suria

“Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil” - Selepas 3 bulan diserah kepada ibu kandung, Amir pergi jua... luluh hati ibu angkat dapat tahu didera punca kematian

Gambar terakhir Norlida dan anak perempuannya, Tuhfah Nazira yang dirakam ketika kali terakhir bertemu Amir, November lalu.

"SAYA menyesal kerana tak pertahankan Amir ketika ibu kandungnya beriya-iya mahu ambil dia dulu"

Demikian luah Norlida Abu Hassan, ibu angkat kepada Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat, dipercayai akibat didera.

Tidak dapat menahan sebak ketika dihubungi mStar pada tengah hari Sabtu, Norlida berkata dia terlalu sedih dan masih terkejut dengan berita pemergian anak angkat yang mesra disapa sebagai Amir, yang sudah dipeliharanya selama enam tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba masa ibu angkat tunai janji... detik hiba anak dijaga sejak bayi perlu diserah kepada mak kandung - “Tak pernah niat rebut Amir”

mStar pada Oktober tahun lalu menyiarkan kisah Norlida dan keluarganya yang terpaksa menyerahkan semula Amir kepada ibu kandungnya yang menetap di Melaka selepas wanita berkenaan mahu mengambil semula kanak-kanak tersebut.

Video detik perpisahan keluarga Norlida dan Amir yang dikongsikan di Facebook begitu menyentuh hati netizen, apabila memaparkan mereka saling menangis teresak-esak dan berdakapan sebelum kanak-kanak tersebut dibawa pergi.

Menurut Norlida yang menetap di Rawang, Selangor, dia kini baharu tiba di Melaka selepas diminta memberi keterangan oleh pihak polis.



Gambar kenangan Norlida dengan Amir, (kanan) detik-detik terakhir sebelum menyerahkan Amir kepada ibu kandungnya, Oktober lalu.

Bercerita saat mendengar perkhabaran duka yang disampaikan suaminya malam tadi, Norlida berkata hatinya begitu luluh mengenangkan cara pemergian kanak-kanak malang berkenaan yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri.

"Malam tadi suami dapat panggilan daripada jiran ibu Amir di Melaka. Jiran tersebut beritahu suami, katanya Amir dah tak ada. Katanya, dia dapat tahu Amir meninggal dunia dan ditemui di bilik air.

"Bila suami beritahu saya, ya Allah.... luluh sangat hati ini. Saya terlalu rindu, nak dengar suara dia, nak jumpa dia... tiga bulan tak dengar khabar berita kerana ibu kandungnya 'control'.

"Sejak serahkan Amir pada Oktober lalu, sempat dua kali saja bertemu. Bapa tirinya akan ambil kesempatan bawa Amir sekali kalau dia nak hantar barang di Kuala Lumpur. Masa itu dia akan beritahu saya dan kami berjumpa di kedai makan.



Norlida sekeluarga menatang Amir (depan, tengah) umpama minyak yang penuh selama enam tahun bersama.

"Kali terakhir jumpa bapa tirinya bawa Amir pada 7 November. Amir ceria dan gembira sangat. Dia cakap nak sekolah dekat rumah 'Umi', nama panggilan untuk saya. Anak-anak saya pun ikut sekali nak jumpa adik bongsu mereka. Kini saya tak berpeluang lagi nak tengok dia, dengar suara dia," ceritanya dalam nada sebak.

Tambah wanita berusia 50 tahun ini, dia tidak dapat membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh Amir sebelum menghembuskan nafas terakhir memandangkan dia dan keluarga menatang kanak-kanak itu ibarat minyak yang penuh.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana... dari malam tadi, sikit pun saya belum lelap. Saya tahu, saya dapat rasa dia memanggil-manggil 'Umi' ketika sakit. Sebab kalau dia jatuh atau sakit, sayalah orang yang akan dicari dulu.

Amir meninggal dunia di tangan manusia kejam... manusia yang ada hubungan dengannya. Saya berharap sangat keadilan berpihak kepada Amir.

NORLIDA HASSAN

IBU ANGKAT

"Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil Amir. Sebab tu saya rasa terkilan sangat tak pertahankan Amir sebelum ini tapi nak buat macam mana, itu hak mutlak ibu kandungnya.

"Anak-anak saya semua terlalu sedih dengan kehilangan adik bongsu mereka. Amir meninggal dunia di tangan manusia kejam... manusia yang ada hubungan dengannya. Saya berharap sangat keadilan berpihak kepada Amir. Moga pelakunya dapat hukuman setimpal," ujar ibu kepada lima cahaya mata ini.

Menurut Norlida, dia cuba mengusahakan untuk membawa pulang jenazah anak angkatnya itu untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Rawang.

"Selepas ini urusan bedah siasat jenazah Amir. Saya berharap sangat dapat kebenaran untuk bawa pulang jenazah Amir dekat kediaman keluarga kami di Rawang, supaya dapat ziarah pusaranya selalu," katanya lagi.



Anak-anak Norlida begitu rapat dengan Amir.

Media pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata pihak polis kini menahan ibu dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 32 dan 38 tahun.

Kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan untuk membantu siasatan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan