suria

“Lain macam eh video kau” - Pilih naik kereta asing dengan adik kembar, kakak meremang tengok apa yang dirakam ketika memandu sendirian

Tangkap layar (screenshot) dari rakaman telefon bimbit Radhiah yang memperlihatkan entiti seperti pocong sedang melompat.

"KALAULAH malam tu saya betul-betul nampak, memang habislah tekan pedal minyak."

Demikian cerita seorang gadis, Siti Radhiah Amir Hamzah mengenai pengalamannya bertembung dengan entiti menyerupai hantu pocong, baru-baru ini.

Ia susulan video yang dirakamnya menggunakan telefon bimbit ketika melalui Jalan Tampok - Rengit, Johor sehingga menampakkan kelibat entiti itu 'melompat' di tepi jalan, menjadi tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak jadi tetamu tak diundang! Lelaki kongsi 7 petua nak check in hotel selepas insiden rakan diusir ‘benda’ main pintu

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh kelibat dalam foto 5 sekawan di sungai, mungkinkah ada kaitan kejadian wanita berkebaya merah 4 tahun lalu?

Video tersebut dimuatnaik di Facebook oleh kakaknya, Sarefa Rafidah Amir Hamzah.

Mengimbas kembali insiden berkenaan, gadis itu berkata, ketika itu dia sedang memandu bersendirian dan sedang dalam perjalanan menuju ke rumah ibu bapanya yang terletak di Rengit.

"Sepatutnya saya naik berdua dengan kembar, tapi kami akhirnya naik kereta berasingan sebab keesokannya saya nak bertolak ke Melaka. Namun kami berkonvoi bersama dan dia memandu di belakang saya.



Ketika insiden itu berlaku, Radhiah (depan) memandu berasingan dengan kembarnya.

"Ketika melalui jalan tersebut, jam baru saja pukul 10 lebih, masih belum lewat malam. Disebabkan memandu berseorangan, mesti nak hilangkan rasa bosan.

"Jadi sambil-sambil dengar lagu di radio, saya rakam video menggunakan telefon bimbit sambil menyanyi. Tapi sekejap saja saya pegang telefon bimbit, dalam seminit saya rakam sebab nak muat naik dalam status WhatsApp. Tapi tak sangka terakam benda itu," katanya kepada mStar.

Menurut gadis yang senang disapa Radhiah ini, dia langsung tidak menyedari kehadiran kelibat entiti berkenaan, malah tidak mengalami perasaan pelik sepanjang pemanduan.

Perkara itu hanya disedari apabila rakannya menegur dan bertanyakan mengenai entiti itu pada pagi keesokan hari.



Radhiah sering menggunakan jalan berkenaan untuk pulang ke rumah ibunya yang terletak di Rengit.

"Bila tiba di rumah ibu bapa, kami berbual sebentar dan kemudian terus tidur. Langsung tak ada rasa apa-apa yang pelik.

"Tiba-tiba pagi esoknya, ada kawan menegur selepas dia melihat status WhatsApp saya itu. Dia kata 'lain macam eh video kau'. Saya hairan dan bertanya kembali kepadanya. Dan rakan saya pun beritahu ada seperti kelibat pocong melompat.

"Dia siap sunting video itu jadi gerak perlahan (slow motion) pada bahagian yang ada kelibat tu. Selepas nampak je kelibat tersebut, barulah rasa meremang," ujar gadis berusia 22 tahun ini sambil berkata dia bersyukur kerana tidak melihatnya sendiri pada malam tersebut.

Tiba-tiba pagi esoknya, ada kawan menegur selepas dia melihat status WhatsApp saya itu. Dia kata 'lain macam eh video kau'.

SITI RADHIAH AMIR HAMZAH

Radhiah yang merupakan seorang pekerja di sektor swasta dan menyewa bersama kembarnya di Kangkar Pulai berkata, dia sememangnya tidak menyangka akan mengalami insiden itu kerana biasa melalui jalan berkenaan untuk ke rumah ibu bapanya, sejak bekerja tiga tahun lalu.

"Saya biasa memandu pada waktu malam tapi biasanya memang tak lebih pukul 12 tengah malam. Dan sememangnya tak pernah berdepan dengan benda-benda mistik sebelum ni.

"Tapi bila dah 'alami', rasa macam takut pula dan pasti saya akan elakkan untuk memandu melalui jalan tersebut waktu malam," ujarnya lagi.



Antara komen netizen pada perkongsian kakak kepada Radhiah.

Dalam pada itu kata Radhiah, dia sama sekali tidak mengetahui video tersebut menjadi tular selepas dimuatnaik oleh kakaknya.

"Selepas insiden malam itu, keesokannya saya ke Melaka untuk beberapa hari. Memang tak tengok telefon bimbit sangat. Tahu tahu dah viral.

"Daripada komen-komen netizen, ada yang kata pernah terserempak dengan sesuatu dan beritahu jalan tu memang keras sikit. Tapi memang jalan tu sunyi, bukan kawasan perumahan dan gelap. Hanya ada beberapa batang lampu jalan.

"Dalam pada itu, ada juga komen netizen yang kata imej itu adalah pantulan lampu. Kalau dia rasa itu pantulan lampu, itu pendapatnya. Saya malas nak berdebat. Terpulang nak percaya atau tidak," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
entiti, rakam, melompat, pocong, kembar

Artikel Lain