TIDAK pernah terlintas langsung di minda lelaki ini untuk bergelar seorang guru. Namun siapa sangka, berkat patuh kepada pilihan ibu bapa, lelaki ini akhirnya jatuh cinta dengan kerjaya sebagai seorang pendidik. Bukan guru biasa, sebaliknya dia bertugas sebagai guru pendidikan khas yang mencurahkan ilmu kepada golongan istimewa. ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu menangis lihat murid darjah 1 ceria bawa ibu ayah buta lawat sekolah, tunjuk kelasnya- “Mana pondok mak nak tunggu kamu?” ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar OKU nyanyi lagu tema 7 Hari Mencintaiku 2 dapat ‘tepukan gemuruh’ Tok Ti - “Dia geram dengan watak jadi kebencian” Mohamad Khazaen Mat Nasir kini merupakan seorang guru pendidikan khas khusus bagi murid-murid yang mempunyai masalah pendengaran, sejak empat tahun yang lalu. Sebelum ini Mohamad Khazaen berkongsi video pendek di Twitter mengenai kaedah pengajaran terhadap murid berkeperluan khas ini yang menggunakan tayangan video serta penggunaan bahasa isyarat. Perkongsian Mohamad Khazaen di Twitter meraih sehingga melebihi 7,000 retweet dan 16,000 likes. Ternyata, perkongsiannya benar-benar menarik perhatian netizen yang bukan sahaja kagum dengan dirinya malah turut sama menyatakan keinginan untuk mempelajari bahasa isyarat selepas menonton video berkenaan. Mengimbas kembali perjalanannya bergelar seorang pendidik, Mohamad Khazaen berkata segala-galanya bermula apabila dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Cheras sebaik tamat pendidikan di peringkat menengah. "Masa peringkat menengah, saya ambil jurusan Sains tulen. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan juga dapat tawaran masuk IPG bidang pendidikan khas. "Mak dan ayah lebih suka kalau saya ke IPG jadi saya akur pilihan mereka walaupun tak tahu apa-apa pasal pendidikan khas ni. Tapi saya fikir bagus juga belajar benda baharu. Mohamad Khazaen sudah empat tahun mencurahkan bakti di sebuah sekolah pendidikan khas di Georgetown. "Selama lima tahun setengah saya menuntut di IPG Cheras, Alhamdulillah saya bergelar guru pendidikan khas di sebuah sekolah di Georgetown, Pulau Pinang. Dah empat tahun mengajar, apa yang boleh dikatakan, saya sudah jatuh cinta dengan bidang ni," katanya kepada mStar. Guru berusia 28 tahun ini tidak menafikan bukan sedikit cabaran yang perlu dihadapi dalam mencurahkan ilmu kepada murid berkeperluan khas ini. "Saya mengajar Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) untuk murid yang mempunyai masalah pendengaran. Agak sukar kerana mereka lazimnya lemah bahasa. Tak sangka saya juga terima banyak mesej di Direct Message (DM). Rata-ratanya berminat nak belajar bahasa isyarat. MOHAMAD KHAZAEN MAT NASIR GURU PENDIDIKAN KHAS "Jadi, kena menyeluruh dari gaya percakapan, mimik muka dan bahasa tubuh. Di sinilah peranan guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti penggunaan video dan gambar. "Kena ada banyak bahan bantu mengajar supaya ilmu lebih mudah untuk disampaikan," cerita guru yang berasal dari Gua Musang, Kelantan ini. Empat tahun bergelar guru pendidikan khas, Mohamad Khazaen turut berkongsi pengalaman manis yang pasti tidak akan dilupakan seumur hidupnya. Mohamad Khazaen ketika sesi pengajaran yang menggunakan kaedah tayangan video. "Ada seorang murid saya, dia lulus untuk subjek Bahasa Melayu bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dua tahun lalu. Saya sangat gembira, seolah-olah dia dapat A sebab lazimnya mereka sukar lulus. "Selain itu, saya seronok dikelilingi mereka... sifatnya suka menolong guru, patuh arahan dan mendengar kata," katanya lagi. Tidak menyangka videonya meraih perhatian, Mohamad Khazaen berkata dia sekadar mahu berkongsi pengalaman bagaimana kaedah pengajaran untuk murid berkeperluan khas bersama masyarakat. Bersama rakan seperjuangan, Cikgu Syafiza. "Tak sangka saya juga terima banyak mesej di Direct Message (DM). Rata-ratanya berminat nak belajar bahasa isyarat dan bertanya macam mana nak belajar, ada juga yang mendoakan dan beri kata semangat. "Dalam masa yang sama, saya berharap dengan perkongsian ini, lebih ramai yang membuka mata dan peka dengan kehadiran golongan istimewa ini. Acknowledge mereka kerana mereka sama seperti kita, hanya ada sedikit keistimewaan," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!