SEJAK kes positif Covid-19 kembali mencatatkan peningkatan ketara beberapa hari lalu, media sosial dibanjiri dengan luahan kemarahan dan kekecewaan netizen mengenai isu kuarantin. Rata-rata mereka mendakwa peningkatan kes Covid-19 adalah berpunca daripada sikap segelintir individu yang mengambil mudah isu penularan wabak berkenaan. Ini kerana individu dalam kumpulan ini enggan mengambil inisiatif melakukan kuarantin kendiri selepas tiba dari kawasan berisiko sekali gus menularkan wabak berkenaan ke dalam komuniti. ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! Siapa tak faham konsep kuarantin di rumah, mohon baca dan ‘hadam’ penerangan panjang lebar doktor ini ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah detik cemas terkunci dalam tandas hotel ketika kuarantin wajib, minum air paip - “Aku jerit selama ni tak ada orang dengar” Di sebalik posting berbaur emosi yang membanjiri media sosial, baru-baru ini tular satu perkongsian yang sedikit sebanyak memberi satu kelegaan kepada netizen. Ia adalah sekeping gambar nota yang ditulis oleh penghuni sebuah rumah yang melekatkannya pada gril pintu. Sekeping nota yang dilekatkan di gril pintu kediaman sebuah keluarga mejadi tular selepas dimuat naik seorang rider. "Assalamualaikum, kami sekeluarga sedang menjalani tempoh kuarantin wajib di rumah (27 September - 11 Oktober) kerana baru pulang dari Sabah. "Mohon jasa baik abang-abang Grab dan Foodpanda letak makanan di bakul yang disediakan. Terima kasih abang-abang Grab dan Foodpanda atas jasa baik menghantar makanan kepada kami," demikian tulis nota berkenaan. Gambar tersebut dimuat naik oleh seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran makanan di Facebook. Bermula 27 September lalu, kerajaan mewajibkan individu yang pulang dari Sabah untuk menjalani kuarantin di kediaman masing-masing. Gambar hiasan. "Bagus kalau dapat orang macam ni. Salah satu contoh orang yang bertanggungjawab," demikian tulis kapsyen pada perkongsian tersebut. Sementara itu, perkongsian berkenaan turut mendapat reaksi positif netizen yang rata-ratanya memuji sikap keluarga berkenaan yang bertanggungjawab dan wajar dijadikan teladan. Antara komen netizen yang memuji pendekatan keluarga berkenaan. "Ini contoh orang bertanggungjawab. Syukur, harap ramai macam ni lagi," tulis Mis Hunny Wanny. "Baguih (bagus) lagu (macam) ni... bukan lama pun nak kuarantin... 14 hari ja. Moga dipermudahkan dalam semua urusan semasa menjalani tempoh kuarantin," tulis Aini Hashim pula. "Bagus keluarga ni, tengok bahasanya. Macam tu la terbaik," Ina Usop pula. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!