PASANGAN Instafamous yang merupakan suami-isteri Malaysia dan Korea Selatan terus menjadi perhatian, terbaharu dengan kisah demonstrasi pemakaian samping. "Korang (anda) tiada samping untuk ke majlis kahwin? Jangan risau, guna sahaja kain kurung isteri atau mak korang!" menurut keterangan video yang dimuat naik di laman Instagram ryzalibrhm. Popular dengan gelaran Ryzal 'duriamkimchi', Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim menunjukkan demonstrasi menggunakan kain baju kurung berwarna hijau gelap kepunyaan isterinya, Maryam You Narae untuk dijadikan sebagai samping. ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 bulan balik Malaysia, Ryzal Duriankimchi perjelas kenapa masih tak balik Kelantan selepas nikah di Korea Selatan - "Rindu nak cium tangan mama" ARTIKEL BERKAITAN: Dikeji ketika live FB, pasangan Instafamous Malaysia-Korea buat laporan polis - "Tak sangka bila kami pulang ke sini, dia alami perkara sama" Video tersebut dianggap lucu dan menghiburkan sebelum netizen terkejut apabila tidak menyangka Nik Muhammad Ryzal benar-benar memakai kain baju kurung itu sebagai samping, menerusi video kedua di laman instagramnya yang dikongsi. Ryzal (kanan) pada mulanya memakai kain baju kurung milik Maryam (kiri). Bercakap kepada mStar, Nik Muhammad Ryzal, 28, berkata, dia memakai samping menggunakan kain baju kurung berwarna krim milik isterinya ke majlis perkahwinan sepupunya di Kuala Lumpur, pada Ahad. Lebih dikenali sebagai Ryzal, dia sebelum itu telah mencari sampingnya di rumah untuk dipakai ke majlis pernikahan sepupunya di sebelah pagi di Masjid Abu Hurairah di Jalan Ipoh. "Memang hilang betul, dua jam pusing-pusing cari dalam rumah. Akhirnya jumpa kain (baju kurung Maryam) dalam almari nampak macam boleh gantikan, jadi saya cubalah. "Sebenarnya, saiz pinggang Maryam 27 inci dan saya antara 29 dan 30 inci. Jadi kain baju kurung hijau gelap tu ketat sangat, kena tanggalkan balik dan cari yang sedikit longgar," katanya kepada mStar. Ryzal (kiri) dan Maryam (kanan) hadir pada majlis perkahwinan sepupunya (dua, kiri). foto ihsan Nik Muhammad Ryzal Ryzal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, kain baju kurung kedua berwarna krim milik Maryam yang dicubanya lebih padan berbanding kain pertama. "Ngam-ngam. Longgar sedikit yang kedua ni untuk dilipat dan dijadikan samping untuk pakai ke majlis kahwin. "Mula-mula tergelak juga dan terfikir nanti orang cakap tak betul tapi bila kemaskan dan lipat kain tu sebagai samping memang langsung tak perasan ia adalah kain baju kurung. "Maryam pun mulanya kata pelik sama macam yang saya fikir, siap tanya banyak kali serius ke saya nak ke majlis dengan kain tu," katanya. Ryzal (kanan) dan Maryam kelihatan sedondon dengan busana biru. Setibanya di majlis pernikahan dan persandingan sepupunya, Ryzal bernasib baik kerana tiada seorang pun hadirin yang menyedari samping itu adalah kain baju kurung. "Dah sampai, tak ada seorang pun perasan, jadi Maryam pun diam sajalah," ujarnya secara berseloroh. Boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku situasi kecemasan. Kepada yang ingin cuba cara baharu dan lebih jimat kos cubalah cari kain-kain isteri yang dah lama tak pakai NIK MUHAMMAD RYZAL NIK IBRAHIM Keselesaan 'samping' itu membuatkan Ryzal mampu bertahan memakainya sehingga tempoh enam jam, sambil menambah kain baju urung boleh dipertimbangkan lagi menjadi pengganti samping pada masa akan datang. "Saya buat video tu pun sebab ada follower nak tengok betul ke saya pakai samping guna kain Maryam tu di majlis nikah dan sanding sepupu," tambahnya. Ryzal selesa memakai samping menggunakan kain baju kurung isterinya. "Selesa, nak buka senang dan nak lilit balik pun senang sangat. Lebih mudah daripada samping biasa. Cuma ketat di bawah kain bila nak masuk kereta sebab kain tak terbuka jabis. "Boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku situasi kecemasan macam ni. Kepada yang ingin cuba cara baru dan lebih jimat kos cubalah cari kain-kain isteri yang dah lama tak pakai. "Menjimatkan masa dan wang. Tak perlu pening fikir nak beli samping corak yang mana. Kalau tak muat boleh buka zip cuma bahagian kaki tu yang leceh sikit," katanya. View this post on Instagram A post shared by Ryzal Ibrahim (@ryzalibrhm) View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!