suria

“Dia tak nak tamak” - Makcik peminta sedekah minta berhenti masukkan duit, ramai buat andaian mengenai kasut mahalnya

Perkongsian Awanis di Twitter mengenai wanita warga emas yang ditemuinya sedang meminta sedekah di sebuah pasaraya menjadi tular di Twitter.

SEJAK kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, ramai yang terjejas teruk lantaran kehilangan pekerjaan kerana banyak syarikat terpaksa mengecilkan kos operasi.

Jika disoroti di laman sosial, banyak perkongsian memaparkan kisah mengenai betapa peritnya golongan ini mencari rezeki dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang halal demi sesuap nasi.

Lebih menyedihkan, ada juga golongan yang tidak bernasib baik apabila terpaksa meminta simpati orang ramai kerana kekangan usia dan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik tua gigih usung hasil kraftangan, bakal doktor sedih tak dapat beli banyak... tapi bantu cara lain - “Ada yang sanggup bayar berapa saja upah”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hidap kanser telinga, pakcik OKU gigih berniaga di kaki lima bank... tulis atas kertas minta ‘pakat-pakat tolong’ - “Dia masih fikir orang yang lebih susah”

Namun apa yang membanggakan, perkongsian-perkongsian sebegini pantas mendapat perhatian daripada netizen yang menghulurkan bantuan sama ada menerusi sumbangan mahupun hebahan di media sosial masing-masing.

Terbaharu, kisah seorang wanita yang terpaksa meminta simpati orang ramai dengan mengemis, menarik perhatian ramai netizen.

Kisah wanita yang dalam lingkungan usia lebih dari separuh abad itu menjadi perhatian selepas ia dikongsikan oleh seorang pelayar di Twitter.



Perkongsian Awani mengenai Makcik Maznah yang ditemuinya di sebuah pasaraya, menjadi tular di Twitter.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelayar yang hanya mahu dikenali sebagai Awanis Rasdi berkata, dia bertemu dengan wanita berkenaan secara tidak sengaja ketika mahu pulang ke rumah selepas selesai membeli barangan keperluan di sebuah pasaraya di Batu Caves, Selangor.

Imbas Awanis, sewaktu mahu menghidupkan enjin kereta, dia terperasan kelibat wanita berkenaan yang termengah-mengah seolah-oleh diserang asma.

"Ketika itu makcik tersebut dah macam penat sangat-sangat... dia terduduk di besi penghadang dan saya segera dapatkannya untuk tanya keadaan dan nak hantar ke klinik.

"Makcik tu kata dia bukan diserang asma... jadi lepas keadaannya tenang, dia pun bercerita yang dia duduk dekat situ sebab terpaksa minta sedekah. Katanya, dia dari Maluri dan datang naik tren.



Meskipun dibanjiri dengan komen netizen yang prihatin, Awanis terkilan kerana ada yang mempertikaikan penampilan wanita berkenaan.

"Dia perkenalkan diri sebagai Makcik Maznah. Katanya, dia tiada pilihan sebab suaminya dah diberhentikan kerja sebagai tukang masak akibat Covid-19.

"Suaminya ada bekerja sebagai tukang angkat barang selepas itu, tapi terpaksa berhenti sebab sakit sendi selalu angkat benda berat. Disebabkan itu, mereka hilang sumber pendapatan dan lebih sedih, sewa bilik RM350 sebulan dah tertunggak selama beberapa bulan," kata gadis berusia 20 tahun ini.

Menurut Awanis, menerusi penceritaan Makcik Maznah, wanita itu berkata dia mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun namun tidak bersekolah lantaran mereka kerap berpindah randah sejak enam tahun lalu.

Namun dalam banyak-banyak komen yang positif, ada satu dua komen yang pertikaikan keadaan makcik tu... mungkin mereka anggap dia 'scammer' sebab penampilannya dan menyarung kasut berharga puluhan ringgit.

AWANIS RASDI

PELAYAR TWITTER

"Saya tersentuh hati dengan kisah makcik Maznah... masa itu hanya ada wang tunai RM20 dan kebetulan ada air coklat yang saya beli untuk anak saudara, itu saja yang saya mampu beri ketika itu.

"Sebelum pulang saya sempat minta nombor telefonnya dan malam itu, saya hubunginya dan minta kebenaran untuk hebahkan di Twitter. Memang tak sangka langsung, sampai macam ni sekali respon netizen.

"Sejak malam itu, tak putus-putus netizen komen dan ada ramai yang hantar mesej menerusi DM kepada saya... ada yang masih belum sempat jawab. Rata-ratanya suarakan hasrat nak bantu Makcik Maznah. Saya pun minta nombor akaun makcik itu untuk netizen hulur sumbangan," kata graduan dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ini.



Awanis (tiga, kiri) bersama rakan-rakan sekuliah yang merupakan pelajar jurusan Diploma Komunikasi Bahasa Inggeris dari sebuah IPTS.

Ceritanya lagi, Makcik Maznah kemudian menghubunginya sendiri dan mengucapkan terima kasih kerana terlalu terharu menerima sumbangan yang sangat tidak dijangka.

"Banyak kali dia ucap terima kasih kepada saya... dia juga minta beritahu dah boleh stop masukkan duit sebab dia tak nak tamak. Katanya dah cukup untuk dia dan keluarganya," kata gadis yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini.

Menurut Awanis lagi, dia sendiri terharu dengan sikap prihatin rakyat Malaysia yang tidak lokek menghulurkan bantuan sungguhpun ketika rata-ratanya terkesan kerana pandemik Covid-19.

"Namun dalam banyak-banyak komen yang positif, ada satu dua komen yang pertikaikan keadaan makcik tu... mungkin mereka anggap dia 'scammer' sebab penampilannya dan menyarung kasut berharga puluhan ringgit.



Awanis bercadang mahu menziarahi Makcik Maznah selepas tempoh PKPB tamat kelak.

"Tapi kemudian ramai netizen yang kecam semula pelayar tersebut sebab bangkitkan hal yang boleh mendatangkan fitnah. Kan sebelum ini suaminya bekerja, mungkin sebab itu pakaian nampak elok. Maknanya dia bukan asal miskin.

"Kalau tak nak bersedekah, jangan hasut orang lain... kalau tak ada perkara elok nak dikomen, elok diam saja," kata Awanis.

Menurut gadis ini, dia bercadang untuk menziarahi Makcik Maznah selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir kelak.

Sehingga kini perkongsian Awanis meraih 26,800 retweet.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain