TIGA pramugari ini pernah tular pada April lalu kerana bakat terpendam mereka menyanyikan kompilasi lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, sehingga mendapat pujian penyanyi nombor satu negara itu. Selain paduan tiga suara, kelincahan dan personaliti ceria mereka menarik perhatian ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pandemik Covid-19. Namun, siapa sangka mereka merupakan antara 2,200 kakitangan Malindo Airways yang dilaporkan diberhentikan kerja susulan syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan pekerja akibat pandemik itu. ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masanya! Tiga pramugari cun tonjol bakat buat 'konsert', ada yang kata suara mirip Tok Ti - "Meremang sebab cuma kami bertiga, tak pakai minus one" ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pramugari dah siap sedia bertugas 1 Syawal, tapi rezeki dapat beraya dengan keluarga - "Tak tahulah tiba-tiba nangis dalam kabin" Ketika ini, tiada video nyanyian atau borak santai yang dimuat naik mereka di laman YouTube, sebaliknya sebuah video yang menyentuh emosi dan menusuk kalbu. Tiga rakan karib yang bersama berkhidmat sebagai kru kabin. Trio jelitawan itu - Siti Nur Maisarah Johari (Maisarah), 27, Ainul Rashida Ahmad Mokhtar (Lunia), 26, dan Nur Fatin Alya Zulkefly (Atyn), 24, yang menggelarkan mereka sebagai Triplets Trouble berkongsi luahan rasa hati selepas perkhidmatan mereka berakhir secara rasmi. Anggun dalam persalinan pakaian seragam kru kabin putih, ketiga-tiga mereka kemudian mengakhiri video berdurasi kira-kira 4 minit dan 30 saat itu, dengan ungkapan yang sering disebut juruterbang sebaik pesawat selamat mendarat di lapangan terbang. "Cabin crew, disarm all doors and cross check." Siti Nur Maisarah Johari (Maisarah). Salah seorang daripada kru kabin berkenaan, Maisarah memberitahu, mereka bertiga berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu selama setahun dan empat bulan. Maisarah yang berasal dari Cheras, Selangor berkata, kesedihan dirasai sewaktu menerima pengesahan mengenai pemberhentian itu sehingga sukar untuk meluahkannya dengan kata-kata. "Mula-mula rasa sedih teramat sangat sehingga tak boleh menangis. Tak tahu nak reaksi macam mana dan hanya mampu terdiam. "Tapi bila kami tengok gambar dan video kami ketika bertugas sebagai kru kabin, akhirnya kami kalah dan menangis," katanya kepada mStar. Ainul Rashida Ahmad Mokhtar (Lunia). Bukan klise, mereka yang merupakan rakan karib sejak empat tahun lalu mengakui kerjaya sebagai pramugari membina keyakinan diri terutama ketika berhadapan dengan orang ramai. "Bagi saya sendiri, jujurnya saya berjumpa dengan macam-macam orang sepanjang bertugas di awan biru. Kerjaya ini bukan sekadar memberi servis terbaik kepada penumpang, tetapi mengajar erti syukur. Mula-mula rasa sedih teramat sangat sehingga tak boleh menangis. Tak tahu nak reaksi macam mana dan hanya mampu terdiam SITI NUR MAISARAH JOHARI "Apabila saya mengendalikan penerbangan dari Malaysia ke India dan Bangladesh, rata-rata mereka merupakan pekerja asing yang mahu pulang ke kampung untuk berjumpa dengan keluarga, isteri dan anak-anak. "Satu perasaan yang jelas berbeza apabila berhadapan dengan penumpang-penumpang ini kerana kegembiraan yang dapat digambarkan pada wajah mereka untuk bertemu dengan insan tersayang setelah berpisah selama bertahun-tahun demi mencari rezeki," ujarnya. Nur Fatin Alya Zulkefly (Atyn). Selain berkongsi video-video di laman YouTube, tiga pramugari ini meneruskan kelangsungan hidup sejak industri penerbangan negara yang perlahan akibat Covid-19. Menurut Maisarah, dia kini berjinak-jinak bekerja sambilan sebagai pengasuh dan menjual bertih jagung secara dalam talian, selain menjadi ejen jualan syampu bersama Lunia, manakala Atyn bekerja di sebuah kedai minuman bubble tea. Tiga sekawan ini perlu meneruskan kelangsungan hidup selepas diberhentikan kerja. Dalam pada itu, Maisara berkata, ungkapan juruterbang (Cabin crew, disarm all doors and cross check) yang disebut mereka di akhir video memberi maksud bahawa ia antara tanggungjawab terakhir bagi seseorang kru kabin yang bertugas pada hari berkenaan. "Kata-kata keramat bagi setiap kru kabin, setiap masa kita dengar, kita gembira dan akhirnya kita selesai membawa dan menjaga ratusan nyawa di awan biru dan boleh berehat. "Bagaimanapun, ungkapan itu kini berbeza buat kami... tamatlah tugas kami sebagai kru kabin, rehat kami tidak lagi memberi kebahagiaan kerana tiada lagi hari esok untuk kami mencari rezeki di awan biru," katanya dengan nada sebak. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!