SEJAK kebelakangan ini, banyak perkongsian mengenai kisah anak muda yang memiliki rumah idaman mereka pada usia muda. Mereka berkongsi kegembiraan atas pencapaian tersebut seawal usia 20-an, dan pada masa sama menjadi inspirasi buat masyarakat. Lain pula perkongsian seorang pemuda yang turut menarik perhatian di media sosial, mengenai ibu bapanya yang memiliki rumah pertama mereka pada usia hampir 40 tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Ketepi keinginan beli kereta, graduan kerja kilang mampu capai target miliki rumah pada usia 22 tahun - "Dari segi gaji, mula-mula bagi mak dulu" ARTIKEL BERKAITAN: "Bukan satu success story" - Peguam hartanah tak anggap orang muda mampu beli rumah satu pencapaian, ikut trend tapi tiada ilmu Pemuda berkenaan, Ahmad Firdaus Hadzir berkata, ibu bapanya kini berusia 60-an, masing-masing pesara penjawat awam dan guru. Perkongsian Ahmad Firdaus mengenai ibu bapanya. Pemuda berusia 25 tahun itu memberitahu, selepas mendirikan rumah tangga sehingga memiliki enam anak, ibu bapanya sekeluarga tinggal di rumah sewa di beberapa tempat. "Banyak faktor menyebabkan ayah saya mengambil masa lama untuk membeli rumah, tapi sebab paling utama adalah kedudukan kewangan ayah yang kurang stabil ketika itu. "Ayah dan mak bukan daripada keluarga yang senang. Dalam masa mereka membuat simpanan, mereka juga perlu menyara kehidupan sekeluarga," katanya kepada mStar. Ahmad Firdaus berkata, pada peringkat awal, ibu bapanya bersama enam anak iaitu abang dan kakaknya menetap di pangsapuri tiga bilik di Pulau Pinang. "Di rumah flat itulah abang-abang dan kakak-kakak saya dibesarkan. Sempit untuk jumlah yang ramai, tapi semua hidup selesa. Bila umur ayah dan mak hampir 40 tahun, barulah mereka ada rumah sendiri di Bangi, Selangor. "Walaupun bukan memiliki rumah sendiri di usia muda, tapi ibu bapa saya tetap menjalankan tanggungjawab mereka membesarkan anak-anak dengan baik di rumah sewa," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik. Ahmad Firdaus (tengah) berbangga dengan kisah ibu bapanya memiliki rumah pertama. Foto ihsan Ahmad Firdaus Hadzir Menurut Ahmad Firdaus, kisah ibu bapanya yang memiliki rumah sendiri pada usia yang mungkin dianggap lewat bagi segelintir orang dijadikannya sebagai inspirasi. "Walaupun bukan di usia muda, ibu bapa saya tahu tanggungjawab mereka dan anak-anak dibesarkan dengan baik dan selesa. "Setiap orang mempunyai perjalanan hidup berbeza, dan kebanyakan mereka yang mampu memiliki rumah sendiri di usia muda kerana lebihan pendapatan daripada berniaga. Perjalanan hidup masing-masing adalah berbeza tapi mereka berusaha untuk mencapai apa yang mereka inginkan. AHMAD FIRDAUS HADZIR "Tapi bukan bermakna setiap orang perlu ikut cara orang lain untuk buat bisnes juga. Minat dan kepakaran setiap individu berbeza-beza, dan ada yang lebih selesa kerja makan gaji seperti mak ayah saya," katanya. Dia yang merupakan kakitangan di sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagaimanapun menjelaskan bahawa bukan menjadi kesalahan kepada anak-anak muda yang berkongsi kisah kejayaan mereka memperoleh rumah sendiri pada usia muda. Ahmad Firdaus (belakang, empat dari kanan) bersama keluarganya. Apa yang lebih penting adalah masyarakat itu sendiri dalam menerima perkongsian itu dari aspek positif untuk menggerakkan diri lebih maju ke hadapan. "Tak salah untuk membandingkan, tapi jangan melihatnya sebagai satu tekanan atau peer pressure. Jadikannya sebagai penggerak untuk kita berusaha sesuatu untuk mencapai yang lebih baik. "Macam mak ayah saya, mereka terus menyimpan sikit-sikit dengan hidup bersederhana dan akhirnya ada rumah sendiri. Bukan sekadar rumah, tapi rumah idaman... sebuah rumah dua tingkat di atas sebidang tanah lot dan mereka hidup bahagia di rumah ini selama lebih 25 tahun. "Malahan, ada jiran dan kawan ayah yang ada rumah pertama sendiri masa umur 40 hingga 50 tahun, dan ya itulah rumah idaman mereka. Perjalanan hidup masing-masing adalah berbeza tapi mereka berusaha untuk mencapai apa yang mereka inginkan," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!