suria

Imbas insiden sebelum PKP, 'kaki' lepak kedai mamak nyaris dikompaun RM1,000... baru 10 minit daftar polis buat spot check – “Dua jam duduk, tiba-tiba rasa ada tak kena”

Amr (kiri) berkongsi pengalamannya mengenai pasukan polis membuat pemeriksaan di sebuah restoran, beberapa hari PKP dilaksanakan di Terengganu.

BUKAN semua orang mampu membayar kompaun sebanyak RM1,000 kerana ingkar arahan mendaftar nama dan nombor telefon apabila memasuki mana-mana premis.

Namun, semua orang boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang wajib untuk dilakukan ketika pandemik Covid-19 selain memakai pelitup muka dan pemeriksaan suhu.

Kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada sesiapa yang degil di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

ARTIKEL BERKAITAN: Polis suruh berhenti tepi, gadis pakai mask bawah hidung gelabah fikir mana nak cari RM1,000... rupa-rupanya ditahan sebab lain - "Peluh menitik kat muka abang polis trafik"

ARTIKEL BERKAITAN: Gelabah pakai seatbelt gara-gara 'roadblock', ayah bikin helah dedah robot punca anak tak duduk diam dalam kereta - "Dia takut nanti makan lumpur"

Menerusi satu video aplikasi TikTok, seorang pemuda mengimbas kembali insiden dirinya nyaris dikenakan kompaun ketika berada di sebuah restoran.



Anggota polis melakukan pemeriksaan dari meja ke meja.

Pemuda berkenaan, Amrul Hakim Abd Razak berkata, kejadian berlaku di Kemaman, Terengganu, beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan di negeri itu bermula 22 Januari.

Anak muda berusia 28 tahun itu memberitahu, ketika itu Terengganu dalam PKP Bersyarat (PKPB) yang masih membenarkan pengunjung makan di restoran berbanding hanya bungkus, pandu lalu dan penghantar sepanjang PKP.

"Hampir setiap hari saya lepak di bistro (kedai mamak), sama ada untuk minum, makan atau buat kerja. Kebiasaannya saya akan daftar dulu, tulis nama di buku yang disediakan.

"Tapi memandangkan petang tu saya untuk jumpa kawan di situ dan bawa laptop, jadi saya letak dulu beg untuk 'cop' tempat dulu," katanya kepada mStar.



Amr sering berkunjung ke sebuah restoran mamak di Kemaman.

Lebih mesra disapa Amr, dia bagaimanapun terlupa untuk mendaftar dan hanya menyedarinya selepas berada di premis itu selama kira-kira dua jam.

"Dekat dua jam saya duduk saya tiba-tiba terasa macam ada yang tak kena. Bukan rasa tak sedap hati, tapi lebih kepada sesuatu yang saya selalu buat tapi belum lakukan.

"Baru saya teringat yang saya masih belum daftar. Saya bangun dan pergi ke depan restoran dan mendaftar tulis nama dan nombor telefon," ujar anak kelahiran Kemaman itu.

Walaupun kita hanya masuk sekejap saja ke mana-mana premis, pastikan daftar nama dan nombor telefon atau imbas guna aplikasi seperti MySejahtera terlebih dahulu

AMRUL HAKIM ABD RAZAK

Bagaimanapun, anak kedua daripada lapan beradik itu terkejut sebaik kembali ke meja makan dan seakan tidak mempercayai apa yang berlaku selepas itu.

"Saya baru je kembali duduk kira-kira 10 minit, tiba-tiba satu pasukan polis masuk ke dalam restoran dan periksa setiap pelanggan buat spot check.

"Seorang demi seorang, dari meja ke meja anggota polis datang periksa tanya nama dan nombor telefon untuk pastikan pelanggan telah mendaftar," katanya.

Amr yang merupakan video creator menjelaskan dia benar-benar tidak menyangka menyaksikan kehadiran polis membuat pemeriksaan dari segi pematuhan SOP.



Amr merupakan 'video creator'.

"Masa tu saya bersyukur sebab Tuhan gerakkan hati saya untuk rajinkan diri bangun dan mendaftar. Saya sedikit lega sebab hampir kena saman RM1,000.

"Rasa gemuruh tu tetap ada sebab abang polis garang tanya seorang demi seorang, rasa kecut perut macam kena spot check dengan warden masa saya tinggal di asrama di sekolah tahfiz di Kuantan, Pahang dulu. Tapi saya faham mereka lakukan tugas mereka demi kebaikan bersama," katanya yang akan lebih berwaspada pada masa akan datang.

Menurut Amr, perkongsiannya itu mahu mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak mengambil ringan terhadap pematuhan SOP sebagai norma baharu dalam kehidupan.

"Walaupun kita hanya masuk sekejap saja ke mana-mana premis, pastikan daftar nama dan nombor telefon atau imbas guna aplikasi seperti MySejahtera terlebih dahulu.

"Bukan hanya memudahkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes Covid-19, tetapi mengelakkan kita daripada dikenakan kompaun. RM1,000 bukannya sikit, jadi patuhilah SOP bila ke mana-mana," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain