suria

“Petang tu juga aku ke rumah dia” - Dapat kek walau bukan birthday, guru kongsi sikap pelik murid yang memberi... peluk tiang tak nak masuk sekolah

Mohd Fadli (kiri) menerima kek hari jadi daripada seorang muridnya. Foto Facebook Mohd Fadli Salleh/kek: gambar hiasan

BUKAN hari ulang tahunnya, tetapi seorang guru dikejutkan dengan pemberian kek hari jadi.

Sepotong kek yang diletakkan di dalam bekas beserta sudu, rupa-rupanya dihadiahkan oleh seorang muridnya yang menyambut hari ulang tahunnya yang ke-12.

Walaupun bukan murid cemerlang di dalam kelas, namun guru berkenaan, Mohd Fadli Salleh berkongsi kisah mengenai kanak-kanak itu yang pernah diajarnya ketika tahun 4 dan 5.

ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan buka sekarang, saya malu" - Guru tak akan lupa bisikan murid yatim pada hari jadinya, meruntun hati tengok hadiah dalam kotak kasut

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat 'sisi' lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

"Amin ni bukanlah murid paling cemerlang dalam kelas. Biasa-biasa sahaja. Namun sikap dia sangat sopan dan hormat pada guru. Itu aku suka sangat," tulisnya di halaman Facebook.



Gambar Mohd Fadli (kiri) bersama Aiman Amin yang dirakamkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto Facebook Mohd Fadli Salleh

Mohd Fadli berkata, Aiman Amin berpindah ke sekolah di mana dia bertugas, dua tahun lalu dan kanak-kanak itu perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

"Waktu perhimpunan pagi di dataran perhimpunan, pengawas datang cari aku, cikgu! cikgu! Ada murid baru tak nak masuk sekolah. Dia duduk peluk tiang menangis kat laluan sana.

"Berkejar aku ke laluan jalan kaki mencari siapa murid itu. Inilah dia murid yang dulunya tak nak masuk ke sekolah. Bila orang nak tarik tangan, dia peluk tiang erat-erat. Habis buntu pengawas dan cikgu-cikgu nak settlekan," katanya.

Menurut guru itu, puas dipujuk murid baharu itu untuk masuk ke sekolah, dan akhirnya berjaya juga meskipun jelas mata merah menangis kerana terpaksa.

Berdasarkan siasatan, tiada kes buli yang berlaku pada Aiman Amin malah murid itu memberitahu bahawa guru-guru juga baik-baik belaka.

"Namun esoknya jaga (pengawal keselamatan) pula datang cari aku, Aiman Amin nak lari balik rumah pagi-pagi lagi. Mujur jaga sentiasa bersedia. Sempat pegang, namun pujuk suruh masuk semula ke kelas dia tak nak.

"Pergi lagi aku ke tempat jaga, pujuklah budak ni masuk kelas. Jalan beriringan dengan dia sambil pegang bahu," katanya.



Perkongsian Mohd Fadli di Facebook.

Dalam kesempatan itu, Mohd Fadli cuba menenangkan murid berkenaan dengan berbual mengenai keluarganya, adik beradik termasuk siapa yang disukai dan tidak disukai.

"Benda-benda tentang kehidupan dia supaya dia tenang dan tak anggap aku pergi tu nak hukum dia. Kami jalan sambil borak.

"Dia dah mula rasa selesa hari tu. Petang itu juga aku pergi ke rumah dia. Borak dengan mak ayah dia pula. Selidik latar belakang keluarga. Keluarga dia pun baik-baik," tambahnya.

Menurut Mohd Fadli, Aiman Amin merupakan anak bongsu maka perwatakannya sedikit manja, dan sejak itu kanak-kanak tersebut menunjukkan perkembangan positif di sekolah.

"Hari demi hari, dia makin okay. Aku pula selalu belanja dia bajulah, beglah. Makin dia seronok untuk datang ke sekolah. Hari Guru, dia pasti cari aku nak bagi hadiah. Baik pekerti budak ini.

"Mungkin hari ini awak bukan pelajar terbaik dalam sekolah, mungkin hari ini keputusan peperiksaan awak agak rendah, namun jika kita tak putus asa, kita boleh mencapai apa sahaja cita-cita kita," katanya.



Mohd Fadli pernah berkongsi kisah hadiah 'kotak kasut' daripada seorang murid yatim.

Mohd Fadli berkata, selain ilmu apa yang menjadi keutamaan adalah akhlak dan adab, yang mana kedua-duanya dapat dilihat dalam diri murid bernama Aiman Amin.

"Ilmu akan datang dengan lebih mudah, cuma perlu lebih rajin dan usaha keras. Cikgu doakan awak maju jaya, berjaya dan selamat hendaknya.

"Selamat Hari Lahir Aiman Amin. Belajarlah bersungguh-sungguh. Terima kasih atas kek ini. Sedap sangat," katanya.

Menerusi posting terdahulu, Mohd Fadli berkongsi kisah mengenai murid yatim bernama Iskandar yang menyambut hari ulang tahunnya dengan memberikan hadiah permainan yang diletakkan dalam kotak kasut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kek, hari jadi, hari ulang tahun, hadiah, murid,

Artikel Lain