suria

Dah puas ‘layan’ menangis dibuang kerja, pramugari terima 2 tawaran job datang serentak - “Tak sangka baca berita mengenai bekas syarikat saya bekerja”

Ayu menganggap dua tawaran kerja yang diterima sebagai rezeki tak diduga buat dirinya.

INDUSTRI penerbangan menyaksikan impak luar biasa akibat pandemik Covid-19 sehingga ramai yang kehilangan pekerjaan.

Tidak terkecuali, Ayu Zalani, 27, yang mengalirkan air mata tatkala mendapat perkhabaran duka itu.

Mesra disapa Ayu, dia yang bertugas sebagai kru kabin di sebuah syarikat penerbangan turut diberhentikan kerja pada 14 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto kru kabin dukung bayi viral ketika ramai singkap memori bersama MAS, anak dedah sisi penyayang bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Kru kabin akur sesi photoshoot ‘dicaras’, ada model lebih comel ambil alih studio

"Saya dah bekerja selama setahun empat bulan. Sebenarnya dah boleh jangka masa dapat tahu keputusan itu.

"Memang terkejut sebab tak ready lagi. Masa mula-mula dapat tahu memang rasa down. Saya menangis lepas dapat tahu.

"Tapi cara saya, saya akan menangis sepuasnya, betul-betul sedih dalam beberapa hari... kemudiannya saya akan bangkit," ujarnya kepada mStar.

Ayu kini melakukan dua kerja termasuklah menjadi pembaca berita pada waktu malam.

Namun Ayu tidak menyangka berjaya mendapat dua tawaran pekerjaan pada bulan ini sekali gus menyuntik motivasi buat dirinya.

Menurut Ayu, dia menerima tawaran pertama dan kini bertugas sebagai perunding pemasaran digital di sebuah syarikat di ibu negara.

Malah, dia turut menerima tawaran kerja kedua sebagai pembaca berita di sebuah platform digital yang memerlukan komitmen dirinya pada waktu malam sahaja.

Tak sangka bila saya jadi pembaca berita, saya baca berita mengenai syarikat saya bekerja sebelum ini.

AYU

"Saya sekarang buat dua kerja. Pada sebelah malam saya buat part time jadi pembaca berita.

"Ibaratnya hilang satu kerja tapi datang lagi dua. Memang penat tapi saya rasa puas.

"Bila saya fikir, ramai lagi yang diberhentikan kerja dan masih mencari peluang baharu... ia membuatkan saya bersyukur," ujarnya yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Komunikasi.

Menetap di Damansara, Ayu berkata dia percaya pada rezeki dan berharap sesiapa yang melalui fasa sukar sepertinya agar tidak mudah putus asa.

Industri penerbangan antara yang terjejas teruk akibat Covid-19. (Gambar Hiasan)

"Dulu selalu baca bila orang kongsi petikan kata-kata mengenai rezeki, bahawa ia tak pernah salah alamat.

"Kata-kata itu memang betul. Yang penting kena berdoa dan sabar. Rezeki akan datang cuma tak tahu bila.

"Tak sangka bila saya jadi pembaca berita, saya baca berita mengenai syarikat saya bekerja sebelum ini.

"Kehilangan kerja sebelum ini bagaikan ujian untuk saya, lepas tu adik pula meninggal dunia. Ia buat saya bangun balik dan beri motivasi pada diri," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain