongsian di halaman Facebook bernama Abduh Nursalam. Abduh Nursalam sebelum ini membuat perkongsian mencadangkan untuk belanja frontliner sebagai tanda penghargaan. Menurut Abduh Nursalam, hatinya terdetik menghargai dua frontliner tersebut susulan makanan yang dipesan dua anggota berkenaan tiba di meja mereka. "Masa tengah makan tu, baru saya terfikir 'Eh, aku ni nak belanja orang makan, duit aku bawa ni cukup ke?' Saya seluk tangan ke dalam poket seluar, saya keluarkan dan nampak cuma ada RM21. "Cukup kot ni sebab kalau saya kira-kira, makanan dan minuman yang saya order ni jumlah dalam RM5 saja. Makan roti dan teh tarik je pun. "Saya anggarkan makanan dua frontliner depan saya ni mungkin RM15. Macam ngam-ngam je duit ni," katanya sambil memikirkan back-up plan sekiranya wang tunai tak mencukupi untuk membuat bayaran. Pada mulanya dia berasa sedikit lega apabila dimaklumkan oleh seorang pekerja bahawa pembayaran boleh dibuat tanpa tunai menerusi aplikasi mudah alih. Membuat perkiraan baki wang tunai di tangan. Gambar hiasan Yakin selepas terdapat baki RM30 dalam aplikasi bayaran tanpa tunai, bapa tiga anak itu bangun sebelum mendekati meja yang diduduki dua frontliner yang baru selesai makan. "Assalamualaikum encik berdua. Bil ni saya ambil ye. Saya minta izin untuk bayarkan," katanya dan selepas beberapa kali cubaan memujuk untuk belanja, dua frontliner tersebut akhirnya akur dengan pelawaan tersebut dan mengucapkan terima kasih. Setiba di kaunter, dia dimaklumkan bahawa jumlah bilnya dan dua anggota beruniform berkenaan adalah RM28 sebelum menunjukkan telefon bimbitnya untuk membuat bayaran menerusi aplikasi. Dia buat muka blur. Buat muka tak percaya sambil tangan kanan dia pegang duit RM21 dengan gaya tangan macam orang tengah angkat sumpah ABDUH NURSALAM Abduh Nursalam bagaimanapun berkata, dia dikejutkan apabila seorang pekerja lain memberitahu pembayaran perlu dilakukan secara tunai, tidak boleh dibuat menerusi aplikasi."Kau tahu apa yang aku rasa? Kali ni rasa macam nak termuntah, rasa nak tercirit ada. Gila apa. Tadi mamat tu kata boleh bayar pakai Apps (aplikasi). "Tiba-tiba mamat seorang ni pula kata tak boleh, kena bayar tunai. Zaman Covid-19 kot, semua kalau boleh cashless (tanpa tunai)," katanya. Abduh Nursalam berkongsi kisah mahu membayarkan makanan dan minuman dua frontliner di sebuah restoran. Dia bagaimanapun cuba berbincang dengan pekerja restoran berkenaan untuk membenarkannya membayarkan dengan wang tunai di tangan dahulu. "Okay, sekarang saya cuma ada RM21. Saya bayar ni dulu. Bagi saya masa lima minit untuk ambil duit di pejabat kemudian saya akan datang semula untuk bayar baki. "Dia buat muka blur. Buat muka tak percaya sambil tangan kanan dia pegang duit RM21 dengan gaya tangan macam orang tengah angkat sumpah. Takut sangat kalau saya ni nak tipu dia," katanya. Menurut Abduh Nursalam, dia berjanji untuk kembali semula ke kedai dalam tempoh lima minit, sebelum bergegas ke pejabat dengan hanya berjalan kaki. "Bila saya sampai kedai semula, saya tengok dua frontliner yang saya nak belanja tu dah tak ada. Saya terus ke kaunter dan saya pastikan dulu dengan orang di kaunter bayaran tu, sama ada mereka ada buat bayaran atau tidak. "Dia kata tak ada bayar. Ok, takpa. Saya bayar baki. Alhamdulillah. Begitulah... bila kita nak buat baik, macam-macam halangan yang akan datang. "Tapi itulah, bila kebaikan tu dapat dibuat dengan baik. Selepas kita buat usaha sebaik mungkin, pahalanya tersangatlah besar. Betul tak?" katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!