MALANG tidak berbau, seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila sebuah kereta yang dipandu berlawan arus muncul dari terowong di lorong motosikal dekat lebuh raya. Menerusi video yang tular di media sosial, penunggang motosikal biru itu cuba mengelak sebelum merempuh tembok di terowong. Video berdurasi 39 saat yang dipercayai dirakamkan dari topi keledar penunggang motosikal biru itu turut merakamkan seorang penunggang motosikal lain menunggang berlawan arus di hadapan kereta jenis Toyota Vios putih itu.ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Pandu lawan arus di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan, polis buru pemandu Vios ARTIKEL BERKAITAN: Main masuk je! Penunggang motosikal hijau terus 'blah' selepas mangsa jatuh... tapi pemandu Swift merah wajar dapat pujian! ARTIKEL BERKAITAN: Cover malu atau melatah? Ramai nak tahu apa motif bro ni bersilat selepas melambung langgar lampu merah Turut kelihatan seorang penunggang motosikal yang berhenti di tepi terowong lebih awal sebelum cuba membantu pemuda berkenaan. Penunggang motosikal cuba mengelak ke tepi laluan motosikal. Susulan video yang tular sejak Jumaat malam sehingga menimbulkan kemarahan ramai, seorang pemuda yang mendakwa dirinya sebagai penunggang motosikal yang berlawan arus bersama pemandu kereta Toyota Vios itu tampil memberi penjelasan. Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Muhammad Fahmi Faiz Muhamad Ismadi berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 5 petang Rabu lalu di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berdekatan pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, arah pusat bandar Kuala Lumpur. Muhammad Fahmi berkata, dia ketika itu dalam perjalanan untuk membuat penghantaran dekat pusat membeli-belah sebelum melihat sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki bersama seorang penumpang wanita terperangkap di laluan motosikal. Keadaan motosikal mangsa yang terbabas. "Disebabkan laluan sempit, jadi saya suruh dia patah balik untuk keluar ke laluan sebenar di Lebuhraya Persekutuan. Masa tu hujan renyai-renyai dan jalan pun agak licin. "Saya menunggang motosikal di hadapan kereta tersebut dan beri isyarat kecemasan supaya penunggang motosikal lain berhati-hati. Masa nak masuk terowong tu saya bagi hon, dan ada seorang penunggang motosikal lain berhenti di tepi. "Tapi abang yang tunggang motosikal biru tu mungkin tak sempat brek hingga langgar tembok dan saya teruskan perjalanan untuk beri amaran kepada penunggang motosikal lain di hadapan," katanya yang berusia 23 tahun kepada mStar. Seorang penunggang motosikal lain yang turut berada di lokasi kejadian cuba membantu mangsa. Muhammad Fahmi berkata, jarak dari terowong di lokasi kejadian dan laluan untuk kereta Toyota Vios keluar ke Lebuhraya Persekutuan adalah kira-kira 500 meter. "Selepas kereta Vios dah selamat masuk Lebuhraya Persekutuan, saya patah balik ke tempat kejadian untuk tengok keadaan abang motosikal biru tu. "Tapi sebaik sampai, abang tu dah tak ada. Mungkin abang tu meneruskan perjalanan tapi nampak ada kesan motosikal abang tu mungkin bahagian depannya patah," ujarnya yang mula menjadi penghantar makanan sejak April lalu. Saya minta maaf kerana tidak cekap untuk memberi isyarat yang sempurna. Saya minta maaf kepada abang motor biru sehingga dia terbabas. MUHAMMAD FAHMI FAIZ Susulan kejadian itu, pemuda yang berasal dari Tapah, Perak itu memberitahu dia telah membuat laporan polis dan keterangannya telah diambil di Balai Polis Travers di Brickfields, Kuala Lumpur, awal pagi Sabtu. Sementara itu, Balai Polis Travers ketika dihubungi mStar mengesahkan menerima laporan tersebut. Laporan polis yang dibuat oleh Muhammad Fahmi. Menurut Muhammad Fahmi, dia mengakui tersilap percaturan dalam usahanya untuk membantu pemandu kereta tersebut dan tindakannya itu boleh mengundang bahaya. "Saya minta maaf kerana tidak cekap untuk memberi isyarat yang sempurna. Saya minta maaf kepada abang motor biru sehingga dia terbabas. "Harap keadaan dia okay dan selamat. Saya dah patah balik tapi abang tu dah beredar. Saya sedia untuk berjumpa dengan abang motor biru dan minta maaf dengannya," ujarnya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Aug 22, 2020 at 3:14am PDT Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!