suria

Wow! Macam China street fashion... anak Malaysia tak kisah panas, sempoi gaya jalanan di George Town – “Pedulikan apa orang kata”

Soddiqin (gambar kecil) membuat video berinspirasikan China street fashion.

WOW! Bagaikan pentas peragaan, sekumpulan anak muda bersiar-siar di jalanan bandar-bandar di China dengan penuh gaya, selamba dan trendy.

Video-video fesyen jalanan atau street fashion mereka kini menjadi kegilaan dan banyak dikongsikan di media sosial, termasuk di aplikasi TikTok.

Turut mendapat perhatian adalah klip video sekumpulan anak muda Malaysia yang berjalan dengan gaya dan fesyen masing-masing di jalanan di Pulau Pinang, sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan... remaja 'tak kacau orang', hanya suka berfesyen streetwear dilabel kanak-kanak istimewa!

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami memang nak tunjuk bahagian dalam" - Kecoh baju Melayu Hari Raya 'transparent' nampak puting, samping atas lutut

Seorang pemuda yang memuat naik video tersebut, Muhammad Soddiqin Shazulee Jainol Abidin berkata, rakaman berinspirasikan China street fashion itu dibuat di Beach Street, George Town di Pulau Mutiara itu.



Beach Street di George Town, Pulau Pinang menjadi lokasi rakaman ala China street fashion.

Anak muda berusia 22 tahun itu memberitahu, apa yang dilakukannya kerana minat dalam bidang fesyen serta mula berjinak-jinak dalam penataan gaya.

"Saya tak ada latar belakang fesyen pun. Tapi saya memang minat dalam bidang ini, dan saya rajin menjadi stylish (penata gaya) kepada kakak-kakak saya.

"Kebetulan ibu dan bapa saudara saya merupakan tukang jahit. Jadi, saya menimba pengalaman dan belajar menjahit daripada mereka," katanya kepada mStar.



Soddiqin berminat dalam bidang fesyen.

Walaupun mempunyai kerjaya dalam bidang jualan dan pemasaran perhotelan serta mempunyai diploma dalam perniagaan antarabangsa, Soddiqin menyahut cabaran untuk mengetengahkan bakat dan minat dalam fesyen.

"Saya suka tengok stail anak-anak muda di China, Korea dan Jepun di jalanan, tapi tetapi berani untuk menonjolkan gaya dan stail mereka.

Jadilah diri sendiri, peduli apa orang kata, jangan kisah orang pandang. Kita pakai kerana selesa selagi masih sopan dan bersesuaian

MUHAMMAD SODDIQIN SHAZULEE

"Kat Malaysia mungkin belum cukup terbuka untuk kelihatan berani seperti itu. Kalau paling okay untuk dijadikan contoh seperti di kawasan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

"Di Pulau Pinang mungkin belum lagi macam Bukit Bintang, apatah lagi hendak disamakan dengan China, Korea dan Jepun. Jadi, kenapa tidak saya mencuba dulu," katanya sambil menambah Beach Street menjadi lokasi pilihan anak muda untuk merakamkan foto OOTD (outfit of the day) kerana keunikan bangunan di sekitarnya.



Pemilihan baju mengikut kesesuaian dan keselesaan.

Malahan katanya, cuaca panas dan hujan di Malaysia bukan halangan untuk bergaya di jalanan kerana industri fesyen menghimpunkan pelbagai rekaan mengikut musim.

"Apa yang penting adalah berani dan yakin mencuba. Video yang saya buat menghimpunkan mereka yang malu untuk melakukan bersendirian tapi sebenarnya berbakat dan berpotensi.

"Jadilah diri sendiri, peduli apa orang kata, jangan kisah orang pandang. Kita pakai kerana selesa selagi masih sopan dan bersesuaian," ujar anak kelima daripada tujuh beradik itu.



Soddiqin yakin pada diri dalam berfesyen.

Soddiqin bagaimanapun menyedari persoalan 'tak panas ke?' sering dibangkitkan netizen dan menjelaskan bahawa tidak bermakna perlu memakai kot atau blazer di luar pada waktu panas.

"Tapi mereka masih bawa jaket tanpa perlu memakainya. Pegang saja dan pakai bila hendak bergambar atau kembali ke dalam bangunan yang lebih sejuk.

"Bila cakap tentang fesyen atau gaya, keselesaan sentiasa perlu diutamakan," ujarnya yang menjadikan ikon fesyen tempatan, Ridduan Ismail atau TTFGA sebagai idola.



Soddiqin bakal memperkenalkan koleksi rekaannya sendiri.

Dalam pada itu, Soddiqin yang kini mengembangkan khidmat penata gayanya bakal memperkenalkan koleksi satin bagi kemeja untuk lelaki dan dress bagi wanita rekaannya sendiri pada bulan ini, yang turut berinspirasikan fesyen jalanan.

"Antara koleksi saya ada dalam video yang dirakam di Beach Street. Itu adalah gambaran street fashion saya di Pulau Pinang. Kalau ada rezeki, saya mahu pergi ke China, Korea dan Jepun pada masa akan datang kerana kemeriahan fesyen jalanan mereka," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain