TIDAK dinafikan ramai yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada yang kehilangan kerja. Malahan, ada juga yang bangkit semula mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup. Seperti seorang pemuda ini yang baru memulakan bisnes makanan dari Jepun yang popular iaitu sushi secara bergerak menggunakan keretanya di Kuala Lumpur. ARTIKEL BERKAITAN: Mak suruh belanja 2 makcik cleaner makan, anak turutkan saja tanpa banyak bunyi... tak lama kemudian datang rezeki tak pernah dijangka ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau,"Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..." Baru seminggu berniaga, dia berhasrat untuk menyumbangkan 50 biji sushi secara percuma untuk disumbangkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Perkongsian Hafidz menjadi tular di media sosial. Said Muhammad Hafidz Adhha Said Umar berkata, dia sebelum ini merupakan ejen sushi sebelum beralih menjual sendiri dengan harga lebih murah iaitu RM1 sebiji. "PKP dengan pandemik Covid-19 banyak memberi kesan kepada masyarakat. Jadi, dengan menjual harga jauh lebih murah, mereka mempunyai kuasa membeli. Mereka lebih mampu. "Bagaimanapun, margin keuntungan saya tidak banyak. Pendapatan saya bergantung kepada kuantiti sushi yang terjual. Kalau habis terjual, alhamdulillah," kata pemuda berusia 25 tahun itu kepada mStar. Sushi yang dijual pada harga RM1 sebiji. Lebih mesra disapa Hafidz, katanya, dia mengambil kira-kira 500 biji sushi daripada pembekal setiap hari, dan 50 biji daripada jumlah itu akan disalurkan secara percuma kepada golongan susah pada setiap Jumaat "Di kawasan tempat saya berniaga di Lembah Keramat ini ada banyak penempatan kos rendah. Dengan kerjasama ketua penduduk dan kejiranan, sumbangan saya itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan. "Saya tahu sushi bukanlah keperluan asas seperti beras atau minyak, tapi tak salah untuk berkongsi rezeki dengan orang yang susah," ujarnya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Hafidz berhasrat untuk bersedekah daripada hasil jualan sushinya. Walaupun golongan berpendapatan rendah mungkin tidak pernah merasa sushi seperti kumpulan pendapatan lain, katanya, peluang itu wajar diberikan sama rata. "Saya sendiri bukan dari keluarga yang senang. Arwah bapa saya bekerja sebagai pemotong ayam di sebuah pasar raya dan dengan kerja itu jugalah arwah menyara kami sekeluarga. "Umur saya awal 20an baru dapat merasa sushi. Jadi, saya mahu orang susah juga dapat merasa sushi," ujarnya sambil menambah bapanya meninggal dunia awal 2019 pada usia 60 tahun akibat serangan jantung. Saya sendiri bukan dari keluarga yang senang. Umur saya awal 20an baru dapat merasa sushi SAID MUHAMMAD HAFIDZ ADHHA SAID UMAR Dalam pada itu, Hafidz yang juga anak keempat daripada lima beradik itu mengakui terkejut perkongsiannya mengenai sedekah sushi itu menjadi tular. Malah katanya, but keretanya dikunjungi ramai yang mahu membeli sushinya termasuk mereka yang berhati mulia mahu turut sama memberi sedekah. Berhasrat untuk membuka but pada satu hari bagi memberikan sushi secara percuma kepada orang awam dengan niat bersedekah. "Sambutan amat menggalakkan. Saya mengambil stok sushi sebanyak 1,000 biji, dan daripada jumlah itu 350 biji sumbangan orang ramai termasuk 50 biji bahagian saya disedekahkan kepada mereka yang susah. "Alhamdulillah baki 650 biji sushi habis dijual dalam masa dua jam saja. Syukur ramai yang bermurah hati selain mahu mendapatkan sushi pada harga murah," katanya. Sehubungan itu, bapa kepada dua anak itu bercadang untuk mempergiatkan lagi sedekah sushi dengan lebih terbuka, dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai. "Jika ada rezeki lebih, saya nak buka but kereta saya untuk satu hari tapi bukan untuk menjual sushi tetapi diberikan secara percuma kepada orang awam dengan niat untuk bersedekah, itu hasrat saya pada masa akan datang insyaAllah," kata Hafidz. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!