suria

Scammer ‘alim’ gigih buat drama sedih di surau, acah-acah ambil wuduk selepas sedar tersalah pilih mangsa!

Seorang pemuda menceritakan pengalaman ditegur seorang lelaki yang mana kad banknya ditelan di mesin ATM. -gambar hiasan

SEORANG pemuda tidak menyangka insiden ditegur seorang lelaki di dalam sebuah tandas awam membuatkannya nyaris menjadi mangsa penipuan atau scam.

Semuanya bermula apabila lelaki yang tidak dikenali itu mengadu mengenai kad bank miliknya ditelan oleh mesin juruwang automatik (ATM) sewaktu melakukan transaksi.

Pemuda berkenaan, Izwan Hafriz memberitahu, kejadian berlaku pada minggu lalu ketika dia mengunjungi sebuah pasar raya besar di Klang, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar U akui belum cukup ilmu, termenung selepas tertipu dengan 'instant transfer' pelanggan ramah - "Modal tu hasil saya bancuh simen, angkat batu-bata"

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kali terlepas jadi mangsa tipu COD, lelaki tak percaya 'postage' gigit jari masuk juga perangkap penyangak - "Enam minit lesap RM9,000"

Anak muda berusia 31 tahun itu berkata, selepas memberikan alasan mengenai kad bank yang 'ditelan', lelaki tersebut meminta bantuan bagi membolehkannya mengeluarkan wang.

"Dia beritahu saya yang dia akan pindahkan sejumlah wang ke akaun bank saya, dan meminta tolong untuk mengeluarkan wang tersebut dari mesin ATM.

"Pada mulanya dia nak cuba dulu transfer (pindahan wang) sebanyak RM1, tapi dia kemudian berubah fikiran nak transfer RM300 kat akaun bank saya," katanya kepada mStar.



Adam berkongsi pengalamannya di laman Twitter.

Lebih dikenali sebagai Adam, katanya, dia menawarkan bantuan tanpa mengesyaki sebarang perkara yang tidak diingini apabila melihat anak muda itu benar-benar memerlukan wang ketika itu.

"Entah kenapa saya bagi nombor akaun bank saya untuk dia buat transfer duit. Tapi saya mula syak sesuatu yang tidak kena apabila status transfer tu 'accepted for processing' yang bermaksud berlaku transaksi tetapi bayaran (pindahan wang) belum berjaya dilakukan.

"Tapi budak tu pushy seperti memaksa saya untuk mengeluarkan RM300. Saya minta dia telefon khidmat pelanggan bank tu, tapi dia macam mengelak.

"Bila telefon, patutnya cerita pasal kad bank kena telan kat mesin ATM. Tapi dia cerita dulu pasal transfer, dah hujung-hujung baru beritahu tentang kad bank," ujarnya yang berasal dari Klang.

Kita mungkin dapat mengelakkan diri daripada ditipu serah wang sendiri, tapi kita tak tahu apa kemungkinan yang dia akan lakukan pada nombor akaun bank kita

ADAM

Menurut Adam, mereka kemudian beralih dari tandas ke surau berikutan semakin ramai pengunjung ke tandas dan pemuda berkenaan mahu mengecaj telefonnya di surau.

"Dia macam nak 'tahan' saya selagi tak dapat 'duit' dia. Siap kata boleh tak keluarkan RM100 dulu, dan baki boleh transfer kemudian.

"Tapi saya tergerak hati untuk secure akaun bank saya. Jadi, saya bagi nombor telefon dan beritahu dia, kalau dah betul-betul transfer boleh call saya semula.

"Saya terus keluar dari surau tapi sempat pandang belakang dan nampak wajah dia macam hampa sikit, lepas tu acah-acah nak ambil wuduk untuk solat," tambahnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, seperti yang diduga, tiada panggilan telefon mahupun mesej daripada pemuda tersebut yang bertanyakan tentang wang RM300 yang kononnya 'dipindahkan' ke dalam akaun banknya selepas lebih 24 jam.

"Kalau betul-betul dia risau dengan duit RM300 tu, mesti dia dah contact saya. Bayangkan kalau saya keluarkan RM300 tu dan bagi dia dulu, pasti saya kena tipu," katanya.



Anak muda itu dikatakan cuba mengambil wuduk di surau. -gambar hiasan / foto ZABIDI TUSIN/The Star

Adam yang merupakan pegawai di sebuah syarikat pengurusan majlis bagaimanapun menjelaskan bahawa ini bukanlah kali pertama nyaris ditipu membabitkan pindahan wang.

"Dua bulan sebelum kejadian ditegur di tandas sampai meleret ke surau tu, saya nak jual telefon saya kepada seorang bakal pembeli di lobi sebuah kondominium, tapi katanya network (liputan) tak berapa okay, jadi dia nak buat transaksi mudah alih di rumahnya.

"Dia kemudian bagi screenshot (tangkapan skrin) paparan 'accepted for processing' selepas kononnya buat transaksi dari rumah dia. Sudahnya dia terus senyap. Mujur saya tak bagi telefon tu dulu.

"Insiden pertama nyaris ditipu membuatkan saya lebih berhati-hati. Saya juga nasihatkan orang ramai supaya jangan ikut kesilapan saya dengan sewenang-wenangnya beri nombor akaun bank kepada orang yang tidak dikenali.

"Kita mungkin dapat mengelakkan diri daripada ditipu serah wang sendiri, tapi kita tak tahu apa kemungkinan yang dia akan lakukan pada nombor akaun bank kita. Boleh jadi, ia digunakan untuk tujuan penggubahan wang haram. Oleh itu, berhati-hatilah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain