suria

Anak ‘hilang’ di hari jadi, ibu kelu terima berita dari tanah kubur – “Aiman mesej minta maaf... saya menangis”

Aiman menyertai aktiviti gotong-royong di tanah perkuburan. (gambar kecil) Ruhaidini (kanan) bersama Aiman. Foto ihsan Datuk Ruhaidini Abdul Kadir

ANAK kesayangan 'hilang' di hari ulang tahun mencetuskan tanda-tanya seorang wanita, begitulah juga bagi mana-mana ibu di seluruh dunia sekiranya mengalami situasi yang sama.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa luluhnya hati seorang ibu sebaik menerima berita mengenai keberadaan anak lelakinya menerusi satu mesej ringkas memohon kemaafan.

Tanpa diduga, anaknya itu rupa-rupanya 'menyambut' hari lahir ke-21 di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas di Bandar Baru Bangi, Selangor bersama rakan-rakan karibnya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia kata tak kuat..." - Nenek tergamam lihat cucu berdialog di kubur ibu, enggan buka slip UPSR di sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Lampu dah tutup, penjaga kubur dedah dua beranak merayu nak ziarah pusara Abam Bocey 'macam tak ada esok' - "Pecah rekod... aura dia lain macam"

"Dari syuruk hingga selesai zohor, Aiman dan rakan karib bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan yang merupakan 'rumah kediaman' terakhir kita di dunia yang fana ini. Saya sebagai ibu yang melahirkan Aiman ke dunia ini... hilang kata-kata!" tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook.



Aiman melakukan aktiviti pembersihan di tanah perkuburan pada hari jadinya ke-21.

Mengimbas kembali kejadian pada Sabtu, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir berkata, anaknya itu, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin yang lebih mesra dengan panggilan Aiman berkongsi hari ulang tahun sama dengan suaminya yang berumur 56 tahun.

Walaupun amat sibuk dengan tuntutan tugas, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan itu amat bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga pada hari istimewa itu.

"Bayangkanlah saya keluar ke pasar untuk beli barang-barang dapur seawal pukul 7 pagi. Hajat saya nak masak nasi lemak untuk sarapan bersama keluarga.

"Tak lupa juga saya buatkan karipap sardin untuk Aiman memandangkan ia adalah kuih kegemaran dia. Tapi bila saya balik dan pergi ke bilik Aiman, dia dah tak ada," kata ibu dua anak itu kepada mStar.



(gambar kanan) Ruhaidini (kiri) bersama suami (kanan) dan Aiman di London pada majlis penganugerahan.

Ruhaidini berkata, pembantu rumah memaklumkan anaknya keluar bersama rakan-rakannya sejak awal pagi, namun tiada satu panggilan dan mesej yang dihantarnya dijawab anak lelakinya itu.

"Saya taklah bimbang sebab Aiman ni seorang yang independent. Dia pandai bawa diri. Saya ada tanya dia nak makan kat mana untuk birthday, dia kata tak apa," ujarnya.

Bila saya ingat balik... 'tak boleh brain'. Saya bersyukur kerana Aiman dan rakan-rakannya ada cara tersendiri untuk menceriakan dan membahagiakan orang lain

RUHAIDINI ABDUL KADIR

Selepas lebih lima jam, Ruhaidini berkata, dia akhirnya menerima mesej berserta gambar-gambar daripada anaknya yang dirakamkan dari tanah perkuburan sehingga membuatkannya kelu tidak terkata.

"Aiman mesej minta maaf, dia kata bersama kawan-kawan dia bersihkan tanah kubur. Bila saya baca mesej dan tengok gambar-gambar mereka bersihkan kubur, saya menangis.

"Sepanjang 52 tahun, saya tak pernah bayangkan sambut birthday di tanah perkuburan. Sebagai ibu, saya malu sebab tidak pernah terfikirkan tentang kebaikan yang dilakukan Aiman di kubur. Bersihkan kubur pada hari jadi, saya tak pernah dengar," katanya.



Pemberian sumbangan kepada gelandangan.

Namun, ia bukanlah kali pertama Aiman yang merupakan pelajar cemerlang untuk Diploma Profesional Pelancongan oleh London Examinations Board (LEB) di United Kingdom itu, membuat kejutan pada hari jadinya.

Malah sejak kecil lagi, Ruhaidini mendedahkan anaknya itu sering membuat permintaan untuk menyambut hari ulang tahun di rumah-rumah anak yatim mahupun rumah orang-orang tua.

"Tentang aktiviti kebajikan ini bukan Aiman seorang, tapi termasuk juga kawan-kawan baik dia. Dengan hasil jualan kurta sebelum ini, Aiman dan kawan-kawan dia menyumbang ratusan sejadah dan kain pelikat kepada golongan gelandangan.

"Malah, sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, dia dan rakan-rakannya membeli stok makanan untuk disumbangkan kepada anak-anak yatim," tambahnya.



Aiman (belakang, dua, kiri) bersama rakan-rakan karibnya.

Mengucapkan kesyukuran, Ruhaidini sama sekali tidak menyangka apa yang dilakukan oleh anaknya bersama rakan-rakan pada hari jadinya Sabtu lalu.

"Ya Allah, sampai sekarang bila saya ingat balik... 'tak boleh brain'. Saya menangis dan bersyukur kerana Aiman dan rakan-rakannya ada cara tersendiri untuk menceriakan dan membahagiakan orang lain," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain