KEHILANGAN ibu bapa tercinta menjadi igauan ngeri buat setiap anak. Begitu juga dengan gadis yang mahu dikenali sebagai Salwani ini yang berkongsi kisah perit itu sehingga mengundang sebak netizen di laman Twitter. "Aku masih berharap lagi benda ni tak betul sebenarnya," tulis Salwani dengan disertakan foto sekujur jasad ibunya yang kaku setelah meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Jun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh tahun berlalu, suatu malam anak autisme ajak ibu saudara ke kubur ibunya hanya untuk peluk nisan - “Kenapa umi meninggal?” ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri ‘makanan’ 3 kali sehari untuk balas jasa Gadis berusia 26 tahun itu mengakui tangannya masih lagi terketar-ketar setiap kali mengimbas detik dia memandikan jenazah ibunya. Sedih atas apa yang berlaku, dia bagaimanapun reda dan akur akan takdir yang sudah tidak boleh diubah itu. Bercerita kepada mStar, Salwani berkata ibunya, Ruhaimah, 57, sudah menderita kanser selama lima tahun. Ibu Salwani meninggal dunia selepas lima tahun menderita kanser usus. "Dah jalani pembedahan, pernah bergantung pada stoma bag (kantung pengumpulan najis) sekejap dan 24 kali kemoterapi. "Alhamdulillah selepas tu dah sihat boleh jalani kehidupan macam biasa. Tapi sebelum cuti Covid-19 hari tu, kanser datang serang balik. "Dah empat kali juga dia dimasukkan ke wad sepanjang tiga bulan musim Covid-19," ujarnya. Boleh kafankan dia. Boleh sentuh kucup dia buat kali terakhir. Lepas ni dah tak boleh dah nak buat semua tu. SALWANI ANAK Sepanjang tempoh itu, Salwani serta adik beradiknya seramai 10 orang bergilir-gilir menjaga ibu mereka. Hikmah sekolah ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adik-adik Salwani banyak menguruskan wanita itu. "Arwah pernah cakap dia kena sihat sebelum sekolah buka, nanti kalau dia tak sihat siapa nak jaga? Dah tak ada orang kat rumah. "Tapi sebelum sekolah dibuka sepenuhnya bermula Rabu lalu, dia dah pergi meninggalkan kami semua," ujar Salwani. Salwani berkongsi kisah kehilangan ibunya menerusi laman Twitter. Lebih pilu kata Salwani apabila melihat bapanya menangis di hadapan dia dan adik beradik yang lain sewaktu membacakan surah Yassin untuk arwah ibunya. "Patutlah orang kata selagi ayah mak ada, hargailah mereka. Peluklah mereka. Nanti mereka tak ada, nak tatap muka depan-depan pun dah tak boleh. Nak ajak makan sekali dah tak boleh. Semua benda dah tak boleh. "Mereka dah tua. Bukan muda lagi. Tataplah wajah mereka. Kita tak tahu apa yang jadi esok hari. Jumpalah selagi boleh. Nak menyesal tak guna dah kalau mereka dah pergi. Kami 10 adik beradik bersyukur boleh mandikan jenazah mak sendiri. Salwani seolah-olah tidak percaya apabila ibunya sudah dijemput Ilahi. "Boleh kafankan dia. Boleh sentuh kucup dia buat kali terakhir. Lepas ni dah tak boleh dah nak buat semua tu. Allah lebih sayangkan dia. Terima kasih banyak banyak yang mendoakan arwah mak," ujar Salwani lagi. Sehingga kini, posting Salwani di Twitter menerima 9,000 ulang kicau (Retweet). Malah, ramai yang turut menitipkan ucapan takziah dan mengirimkan doa buat Salwani yang baru kehilangan ibunya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!