suria

Semasa cucuk jarum doktor tak rasa apa pun, sampailah ada garam di wad bersalin... terbongkar kisah ‘ulek mayang’ pesakit – “Terbayang mata terbeliak, kain kuning di perut”

Dr Ahmad Samhan (kiri) berkongsi mengenai pengalamannya bertugas syif malam di wad bersalin. -foto facebook Ahmad Samhan (kanan) gambar hiasan

PELBAGAI kisah seram di hospital sememangnya dialami segelintir petugas kesihatan terutama yang bertugas di wad bersalin.

Seperti seorang doktor ini, beliau berkongsi pengalamannya yang lebih bersemangat kembali bertugas setelah bercuti selama dua hari.

Namun, timbul tanda tanya sebaik melangkah masuk ke wad apabila mendapati beberapa sudut dinding ditaburkan dengan garam.

ARTIKEL BERKAITAN: Seram! Kerusi roda bergerak sendiri dirakam CCTV hospital... 'digunakan' pemiliknya yang sudah meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa nenek berjalan di wad pukul 2 pagi? Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan tampil beri penjelasan

"Saya ingatkan garam ni orang letak dalam makanan je. Ada juga orang tabur di tepi dinding, sempat aku berseloroh dengan misi (jururawat) di kaunter.

"Itu bukan garam biasa doktor. Itu pagar. Pagar? Baru nak tanya lebih, misi dah berlalu menuju ke katil pesakit," tulis Dr Ahmad Samhan di halaman Facebook beliau.

Berkongsi pengalaman itu kepada mStar, Dr Ahmad Samhan Awang berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bertugas syif malam di sebuah hospital di Terengganu, pada 2016.

Ketika itu, beliau ditugaskan di dewan bersalin seperti kebiasaan dan diminta seorang rakan sekerjanya untuk mengambil darah seorang pesakit yang baru dimasukkan ke wad.



Dr Ahmad Samhan tidak menyangka mengalami insiden di wad pukul 2 pagi. -gambar hiasan

Doktor berusia 34 tahun itu memberitahu, kelihatan seorang wanita berusia 20-an yang terbaring diam sebaik melangkah masuk ke sebuah bilik pada pukul 2 pagi.

“Tenang, tak mengerang. Tak seperti nak beranak. Di atas perutnya ada kain kuning. Kepalanya menoleh ke tingkap bilik, ” katanya kepada mStar namun tidak mengulas lanjut mengenai kegunaan kain kuning itu.

Meminta izin dan memperkenalkan diri, Dr Ahmad Samhan membuat suntikan untuk mengambil darah pesakit itu yang terus membisu tanpa sepatah kata keluar dari mulutnya.

"Saya tak ubah seperti bercakap dengan dinding. Saya kemudian ikat tourniquet (alat menghentikan pengaliran darah untuk sementara) di lengannya supaya urat timbul.

"Mudah saya nak ambil darah. Dia tak melawan, kira setuju," ujarnya yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Saya sangka mata dia terbeliak tengok saya tu sebab sakit macam pesakit-pesakit lain kena cucuk jarum

DR AHMAD SAMHAN

Wanita itu kemudian secara tiba-tiba menoleh tepat ke muka beliau sebaik jarum menusuk masuk ke dalam urat dan menarik darah masuk ke dalam picagari.

"Tenungannya tajam. Mata macam nak tersembul keluar. Tapi saya buat muka bodoh, sebab memang macam tu kalau sakit sebab kena cucuk jarum kan.

"Tapi perasaan saya berubah selepas keluar dari bilik apabila ditegur misi. Sedang saya uruskan darah yang baru diambil tadi, misi tanya doktor ambil darah pesakit bilik hujung tu ke? Dan saya mengiyakan.

"Doktor tak rasa apa-apa pelik ke? Saya jawab biasa saja. Doktor tahu tak, pesakit itu menari atas katil sambil menyanyi ulek mayang. Itu yang kena panggil ustaz untuk buat pagar," jelasnya yang memetik kata-kata jururawat itu.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di laman sosial.

Menurut Dr Ahmad Samhan yang mengusahakan sebuah klinik di Kuala Terengganu, sesungguhnya pendedahan jurawat itu membuatkan darahnya terus berderau.

"Berdiri bulu roma di tengkuk dan lengan. Meremang! Saya sangka mata dia terbeliak tengok saya tu sebab sakit macam pesakit-pesakit lain kena cucuk jarum.

"Bila misi beritahu, terus saya berkali-kali terbayangkan mata dia yang terbeliak tu, terus rasa seram. Banyak juga kes pesakit yang 'keras' ada gangguan terutama di wad bersalin.

"Pesakit tersebut selamat melahirkan anak perempuan. Masa meneran, dia berkeras letak kain kuning atas perutnya. Tak tahu kenapa. Tapi, mujurlah dia tak buat tarian ulek mayang kali kedua di dewan bersalin," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain