suria

Bakal ada ijazah, praktikal di syarikat besar tapi pilih jual teh ais... jangan ingat kerja biasa-biasa ni, siap ada 5 ejen! - “Masa PKP hari-hari bancuh”

Fatin mula berniaga teh ais sejak tempoh PKP dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

TIDAK dapat dinafikan, sebahagian besar masyarakat menjadikan kerjaya sebagai kayu ukur kejayaan seseorang.

Mereka berpendapat graduan yang menamatkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mempunyai kerjaya di pejabat ataupun makan gaji di mana-mana syarikat mahupun organisasi.

Malah jangan terkejut jika terdapat sebilangan besar masyarakat yang cenderung memandang rendah kepada graduan yang pada mereka mempunyai kerja 'biasa-biasa'.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau takkan kaya...” - Pernah termenung lima hari, video TikTok penjual belon undang sebak

ARTIKEL BERKAITAN: “Berbudi kepada tanah takkan rugi” - Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani

Bagi mereka, pekerjaan 'biasa-biasa' ini tidak menjanjikan pendapatan lumayan, jauh sekali mempunyai masa depan.

Wanita ini turut tidak terkecuali menerima tempias pandangan sedemikian ketika dia mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam bisnes minuman beberapa bulan lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Fatin Joe, wanita ini berkata situasi seumpama itu sudah beberapa kali dihadapinya sejak bekerja sambilan ketika masih menuntut di sebuah IPT swasta.



Fatin memuat naik perkongsian mengenai bisnes teh ais di Twitter.

"Masa belajar, saya banyak menimba pengalaman bekerja di beberapa tempat, antaranya jadi barista dan beberapa lagi pekerjaan sambilan kerana saya enggan bebankan ibu bapa.

"Ketika itu saya perasan kebanyakan orang lebih suka memandang rendah kepada individu yang kerja biasa-biasa. Padahal ramai yang kerja seperti ini sambilan saja, ada yang sedang melanjutkan pelajaran ke universiti, ada yang bakal jurutera pun," katanya kepada mStar.

Fatin yang juga penuntut peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Pentadibran Perniagaan dan Pengurusan Sumber Manusia kini mengusahakan bisnes minuman teh ais, Teatin sejak beberapa bulan lalu.



Dianggarkan sehingga 30 hingga 50 botol teh ais dijual kepada pelanggan setiap hari.

Sedang menjalani latihan industri (internship) di sebuah syarikat minyak dan gas di ibu negara, wanita berusia 23 tahun ini makin ligat mengusahakan perniagaannya lantaran sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

"Sebenarnya saya mula buat bisnes ni masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu. Kebetulan memang suka minum teh ais, jadi memang hari-hari bancuh. Daripada situ tergerak untuk buat bisnes untuk hilangkan rasa bosan.

"Tak sangka, selepas tamat PKP sambutannya makin menggalakkan. Memandangkan sekarang saya sedang menjalani praktikal dan bekerja lima hari seminggu, pengurusan masa sangat penting.

Ramai pula yang bagi mesej menerusi Direct Message (DM) bertanya sama ada saya ada buka pesanan untuk negeri-negeri lain. Syukur Alhamdulillah kini saya dah ada lima ejen.

FATIN JOE

PENUNTUT/PENGASAS TEATIN

"Pada hari bekerja, saya akan mula membancuh selepas pulang dari pejabat. Manakala hujung minggu memang saya fokus untuk bancuh dan buat penghantaran sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya yang menetap di Selayang.

Menurut Fatin, sehingga kini pesanan minuman daripada pelanggannya mencecah antara 30 hingga 50 botol setiap hari.

Setiap botol air teh ais dijual pada harga RM4 sebotol untuk 330 mililiter (ml).



Setiap botol dijual dengan harga RM 4.

Ditanya mengenai resepi air teh bancuhannya, Fatin berkata dia tidak mempunyai sebarang rahsia sebaliknya hanya bergantung kepada komen ahli keluarga.

"Setiap kali bancuh, mereka yang jadi tukang rasa dan nilai. Dari situ saya improve. Alhamdulillah, setakat ini tiada langsung maklum balas negatif yang diterima.

"Malah ramai pula yang bagi mesej menerusi Direct Message (DM) bertanya sama ada saya ada buka pesanan untuk negeri-negeri lain. Syukur Alhamdulillah kini saya dah ada lima ejen.



Fatin menerima komen positif daripada netizen.

"Saya ambil cakap-cakap orang yang pernah pandang rendah kerja saya sebelum ini sebagai pembakar semangat. Selain itu, apa yang menguatkan semangat adalah sokongan padu ibu bapa.

"Perancangan untuk masa depan, saya mahu tumpukan kepada bisnes ini sebaik praktikal tamat November nanti," katanya yang bercita-cita membuka kiosk teh ais sendiri satu hari nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain