suria

Kenal sejak Tingkatan 4, pengantin Iban-Melayu imbas momen indah di sekolah... cikgu pun join photoshoot! - “Dulu fikir cinta monyet je”

Muhammad Harris Lilon dan Nur Alya Sabariah Mohd Ali mula berkenalan sejak di bangku sekolah menengah sebelum mendirikan rumah tangga pada Julai lalu. Foto: Mohd Hapizan

BUKAN lagi cinta monyet di zaman sekolah.

Begitulah kisahnya melibatkan pasangan pengantin ini yang berkenalan sejak Tingkatan Empat sehinggalah disatukan sebagai suami isteri pada 24 Julai lalu.

Lebih menarik, Muhammad Harris Lilon dan Nur Alya Sabariah Mohd Ali, masing-masing berumur 25 tahun turut merakam potret perkahwinan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Samariang, Kuching, Sarawak untuk mengimbau semula kenangan perkenalan mereka sekitar 10 tahun yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenal sejak Form 2, tak mudah ‘pasangan berbeza uniform’ mahu bersatu di pelamin - “Setiap kali dating memang guna duit dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Luahan suami sweet sangat... pengantin perempuan 'cair' dedah kisah kereta pinjam aircond rosak, date kat kedai mamak – “Dia tulis tentang jodoh di tudung PLKN saya”

Bercerita kepada mStar, jejaka yang mesra disapa Harris itu mengakui idea berkenaan dicetuskan sendiri oleh isterinya sebelum direalisasikan oleh jurufoto yang dilantik.

"Isteri berpindah ke sekolah saya sewaktu Tingkatan Empat. Kelas kami bersebelahan sahaja, dari situ kami mula berkenalan.

"Ia merupakan idea isteri saya untuk rakam gambar di sekolah. Biasalah orang perempuan mereka lebih pandai dalam hal sebegini.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 24 Julai lalu. (Foto: Mohd Hapizan)

"Bila buat photoshoot di sekolah, memang terimbau kenangan lama. Macam tak percaya dah 10 tahun kenal dia. Dari belajar, kerja sampailah dah kahwin.

"Dari A sampai Z semuanya di sekolah. Mula-mula dulu fikir sekadar cinta monyet je, tapi siapa sangka dia jodoh saya," ujar Harris.

Tambahnya lagi, sesi rakaman foto itu turut diserikan dengan kehadiran guru-guru yang pernah mengajar mereka dan ia berlangsung selama hampir dua jam.

Dari zaman belajar sehinggalah dah kerja, dia sentiasa ada dengan saya. Dari saya tiada apa-apa sehinggalah ke tahap sekarang.

MUHAMMAD HARIS LILON

"Shoot dekat dua jam, masa tu pun ada guru-guru lama. Mereka pun setuju untuk benarkan kami rakam gambar dalam kelas.

"Tapi masa tu pelajar dah kurang, sebab dah waktu petang, ramai yang dah pulang ke rumah," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Harris mendedahkan dia berketurunan Iban dan telah memeluk Islam pada 27 September 2016.

Kata Harris, Alya merupakan seorang insan yang sentiasa ada bersamanya tak kira sewaktu senang atau susah. (Foto: Mohd Hapizan)

"Kebanyakan kawan saya memang Muslim, jadi mungkin dah takdir saya. Saya pun memang ada niat nak masuk Islam dari dulu lagi," ujarnya.

Menurut Harris lagi, dia jatuh hati dan berkenan untuk memperisterikan Alya kerana sikap wanita itu yang sanggup susah senang dengannya.

Malah katanya, dia turut berdoa dan mengharapkan yang terbaik buat mahligai yang baru dibina itu.

Foto kenangan sewaktu zaman persekolahan.

"Bermula dari kosong, dari zaman belajar sehinggalah dah kerja, dia sentiasa ada dengan saya. Dari saya tiada apa-apa sehinggalah ke tahap sekarang.

"Dia tak kisah waktu saya tiada kereta tiada motor, susah senang bersama-sama," ujarnya lagi.

Sehingga kini, foto perkahwinan mereka yang dirakam oleh seorang pelajar, Mohd Hapizan atau Appy menerima lebih 3,100 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Sesi rakaman itu turut disertai guru-guru yang pernah mengajar pasangan tersebut.

Menurut Apppy, dia merupakan pelajar Fakulti Sains Sosial dalam program Industri Perburuhan dan Perhubungan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan menjadikan fotografi sebagai sumber pendapatannya untuk menampung kos pengajian.

Malah, dia turut bersyukur apabila hasil karyanya menerima reaksi positif sehingga tular di laman Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain