KEBIASAANNYA, kita sering melihat pelukis menghasilkan potret, lukisan realistik, abstrak dan landskap sebagai karya seni mereka. Lari sedikit daripada amalan biasa, pelukis wanita ini tampil dengan karya seni bercirikan Islamik yang dikenali sebagai Tezhip. Berkongsi di media sosial, nyata karya gadis ini memukau mata netizen yang mengagumi kehalusan corak dan tulisan jawi yang dihasilkannya.ARTIKEL BERKAITAN: “Penat saya buat, dia senang-senang ambil” - Lukis potret wajah pelakon 7 Hari Mencintaiku, pelukis kesal ada yang selamba buat macam karya sendiriARTIKEL BERKAITAN: Hanya pensil warna, potret karya gadis ini meletop... letak harga 'marhaen' pula tu! - “Sebak bila diminta lukis gambar insan kesayangan yang dah tiada” "Bestnya... duit dapat, pahala pun dapat," demikian antara komen netizen pada perkongsian tersebut. Berkongsi cerita dengan mStar, Wan Nur Baiti Wan Mohd Fauzi berkata dia mula serius menghasilkan karya Tezhip sejak awal tahun lalu. Antara karya Tezhip (kanan) dan lukisan Kaa'bah yang ditempah oleh klien Baiti. "Selepas menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air pada 2018, saya cuba untuk meneruskan minat melukis yang memang tertanam dalam diri sejak di bangku sekolah. "Dalam tempoh dua tahun itu, saya cuba hasilkan karya yang pelbagai termasuk potret untuk teroka dahulu minat dan kecenderungan orang ramai. "Daripada penelitian, saya dapati ramai yang berminat dengan Tezhip dan dapat tempahan yang memberangsangkan daripada klien," kata wanita yang berusia 25 tahun ini. Menariknya, wanita yang senang disapa sebagai Baiti ini mempunyai kelulusan dalam bidang seni bina daripada sebuah universiti di Liverpool, England namun dia memilih untuk menceburi bidang seni lukis kerana minat mendalam bidang tersebut. Masa yang diambil untuk menyiapkan setiap karya Tezhip bergantung kepada saiz dan corak. "Ketika saya pulang ke tanah air, keadaan ekonomi ketika itu kurang bagus dan skop pekerjaan yang ditawarkan juga tak berpadanan. "Dalam masa yang sama, saya juga rasa tak kena dengan jiwa untuk bekerja dalam bidang seni bina. "Ibu dan bapa terutama sekali ibu kurang bersetuju dengan keputusan saya... mungkin apa yang saya ceburi ni kurang meyakinkan mereka. "Tapi Alhamdulillah, dalam masa dua tahun nak yakinkan mereka, lama-kelamaan apabila melihat sambutan yang diterima, mereka semakin menerima apa yang saya lakukan. Yang penting, kena buktikan dengan tindakan," ujar anak keempat daripada enam adik beradik ini. Rugi kalau tak teruskan bidang yang kita minat. Apa yang penting, kena usaha keras dan juga perancangan yang betul. WAN NUR BAITI WAN MOHD FAUZI PELUKIS Bercerita lebih lanjut mengenai karya seninya, Baiti berkata minatnnya terhadap Tezhip bercambah selepas melihat ukiran seni tulisan itu di bangunan-bangunan bersejarah dan ikonik ketika di luar negara. "Dari situ, saya mula mengasah kemahiran dengan merujuk kepada YouTube. Semuanya belajar sendiri saja. Karya-karya ini saya gunakan medium cat akrilik di atas kanvas. "Masa yang diambil untuk hasilkan setiap satu karya itu bergantung kepada saiz dengan design. Contohnya, ada seorang klien minta buatkan karya Surah Al-Fatihah beserta nama setiap ahli keluarga mereka. (Kiri) Baiti berkolaborasi dengan sebuah jenama tempatan untuk menghasilkan corak. (Kanan) Lukisan jersi yang dihasilkan untuk koleksi sendiri. "Saya akan ke rumah klien melihat ukuran dinding sebelum hasilkan karya. Karya seperti ini biasanya akan ambil masa lebih kurang tiga minggu," ujarnya yang turut berkolaborasi dengan produk jenama tempatan dan berperanan menghasilkan rekaan. Tidak menyangka perkongsiannya menarik perhatian netizen, Baiti dalam masa sama menangkis pandangan segelintir pihak yang melihat bidang seni tidak mempunyai masa depan yang cerah. Baiti turut berkemahiran menghasilkan potret. "Sebenarnya banyak peluang untuk artis kembangkan bakat, bukan sekadar di studio untuk melukis saja... contohnya, hasilkan produk seni sendiri. "Saya sendiri mempunyai perancangan untuk menghasilkan skaf dan beg yang direka dengan sentuhan seni. Dalam masa yang sama, insyAllah saya akan buka semula kelas seni yang terhenti pada Februari lalu kerana Covid-19. "Rugi kalau tak teruskan bidang yang kita minat. Apa yang penting, kena usaha keras dan juga perancangan yang betul," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!