suria

Nak halau lalat, muka gadis ini cacat seumur hidup... selepas 15 tahun baru berani kongsi foto - “Ayah rendam saya dalam tong air paras buku lali”

Kesan parut di muka dan tangan kiri Seri akibat terbakar ketika berusia tiga tahun kekal sehingga hari ini.

KESAN parut pada muka akibat terkena petrol kira-kira 15 tahun lalu membuatkan gadis ini kurang yakin untuk berkongsi gambarnya di media sosial.

Namun keberanian itu tiba-tiba muncul pada Rabu malam lalu apabila dia memuatnaik gambarnya dan berkongsi pengalaman hitam dilaluinya dalam satu bebenang di Twitter.

Perkongsian Seri Sufiza Fahizal menjadi tular dan rata-rata memuji aura positif yang ditonjolkan selain memuji kecantikan wajahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi cita-citanya, gadis ini yakinkan diri kongsi gambar selfie walau pernah diejek dajal

"SubhanAllah. I’m crying. You are pretty enough for me. Stay strong sayang," kata Nurin.

"Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah takkan menguji seseorang melainkan orang itu kuat untuk menghadapinya. Stay strong. Hiraukan kata-kata orang, you already pretty enough sis," tulis Akmal.

Berkongsi cerita kepada mStar, Seri Sufiza, 18, terkejut dengan reaksi positif netizen terhadap kisah yang baru pertama kali diceritakannya kepada umum.



Kesan parut jelas kelihatan di bahagian muka dan tangan kirinya.

"Waktu saya buat thread tu saya tengah sedih. Memang sebelum ini saya malu nak post gambar tapi malam tu keberanian tu tiba-tiba datang.

"Itulah kali pertama saya cerita tragedi hitam menimpa saya ketika berusia tiga tahun. Saya tak tahu kenapa saya tiba-tiba boleh berani nak share pasal kekurangan diri saya

"Sebelum ni ada yang menghina kata saya cacat tapi tak sangka ramai beri komen positif di Twitter. Saya terharu dengan kata-kata semangat mereka untuk saya," katanya.

Berkongsi kisah peribadinya, Seri Sufiza atau lebih mesra disapa Seri berkata, dia mengalami luka melecur separuh badan terutamanya di bahagian kiri mukanya akibat terkena petrol ketika berusia tiga tahun.

"Masa tu saya tengah duduk di buaian dekat bawah rumah nenek. Kebetulan masa tu pakcik saya mahu bakar sampah di bawah rumah sebab mahu menghalau lalat.

"Tapi dia tak sedar ada botol petrol berdekatan api tempat dia bakar sampah tu. Botol tu tiba-tiba terkena api lalu meletup dan terkena saya.

"Mak meraung dan ayah cuba memadamkan api menggunakan bajunya. Dia juga merendam saya dalam tong yang airnya paras buku lali. Tapi waktu tu separuh badan saya sudah melecur," katanya.



Antara mesej berbaur penghinaan yang diterima Seri.

Susulan insiden negeri itu, Seri berkata dia ditahan selama tiga bulan di Hospital Kota Kinabalu dan menjalani beberapa pembedahan plastik untuk membetulkan keadaan wajahnya.

"Sejak itu kami terpaksa berulang alik ke Kota Kinabalu untuk urusan pembedahan saya. Mak pun terpaksa berhenti kerja untuk menemani saya waktu tu.

"Sungguh sakit tapi saya yakin ada hikmahnya. Setiap kali bila saya pandang cermin saya menangis, saya teringat ejekan orang lain. Mereka kata saya cacat... terbakar... muka buruk.

"Memang saya sedih. Saya tak minta semua ini berlaku tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya saya masih boleh melihat, mendengar dan bercakap seperti biasa," katanya.

Siapa sanggup hidup dengan muka cacat? Muka yang tak normal? Tapi saya sentiasa pujuk hati untuk terus kuat. Jangan pernah putus asa. Allah sentiasa ada.

SERI SUFIZA FAHIZAL

Kesan daripada kebakaran itu, Seri mengalami parut kekal di wajah dan tangan kirinya selain telinga kirinya juga mengecil dan tidak normal.

Walaupun dia tabah dengan ujian menimpanya, gadis yang berasal dari Tawau, Sabah itu tidak mampu melupakan pengalaman pahit diejek rakan-rakan semasa di sekolah.

"Kalau dulu habis UPSR saya takut nak masuk Form 1 sebab mesti ramai akan tanya macam-macam. Mesti orang akan pandang saya pelik.

"Saya hilang keyakinan diri. Saya jadi lemah dan hilang semangat. Saya malu berhadapan dengan orang ramai. Kalau dulu saya macam mahu tinggalkan dunia ni sebab tak sanggup dihina.



Seri bersama keluarganya.

"Siapa sanggup hidup dengan muka cacat? Muka yang tak normal? Tapi saya sentiasa pujuk hati untuk terus kuat. Jangan pernah putus asa. Allah sentiasa ada," katanya.

Meskipun malu dengan kekurangan dirinya itu, Seri bersyukur kerana masih ada lelaki yang sudi menerimanya.

"Kadang saya pernah terfikir pasal jodoh. Ada ke siapa mampu terima saya? Sudikah dia jadikan diri ini sebagai peneman hidup. Macam mana penerimaan dia?

"Namun saya buruk macam mana pun kita, Allah sudah jadikan kita berpasang-pasangan. Keep the faith to Allah. Saya bersyukur kerana masih ada lelaki yang boleh menerima kekurangan diri saya.

"Kami kenal hampir dua tahun sebab mak saya bantu madrasah tu masa mula-mula ia dibangunkan. Jadi saya selalu bantu mak saya di sana. Dari situ kami mula bertukar nombor telefon," katanya yang memakai niqab semasa bersekolah di sebuah madrasah di Tawau, Sabah ketika berusia 15 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
parut, wajah, terbakar, petrol, Seri Sufiza

Artikel Lain