suria

Pasangan kembar lincah berjoget 13 tarian tradisi di TikTok, lebih kagum sebab guna lagu moden - “Kami masih dipandang sebelah mata”

Pasangan kembar membuat video tiktok yang menunjukkan 13 jenis tarian kebudayaan di Malaysia. (gambar kecil) Nazri (kanan) bersama Safri.

SIAPA kata aksi menari dalam video TikTok hanya mengarut dan tidak berfaedah?

Buktinya, dua pemuda menampilkan kelainan dengan menonjolkan bakat tarian mereka menerusi aplikasi popular itu sehingga menjadi tular di media sosial.

Lebih mengagumkan, klip video tersebut menghimpunkan 13 jenis tarian popular mewakili 13 daripada 14 negeri di Malaysia, dengan diiringi muzik berentak moden.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gempak! Video TikTok bukan biasa-biasa... jalan undur 50 meter hasilkan foto Jalur Gemilang berlatarkan KLCC memang menyengat - "Ia nasi lemak terbaik saya rasa"

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang payung, pakai topi, kibar Jalur Gemilang! Pelajar Form 4 keliru selepas minta gadis tak dikenali tolong rakam video merdeka - "Kepada Myra, terima kasih"

Salah seorang pemuda berkenaan, Mohammad Nazri Suhaimi berkata, video TikTok tersebut dihasilkan bersama pasangan kembarnya, Mohammad Safri.



Bersama artis kebudayaan di bawah JKKN.

Pemuda berusia 31 tahun itu bagaimanapun menjelaskan bahawa video tersebut sebenarnya dimuat naik di TikTok pada Mac lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami tak sangka video kami menjadi viral hanya selepas dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter. Memang kami terkejut sebab video tu dah lama di TikTok

"Sempena Hari Kemerdekaan negara ke-63 pada 31 Ogos, kami kongsi semula video tersebut di Instagram, bagi menghidupkan semangat patriotik," katanya kepada mStar.

Tambahnya, video yang sama itu kemudian dikongsi menggunakan lagu lain berjudul Malaysia Boleh dendangan Namewee bersama Ning Baizura dan Sasi The Don.



Persembahan pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.

Nazri berkata, dia dan adik kembarnya merupakan artis budaya di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Wilayah Persekutuan, dan video tarian tersebut merupakan antara inisiatif mereka untuk bergiat aktif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Sebelum PKP, setiap bulan kami menyertai JKKN untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian. Tapi tiada sebarang persembahan di tempat awam ketika PKP.

"Jadi, kami berdua menghasilkan video TikTok dengan mempamerkan 13 jenis tarian popular dari 13 negeri dan ia disusun mengikut kedudukan geografi Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula dari Perlis," ujarnya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.



Nazri (kiri) dan Safri.

Menjadi artis budaya di JKKN sejak lebih sedekad lalu, Nazri memberitahu bahawa cabaran mereka adalah memastikan 13 tarian kebudayaan itu seiring dan terdapat kesinambungan pada setiap gerak tari antara satu sama lain dari mula hingga ke akhir video.

"Bukan sekadar itu, kami juga mahu memastikan ia sepadan dengan rentak lagu moden yang kami masukkan dalam video TikTok.

Kalau budaya luar boleh diterapkan dengan elemen Malaysia, kenapa tidak kita memperkenalkan budaya Malaysia menggunakan lagu asing

MOHAMMAD NAZRI SUHAIMI

"Kenapa lagu moden dan bukan lagu kebudayaan? Sebab kami mahu menunjukkan bahawa kalau budaya luar boleh diterapkan dengan elemen Malaysia, kenapa tidak kita memperkenalkan budaya Malaysia menggunakan lagu asing," katanya.

Pasangan kembar yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu mengasah bakat mereka dalam seni tarian sejak di sekolah rendah, dan sepanjang berkhidmat di JKKN, mereka membuat persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.



Bersama teman-teman membuat persembahan.

Bagaimanapun, buat pertama kali mereka tidak membuat persembahan kebudayaan pada 31 Ogos tahun ini kerana tiada sambutan besar-besaran berikutan pandemik Covid-19.

“Kami menari sejak kecil dan ia ibarat nyawa kami. Seni tarian adalah tempat kami mencari sumber rezeki. Alhamdulillah, kelebihan kami adalah dalam bidang tarian.

"Kami mahu memartabatkan kebudayaan Malaysia selagi boleh. Kami rasa masih ada yang kurang, terutama artis budaya dipandang sebelah mata oleh segelintir masyarakat.

"Diharapkan pembabitan aktif kami ini dapat membantu masyarakat lebih menghargai sumbangan dan peranan kami pada masa akan datang," kata Nazri.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain