suria

Kecoh! Video TikTok bersama adik di kolam jadi kontroversi, tergamak fitnah... usahawan dituduh pedofilia – “Ramai tak tahu betapa struggle hidup kami”

Aksi Ilyas bersama adik kandungnya di kolam renang menerusi video TikTok mencetuskan kontroversi. Foto ihsan Mohammad Ilias Zulkiffli

KECOH di media sosial mengenai sebuah video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok didakwa segelintir netizen sebagai aksi pedofilia.

Video TikTok berdurasi 19 saat itu menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju di kolam renang sebelum muncul seorang kanak-kanak perempuan menari mengikut rentak lagu.

Bagaimanapun, video yang dimuat naik oleh pengguna Twitter tersebut telah dipadamkan susulan menjadi kontroversi dan kritikan ramai di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh video TikTok 4 generasi, betul ke dua daripadanya mak dengan anak? - "Kasihan kat dia, macam tak boleh terima hakikat"

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara video usik wanita 73 tahun, remaja ini curi perhatian sebab cantik! - "Nenek sporting, kelakar... siap hafal lagu Justin Bieber"

Pemilik sebenar video TikTok tersebut di laman Instagramnya, @ilyaszulkiffli menerusi kapsyen memaklumkan kanak-kanak di dalam video tersebut adalah adik perempuannya.



Antara posting yang mendakwa Ilyas sebagai pedofilia.

"Makin besar makin gendut budak ni, dulu angkat senang je sekarang teruk! Dia ajak buat lagu ni menari. Menari lemah betul aku ni, dahlah kayu tak reti menari. Sabar jelah duhai adik kesayangan! Last sekali kena campak padan muka! Haha," tulisnya.

Abang berkenaan, Mohammad Ilias Zulkiffli berkata, dia benar-benar terkejut dengan kontroversi yang melanda dirinya gara-gara video TikTok tersebut.



Ibu Ilyas (hadapan, kiri) bersama adik bongsunya (hadapan, kiri). Turut kelihatan Ilyas di kolam renang.

Pemuda berusia 24 tahun itu tampil menjelaskan bahawa kanak-kanak perempuan di dalam video tersebut adalah adik kandungnya yang berumur sembilan tahun.

"Video bersama adik kandung saya yang bongsu, dimuat naik di TikTok beberapa hari lepas. Saya ni main TikTok tapi jarang buka. Bila buka, tengok ada banyak mesej negatif.

"Saya memang terkejut sebab rasa pelik kenapa tiba-tiba orang kecam. Saya pun sebenarnya tak tahu tentang pedofilia tu sehingga tanya kawan. Kenapa nak kecam sedangkan itu video menari TikTok saya dengan adik kandung sendiri," katanya kepada mStar.



Ilyas (kiri) bersama keluarganya.

Lebih dikenali sebagai Ilyas, dia menjelaskan tiada yang lucah dalam video tersebut kerana ia lebih tarian semata-mata sebagaimana yang sering dilakukan oleh pengguna aplikasi itu.

"Di video itu terserlah dimuat naik guna akaun TikTok saya. Ada lagu dan kami menari bersama. Mereka yang tonton boleh nampak adik saya menggerakkan tangannya ikut rentak.

Video itu terserlah dimuat naik guna akaun TikTok. Ada lagu dan kami menari bersama. Boleh nampak adik saya menggerakkan tangannya ikut rentak

MOHAMMAD ILIAS ZULKIFFLI

"Saya hanya menggerakkan badan sebab ketika tarian itu saya sedang mengangkat adik tapi kemudian melepaskannya semula untuk bergurau sebab dia berat sangat.

"Lagipun saya ni memang tak pandai menari dan mungkin kedudukan adik di hadapan sebab saya mahu angkat dia," katanya yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.



Ilyas membantu ibunya yang merupakan ibu tunggal, membesarkan adik-adiknya.

Usahawan yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu bagaimanapun kesal dengan segelintir netizen yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas itu.

Walaupun menyedari kebimbangan masyarakat mengenai kes sumbang mahram sejak kebelakangan ini, pengasas produk mi tarik itu menegaskan bahawa video tersebut dikongsi secara terbuka yang boleh ditonton secara umum.

"Saya sangat kecewa, kenapa ada manusia yang tergamak fitnah. Nak marah pun tak boleh sebab antara mereka tak tahu perkara sebenar.

"Dia darah daging saya... saya besarkan dia bersama adik-beradik lain sejak ibu saya bergelar ibu tunggal. Ramai tak tahu betapa susahnya dan struggle hidup kami.

"Kepada mereka yang fitnah dan kecam saya, kaji selidik terlebih dulu. Sekurang-kurangnya tanya saya sebelum tuduh perkara yang tak pasti," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain