INSIDEN anak kecil yang hampir menjadi mangsa culik gara-gara ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan oleh ibu bapa pernah beberapa kali dilaporkan media sebelum ini. Walau hanya sebentar, namun ibu bapa sewajarnya tidak mengambil remeh perkara ini kerana apa jua situasi bahaya boleh berlaku dalam sekelip mata. Sebagaimana coretan seorang wanita ini di Facebook, dia berkongsi pengalaman berdepan detik cemas apabila anak kecilnya yang ditinggalkan sebentar di dalam kereta, tiba-tiba ghaib! ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang tak sempat makan, si anak senyap-senyap bekalkan roti... siap selit nota 'sweet' buat ibu - “Tak terfikir dia buat macam tu” ARTIKEL BERKAITAN: ‘Padah’ tak dengar kata! Bapa kongsi detik lucu 'insiden' kereta terpacak di kepala anak, ada drama selepas kejadian - “Sempat la rekod sebelum tolong dia” Menurut wanita berkenaan, dia meninggalkan anaknya sebentar di dalam kereta untuk membeli mi kuning di sebuah kedai runcit. "Fayyad, duduk dalam kereta diam-diam ya. Jangan pergi mana-mana. Mama nak masuk kedai runcit Ane tu jap. Nak beli mi kuning yang Fayyad suruh mama masak tu, pesan saya kepada anak kecil saya. "Usai membeli mi kuning di kedai runcit itu, terus saya ke kereta. Allahuakhbar!! Terkejut tengok anak tiada dalam kereta! Fayyad! Fayyad! Terpanggil-panggil namanya. "Punyalah laju jantung saya berdegup, takut dia hilang sebab anak saya sangat aktif dan nakal. Macam nak pitam rasa. Panik!" cerita wanita berkenaan. Dalam pada sibuk mencari tak ubah seperti kucing kehilangan anak, mata wanita berkenaan tertancap pada sebuah motosikal yang 'tumbang' di seberang jalan. "Allah! Risau takut Fayyad tumbangkan motor orang ke apa. Kelihatan seorang pakcik terduduk tepi motor tu dan mengelap darah luka di kakinya. "Motor tu jatuh tepi longkang besar. Terpandangkan di tepi longkang tu ada tangan budak kecil. Tengok-tengok Fayyad dalam longkang tu!" katanya. Wanita berkenaan berkongsi insiden 'cemas' yang berlaku itu di Facebook. Wanita itu berkata dia pada mulanya menyangkakan anak kecilnya bermain di dalam longkang, namun sangkaannya meleset sama sekali sebaik sahaja dia mendekati kanak-kanak berkenaan. "Terus rasa sayu, rasa sebak, rasa happy, terharu tengok anak kecil mama yang nakal ni sedang berusaha mengutip topi keledar dan cermin mata pakcik yang jatuh motor tadi di dalam longkang tersebut. Saya terus peluk Fayyad dan ucap terima kasih sebab tolong pakcik tu. "Sewaktu dalam kereta saya tanya dia, 'kenapa Fayyad tolong pakcik tu tadi?'. Katanya 'bukan ke mama yang selalu kata kalau kita tolong orang, kita bagi orang makan, kita akan dapat pahala. Kan tadi kita dah dapat pahala?' Walau hanya sebentar, namun ibu bapa sewajarnya tidak mengambil remeh perkara ini kerana apa jua situasi bahaya boleh berlaku dalam sekelip mata. "Jadi fahamlah, anak kecil ni dia akan ikut apa je yang kita cakap. Dalam hati senyum sorang-sorang. Rupanya dalam nakal-nakal anak kita ni, ada juga sifat yang baik. "Last sekali, kena bebellah juga dia. Kalau ya pun nak tolong orang, jangan keluar kereta macam tu je. Kenalah panggil kita dan bagitahu kita dahulu nak pergi ke mana-mana. Bahaya!" ceritanya. Komen sebahagian netizen yang memuji tindakan mulia kanak-kanak berkenaan. Walaupun insiden 'kehilangan' anaknya itu tidak berkait dengan cubaan penculikan atau unsur jenayah, namun wanita tersebut tetap mengambil iktibar. "Jangan tinggalkan anak dalam kereta sorang-sorang. Takut terlepas pandang, mereka merayap ke mana-mana atau mungkin orang lain boleh bawa mereka ke mana-mana. "Kedua, kita selalu ajar buat baik pada semua orang. Tapi budak-budak kecil ni fikiran mereka tak matang lagi. Kena nasihatkan mereka, nak buat apa pun kena ada ibu bapa. Tak boleh tolong orang, sorang-sorang," ujarnya lagi. Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif netizen, dengan rata-ratanya memuji tindakan mulia anak wanita berkenaan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!