suria

PKP punya hal, tiba-tiba muncul ‘sup kaki ayam’ di Sekinchan! Juruteknik muda bikin isteri dan 3 adik tak menang tangan

Gerai Muhammad Syaiful yang terletak di Kampung Tengah Pasir Panjang merupakan hasil cetusan idea bersama isteri ketika PKP.

JARAK antara Klang dengan Sekinchan bukanlah dekat.

Seseorang terpaksa menghabiskan masa selama lebih satu jam di atas jalan raya untuk membuat perjalanan di antara dua lokasi berkenaan.

Namun itulah yang terpaksa ditempuhi oleh seorang pemuda hampir setiap hari sejak enam tahun lalu demi mencari sesuap nasi bagi menyara keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Beribu cucuk sate ‘terbiar’ dalam peti, tak disangka-sangka pertolongan datang dari jauh - “Dah keluar modal tapi tak sempat nak jual”

ARTIKEL BERKAITAN: Resah tak dapat niaga masa PKP, abah buat 3 kerja sekaligus... apa yang anaknya lakukan memang padu! - “Dia pelik ramai order”

Justeru pemuda ini mengorak langkah berani dengan membuka gerai makan di kampungnya yang terletak di Pasir Panjang, Sekinchan sebagai persediaan di masa hadapan sebelum dia membuat keputusan untuk terus menetap di situ dan 'bersara' daripada kerjaya yang diceburinya.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Syaiful berkata idea untuk membuka gerai tersebut tercetus ketika kerajaan sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Perkongsian Muhammad Syaiful mengenai gerai yang baru dibuka bersama isterinya menjadi tular di Twitter.

"Sejak enam tahun berulang alik antara Klang dengan Sekinchan... sampai bila kan? Jadi ini persediaan juga untuk masa depan.

"Tambahan pula masa PKP sebelum ini kita tak boleh ke mana-mana... masing-masing bosan. Masa itulah datang ilham nak buka warung.

"Kebetulan kampung saya memasuki musim menuai. Jadi datanglah idea nak buka warung makanan dan target kami pun hanyalah kepada penduduk tempatan dan pekerja-pekerja yang mesin padi.

"Selalunya pekerja-pekerja ni terpaksa ke pekan kalau nak cari makan jadi mengapa tidak kami buka satu warung untuk kemudahan mereka. Maka lahirlah Warung Epul Parit 11," katanya.



Isteri Muhammad Syaiful, Nur Fatin Shahida menjadi orang kuat di sebalik gerai yang diusahakan sejak dua minggu lalu.

Menurut Epul yang kini masih bekerja sebagai juruteknik di Klang, warung tersebut kini diusahakan oleh isteri, Nur Fatin Shahida bersama tiga adiknya.

"Kebetulan isteri memang tak bekerja, jadi dia boleh menumpukan sepenuhnya kepada warung ini. Dialah yang memasak dan menyiapkan hidangan lauk pauk.

"Alhamdulillah dia ada kemahiran memasak dan memang minat dalam bidang masakan, itu merupakan antara sebab utama kami pilih untuk buka warung," kata pemuda berusia 27 tahun ini.

Anak jati Sekinchan ini berkata, warungnya menyediakan hidangan istimewa sup kaki ayam setiap hari di samping pisang goreng cicah sambal kicap pada sebelah petang.

Tambahan pula masa PKP sebelum ini kita tak boleh ke mana-mana... masing-masing bosan. Masa itulah datang ilham nak buka warung.

MUHAMMAD SYAIFUL

PEMILIK WARUNG

"Saya cuba mencari kelainan dalam menu. Sup kaki ayam tu resepi istimewa air tangan isteri dan kami cuba untuk adakan setiap hari. Pisang goreng cicah kicap selalu sinonim dengan Johor, tapi kami cuba perkenalkan di sini.

"Alhamdulillah sejak dua minggu beroperasi, warung kami dapat sambutan dan isteri memang tak menang tangan. Saya sendiri pun tak sangka ramai yang retweet bila post di Twitter," ujarnya lagi.



Sup kaki ayam (kiri) menjadi menu istimewa di gerai Muhammad Syaiful selain pelbagai lauk kampung lain.

Sehingga kini perkongsian Muhammad Syaiful di media sosial itu meraih sehingga 15,500 retweet dan 11,100 like.

Walaupun masih baru bertatih, Muhammad Syaiful sedar dan mengakui wujudnya 'sepak terajang' dalam dunia perniagaan meskipun berniaga secara kecil-kecilan.

"Untuk mula berniaga kena berani, tabah... berniaga ni tak senang, ada pasang surutnya. Andai kata gagal, bersedia saja untuk bangkit, bukan tarik diri dan terus terduduk," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
warung, sup kaki ayam, Sekinchan, Klang, PKP

Artikel Lain