"DIA punya lenggok memang A." Demikian komen netizen mengenai sebuah video yang menunjukkan seorang guru menari bersama murid-muridnya menerusi aplikasi TikTok. Rata-rata netizen terpegun dengan kelembutan tarian guru tersebut yang begitu lentik, menepati setiap irama lagu Bukan Cinta Biasa versi remix (lagu asal oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza). ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kembar lincah berjoget 13 tarian tradisi di TikTok, lebih kagum sebab guna lagu moden - "Kami masih dipandang sebelah mata" ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar main gamelan tapi menari lagu Blackpink dipertikai, terlalu agungkan K-Pop,"Pergerakan kami tak over!" "Cikgu jom buat TikTok Blackpink. Ni aku kasi kau Jawa Pink, dengan murid-murid saya," tulis seorang pemuda yang membuat perkongsian video tersebut di laman Twitter, merujuk kepada kumpulan K-Pop terkenal itu. Farees (belakang, tengah) bersama murid-muridnya bagi kelas tarian. Guru berkenaan, Muhamad Farees Mohd Asri berkata, dia merupakan guru tari sambilan di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Jasmin di Nilai, Negeri Sembilan sejak awal 2019. Pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu, dia bukanlah pertama kali membuat video menari menerusi TikTok, tetapi mengakui baru berjinak-jinak beraksi bersama murid-muridnya menggunakan aplikasi popular itu. "Bila murid-murid nak saya buat video TikTok lagu Blackpink dengan mereka, saya alihkan tumpuan mereka dengan lagu moden bersama suntikan irama tradisional. "Saya mendidik murid-murid di sekolah rendah, jadi tak elok untuk saya menonjolkan anak-anak yang masih kecil ini dengan tarian lincah K-Pop yang mungkin tidak manis dipandang oleh orang dewasa," katanya kepada mStar. Farees sering membuat video tarian di TikTok. Lebih mesra disapa Farees, dia bagaimanapun menegaskan tidak membenci mahupun anti kepada kumpulan terkenal dari Korea Selatan itu. "Saya bukan benci K-Pop, tapi orang kenal saya sebagai guru tarian tradisional. Jadi, saya tak nak lari daripada konsep itu apabila mendidik murid-murid di sekolah. Tak elok untuk saya menonjolkan anak-anak yang masih kecil ini dengan tarian lincah K-Pop yang mungkin tidak manis dipandang oleh orang dewasa. MUHAMAD FAREES MOHD ASRI "Pada masa sama, saya mahu membuka mata masyarakat bahawa irama tradisional juga mempunyai keunikan tersendiri untuk menari sebagai hiburan dalam video TikTok. "Tambahan pula, kebanyakan murid saya di kelas tarian kini darjah enam dan mereka bakal sambung belajar di sekolah menengah, jadi video TikTok itu merupakan kenangan saya bersama mereka nanti," ujar anak kelahiran Seremban itu. Anak didik Farees mewakili Negeri Sembilan untuk pertandingan tarian tradisional. Mempunyai pendidikan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu di Melaka, anak muda itu mengajar pelbagai jenis tarian tradisional seperti inang, zapin, joget dan kuda kepang. Menurut Farees, dia juga merupakan penyanyi dan penari sambilan sebelum membimbing kelas tarian untuk murid-murid di sekolah rendah. Malahan, anak bongsu daripada tiga beradik itu turut bersyukur pada tahun pertama pembabitannya sebagai guru tari sambilan, kumpulan tari murid-muridnya berjaya mewakili Negeri Sembilan dan mengungguli anugerah perak pada Pertandingan Semarak Tarian Rampaian Tradisional peringkat kebangsaan yang diadakan di Langkawi, tahun lalu. Farees dengan murid-murid kesayangannya. Farees yang kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Pengurusan Seni) di UiTM Puncak Perdana di Shah Alam, Selangor juga mahu menimba pengalaman untuk terus aktif dalam seni suara dan tarian. "Saya memang minat dengan seni suara dan aktif sejak sekolah rendah. Saya mahu lebih aktif bukan sahaja sebagai penggiat seni, malah menjadi penghibur pada masa akan datang. "Saya mahu turut sama-sama mengangkat irama tradisional dan memupuk minat itu dalam kalangan anak-anak muda," katanya yang menjadikan Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola. View this post on Instagram A post shared by Farees Asri (@fareesasrii) on Oct 22, 2020 at 5:55am PDT Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!